AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia pindah ke Terminal 4 di Lapangan Terbang Changi Singapura

SINGAPURA, 19 Oktober 2017 - AirAsia akan memindahkan operasinya di Lapangan Terbang Changi Singapura dari Terminal 1 ke Terminal 4 mulai 7 November 2017.

Semua penerbangan AirAsia yang dijadualkan pada hari itu akan tiba dan berlepas dari Terminal 4. Jadual perlepasan dan ketibaan tidak akan terjejas oleh perubahan ini.

Para tetamu yang berlepas dari Terminal 4 dinasihatkan untuk tiba 3 jam sebelum waktu berlepas untuk memastikan mereka mempunyai masa yang mencukupi untuk ke terminal baharu, manakala mereka yang tiba di Terminal 4 dinasihatkan untuk memaklumkan kepada keluarga atau kenalan mereka mengenai perubahan itu.

Untuk ke Terminal 4, para tetamu boleh menaiki teksi, kereta sewa, bas dan pengangkutan peribadi. Bagi pengguna perkhidmatan MRT pula, mereka perlu menuju ke balai ketibaan di Terminal 2 dan menaiki bas ulang-alik percuma yang akan membawa mereka ke Terminal 4. Bas ulang-alik tersebut tersedia setiap 10 minit selama 24 jam sehari, setiap hari.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Singapura, Logan Velaitham berkata pemindahan ke Terminal 4 yang menggunakan kemudahan automatik sepenuhnya, untuk semua penerbangan yang berlepas dan tiba di Singapura adalah selaras dengan visi AirAsia untuk menjadi syarikat penerbangan digital.

“Tahun ini, Singapura memberi tumpuan kepada konsep Perjalanan Cepat dan Lancar (FAST). Kami bekerjasama dengan Kumpulan Lapangan Terbang Changi (CAG) untuk memberi pengalaman lapangan terbang dan daftar masuk secara automatik dan penuh inovasi. Bila anda terbang dari Changi bersama kami, nikmatilah perkhidmatan automatik sepenuhnya melalui FAST dari pintu masuk ke pintu berlepas dengan lebih lancar selari dengan inovasi kami menggunakan telefon bimbit dan laman web,” katanya.

Beliau menambah, “Kakitangan kami yang kini telah dilantik menjadi duta kepada syarikat penerbangan ini, akan membantu para tetamu untuk menambah perkhidmatan semasa daftar masuk; seperti membeli insurans perjalanan, pelan internet, atau menempah Hot Seats.”

Di Terminal 4, AirAsia akan menyediakan 19 kiosk daftar masuk, 14 mesin daftar masuk bagasi automatik, dua kaunter untuk memeriksa dokumen dan dua kaunter pembayaran di Barisan 4, serta perkhidmatan daftar masuk berkumpulan di Barisan 5.

Tetamu boleh mendaftar masuk di mana sahaja melalui web dan laman mudah alih, mencetak tag bagasi mereka di kiosk layan diri dan mendaftar masuk bagasi mereka di mesin automatik setibanya di lapangan terbang, atau terus ke pintu masuk jika mereka tidak mempunyai bagasi daftar masuk.

Untuk promosi dan aktiviti terkini AirAsia, sila ikuti AirAsia di Twitter (twitter.com/AirAsia) dan Facebook (facebook.com/AirAsia).

Untuk maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan, sila hubungi:

  1. Bantuan AirAsia
  2. Hantar soalan melalui borang dalam talian di https://eform.airasia.com/