AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia Presents Ben Proud’s Talent Pool berenang terus ke “Negeri Di Bawah Bayu”

Dua perenang berbakat dari Sabah telah terpilih untuk menjalani latihan bersama Ben Proud di Phuket pada bulan September 2017

KOTA KINABALU, 5 Julai 2017 - AirAsia meneruskan usaha untuk membangunkan bakat perenang muda dengan membawa Klinik Kejurulatihan Ben Proud’s Talent Pool ke Kota Kinabalu, Sabah. Seramai 60 perenang muda berumur antara 10 hingga 15 tahun mengambil bahagian dalam klinik kejurulatihan tersebut yang telah diadakan di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada hari Sabtu lepas.

Para perenang muda tersebut telah mengambil bahagian dalam sesi intensif selama satu hari bersama jurulatih terkemuka seperti bekas ahli sukan Olimpik, Antony James dan Perenang Negara Malta, Matthew Zammit.

Klinik kejurulatihan renang tersebut merupakan acara latihan tahunan dengan kerjasama AirAsia dan perenang Olimpik Britain, Ben Proud. Klinik kejurulatihan renang yang telah diadakan buat kali pertama di Sabah merupakan sesi ketiga inisiatif tersebut selepas pelancarannya di Putrajaya dan Pulau Pinang yang menampilkan para perenang dari pelbagai daerah.

Di klinik kejurulatihan baru-baru ini, Shairul Aiman Jefry, 13 tahun dari Persatuan Renang Daerah Penampang (PREPS); dan Jemimah Tong Ying Dove, 13 tahun dari Sandakan Swimming Association (SSA) telah terpilih untuk menjalani latihan eksklusif bersama Ben Proud di Phuket pada hujung tahun ini.

Rudy Khaw, Ketua Bahagian Penjenamaan Kumpulan AirAsia berkata, “Selepas kejayaan sesi di Purajaya dan Pulau Pinang, kami amat teruja untuk membawa sesi kali ini ke Kota Kinabalu, Sabah. Sangat menakjubkan untuk melihat bakat dan semangat yang telah dipamerkan para perenang muda ini dan kita juga dapat melihat banyak peningkatan hanya dalam masa sehari. Kami berbesar hati dapat memberi peluang kepada mereka untuk berlatih bersama jurulatih bertaraf antarabangsa, dan kami berharap agar dapat terus mendorong mereka untuk meraih pingat olimpik. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada para pemenang yang terpilih untuk berlatih bersama Ben Proud pada bulan September ini di Phuket dan berharap agar mereka mengambil kesempatan ini untuk terus menimba pengalaman.”

Antony James, Ketua Jurulatih Ben Proud Talent Pool berkata, “Kami amat teruja untuk membawa konsep Talent Pool ini ke Kota Kinabalu, Sabah. Kami bersemangat untuk memupuk dan mengembangkan bakat dalam komuniti renang dan kami merasa bangga dapat bekerjasama dengan ramai bakat-bakat muda. Sememangnya amat sukar untuk kami memilih dua pemenang dari klinik ini tetapi para pemenang telah dipilih berdasarkan semangat dan kesungguhan mereka untuk belajar selain daripada bakat mereka. Dua pemenang bertuah ini akan bertemu Ben dan menjalankan latihan seterusnya di Phuket pada September ini. Kami berharap agar kami telah memberi inspirasi kepada semua bakat-bakat muda ini untuk terus berusaha menjadi yang terbaik pada masa hadapan.”

Dua sesi telah dijalankan semasa klinik kejurulatihan ini berlangsung, di mana setiap sesi mengandungi sesi pembelajaran di dalam bilik darjah yang memberi tumpuan kepada aspek psikologi dan fisiologi sukan dan sesi di dalam kolam untuk meningkatkan aspek taktikal dalam sukan renang.

Program Talent Pool ini adalah sebahagian daripada kempen sukan #DARETODREAM AirAsia yang bertujuan untuk mengembangkan bidang sukan dan memupuk bakat muda dari semua peringkat di seluruh rantau Asean. Program selama empat tahun ini juga akan diadakan di bandar-bandar lain di rantau ini untuk mencari para-perenang Asean.

Ben Proud adalah salah seorang daripada barisan atlet AirAsia di bawah kempen #DARETODREAM bersama atlet-altel negara yang lain, termasuklah jaguh trek berbasikal negara seperti Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa, serta penerjun negara, Leong Mun Yee. AirAsia turut bekerjasama dengan atlet bina badan Faiz Ariffin dan pemandu go-kart, Muizzuddin Musyaffa. Selain itu, AirAsia juga menaja Liga Ragbi Malaysia AirAsia dan Liga Junior KL AirAsia dengan lebih banyak perancangan untuk kempen ini.

Ikuti perjalanan impian AirAsia melalui hashtag #daretodream atau maklumat terkini AirAsia dan aktiviti di Twitter (twitter.com/AirAsia) dan Facebook (facebook.com/AirAsia).