AirAsia Newsroom

View Original

Kementerian pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat sokong kempen #GirlsCanDoAnything AirAsia

SEPANG, 16 August 2017 - AirAsia, syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia, terus berusaha memperkasakan gadis-gadis remaja melalui kempen #GirlsCanDoAnything dan bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi meneruskan kempen tersebut hari ini.

AirAsia menyambut kedatangan seramai 84 pelajar perempuan yang kurang bernasib baik di AirAsia RedQ untuk sesi perkongsian dan motivasi bersama juruterbang, jurutera dan kakitangan kanan wanita AirAsia. Para pelajar, yang dijemput oleh agensi di bawah kementerian berasal dari latar belakang yang berbeza turut diberi lawatan istimewa di ibu pejabat syarikat penerbangan tersebut.

Turut hadir di sesi tersebut adalah YB Dato' Sri Rohani Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Cik Aireen Omar, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad; dan En Zamani Bin Mohd Rafique, Pengarah Perhubungan Kerajaan AirAsia Berhad.

Cik Aireen Omar, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad berkata, “Melalui kempen #GirlsCanDoAnything, matlamat kami adalah untuk memperkasakan gadis-gadis remaja untuk menggapai impian dan memberi inspirasi kepada mereka untuk tidak membataskan kemampuan diri, serta berani memilih kerjaya yang dikehendaki dalam apa jua bidang yang diminati. Kami mempunyai juruterbang dan jurutera pesawat wanita yang berjaya di dalam industri yang didominasi oleh kaum lelaki.”

"Kami telah mengadakan sesi seperti ini bersama lebih daripada 400 pelajar perempuan sebelum ini, dan kali ini kami amat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menganjurkan sesi istimewa ini bersama menteri. Dengan memberi pendedahan kepada wanita bekerjaya yang datang dari pelbagai latar belakang, seterusnya mewujudkan platform untuk gadis-gadis remaja mendengar dan berkongsi kisah dengan mereka, kami berharap untuk memperkasakan generasi muda dan membuktikan bahawa gadis-gadis ini boleh melakukan apa sahaja.”

YB Dato' Sri Rohani Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, “Kami amat berbesar hati apabila mengetahui bahawa AirAsia juga komited untuk memperkasakan wanita melalui kempen #GirlsCanDoAnything. Besarlah harapan saya bahawa para pelajar akan mengambil peluang ini untuk bertemu dengan ramai wanita yang bekerjaya dan menjadikan lawatan ini sebagai sebahagian daripada pembelajaran mereka. Kempen seperti ini juga penting untuk memupuk kepimpinan di kalangan generasi muda hari ini, supaya mereka lebih bersedia dalam apa jua bidang yang diceburi pada masa akan datang. Hari ini, golongan wanita memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dan negara. Kita sebagai wanita harus berani untuk melangkah ke hadapan dan jika anda fikir anda boleh melakukannya, teruskan usaha dan jangan berputus asa. Pihak Kementerian akan terus menyokong inisiatif seperti ini yang akan memberi manfaat kepada kemajuan wanita, pembangunan ekonomi dan seterusnya menyumbang pada negara.”

Bermula pada tahun 2016, kempen #GirlsCanDoAnything merupakan satu inisiatif untuk memperkasakan wanita yang dianjurkan oleh AirAsia untuk memberi inspirasi kepada golongan belia wanita dalam merealisasikan impian mereka. Diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutif wanita AirAsia, Cik Aireen Omar, kempen ini menampilkan kakitangan wanita AirAsia yang dikenali sebagai Allstars dari pelbagai jabatan dan jawatan sebagai contoh bahawa wanita boleh melakukan apa sahaja.

Untuk berita, aktiviti dan promosi mengenai AirAsia, sila ikuti AirAsia di Twitter (twitter.com/AirAsia) dan Facebook (facebook.com/AirAsia).