AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia Runway Ready Designer Search 2017 umum 2 finalis terbaik mewakili Malaysia!

KUALA LUMPUR, 22 April 2017 - AirAsia Runway Ready Designer Search kembali dengan musim ketiga dan pusingan ujibakat di Malaysia telah diadakan di Kuala Lumpur hari ini. Dua peserta finalis yang telah terpilih mewakili Malaysia adalah Andrew Low berumur 26 tahun dan Phynix Tan Pek Han berumur 22 tahun di mana mereka akan diberi peluang untuk mempamerkan koleksi mereka di pusingan terakhir yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada Ogos ini.

AirAsia Runway Ready Designer Search 2017 kini sedang menjelajah ke semua 10 buah negara Asean untuk pusingan uji bakat. Pertandingan ini memberi peluang sekali seumur hidup kepada pereka fesyen muda untuk bertanding di peringkat serantau serta mempamerkan kreativiti mereka di pentas profesional KL Fashion Week Ready to Wear.

Aireen Omar, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia berkata, “Kami tahu terdapat banyak bakat terpendam di serata Asean dan kami bangga telah menyediakan platform ini bagi membantu generasi pereka fesyen akan datang untuk memulakan kerjaya mereka dalam industri fesyen. Kami lihat banyak idea-idea dan kreativiti yang menakjubkan dari para peserta hari ini dan ini memberi cabaran kepada panel juri untuk memilih dua finalis terbaik mewakili Malaysia. Kami mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang telah mempamerkan hasil kerja yang amat menarik dan selamat maju jaya kepada peserta yang terpilih ke pusingan akhir pada Ogos ini.”

Peserta pereka fesyen daripada Malaysia telah menjalani pusingan kelayakan juri secara menyeluruh hari ini dan telah dipilih berdasarkan kreativiti dan ketulenan, rekaan koleksi yang konsisten, kepatuhan kepada tema Asean, praktikaliti dan persembahan.

Pertandingan serantau ini akan berlangsung di setiap ibu kota negara-negara Asean di mana dua pereka dari setiap negara akan terpilih untuk bertanding meraih gelaran juara pada pusingan akhir di Kuala Lumpur pada Ogos ini.

Kedua-dua peserta finalis ujibakat di Malaysia pada hari ini berpeluang memenangi 150,000 AirAsia BIG Point; RM25,000 ditaja oleh FashionValet untuk menghasilkan koleksi kapsul yang akan dijual di laman web fashionvalet.com; enam halaman mukasurat mengenai fesyen di majalah dalam penerbangan AirAsia, Travel3Sixty; tiket penerbangan AirAsia dan bimbingan mentor dari KLFW RTW, dan juga satu slot untuk mempamerkan koleksi penuh mereka di KL Fashion Week RTW 2018.

Panel juri ujibakat pada hari ini terdiri daripada Aireen Omar, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Andrew Tan, Pengasas KL Fashion Week Ready to Wear; Vivy Yusof, Pengasas FashionValet; Alia Bastamam, Pereka Fesyen dan Yang Mei Ling, Pengarang Majalah FEMALE Malaysia.

AirAsia adalah Preferred Travel Partner KLFW RTW 2017 dan akan menerbangkan pereka fesyen terkemuka melalui rangkaian laluan luas Kumpulan AirAsia dan AirAsia X termasuk dari India, Jepun, China, Korea Selatan dan Australia untuk mempamerkan koleksi terbaru mereka di KLFW RTW.

Ikuti saluran Youtube AirAsia (youtube.com/user/AirAsia) untuk webisodes yang akan memaparkan perjalanan semua peserta bagi seluruh Asean AirAsia Runway Ready Designer Search 2017, atau ikuti hashtag #AirAsiaRunway di saluran media sosial yang lain seperti Facebook (facebook.com/AirAsia) dan Twitter (twitter.com/AirAsia).