AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia Rai Pesawat Berwajah ‘Beautiful Terengganu, Malaysia’

KUALA TERENGGANU, 10 Januari 2018 - AirAsia, syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia hari ini meraikan pesawat berwajah ‘Beautiful Terengganu, Malaysia’ dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus, Terengganu.

Pesawat ini bakal menjadi platform promosi berimpak besar bagi negeri itu selama dua tahun. Tambahan pula, promosi produk dan destinasi pelancongan negeri tersebut juga akan dibuat melalui pengiklanan pada ruang simpanan bagasi di dalam pesawat, tempat letak makanan pada belakang kerusi di dalam pesawat dan menerusi majalah dalam penerbangan AirAsia, travel 3Sixty°.

Selain itu, kerjasama ini turut membawa impak positif kepada sektor pelancongan negeri itu kerana pesawat yang menonjolkan keindahan negeri Terengganu ini juga bakal terbang ke destinasi antarabangsa AirAsia.

Spencer Lee, Ketua Komersial AirAsia Berhad berkata, “Kami berbangga kerana dapat meraikan pesawat berwajah ‘Beautiful Terengganu, Malaysia’ bersama Kerajaan Negeri Terengganu dan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu. Rekaan ini adalah sebahagian daripada usaha kerjasama berterusan kami dengan kerajaan negeri untuk mempromosikan keindahan dan keistimewaan negeri Terengganu kepada tetamu kami di seluruh Asia Pasifik. Pada tahun lepas, kami telah menerbangkan lebih daripada 520,000 orang tetamu dari dan ke negeri ini dan kami percaya rekaan pada pesawat ini akan menarik lebih ramai pelawat ke negeri ini selaras dengan misi kerajaan negeri untuk mengetengahkan industri pelancongan pada tahun ini kerana ia memberi faedah kepada semua, terutamanya kepada perusahaan kecil dan sederhana.”

Dato’ Seri Haji Ahmad Razif bin Abd. Rahman, Menteri Besar Terengganu berkata, “Kerajaan Negeri Terengganu amat berbesar hati dengan kolaborasi bersama AirAsia, dengan harapan jalinan sebegini menjadi pencetus kepada jalinan dengan syarikat-syarikat korporat. Negeri Terengganu kini lebih bersedia untuk dinobatkan sebagai negeri pelancongan yang mampu menggamit kehadiran pengunjung dan kami percaya dapat meningkatkan lagi tahap kesedaran kepada jenama ‘Beautiful Terengganu, Malaysia’ menerusi penonjolan imej destinasi dan produk pelancongan melalui paparan pada pesawat penerbangan AirAsia.”

AirAsia terbang ke dua destinasi dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur dengan 28 kali penerbangan sehala seminggu dan Johor Bahru dengan3 kali penerbangan sehala seminggu. Sehingga tahun 2017, AirAsia telah menerbangkan lebih 2.5 juta tetamu dari dan ke negeri itu dengan warganegara yang paling ramai adalah dari Malaysia, China dan Indonesia.

Untuk promosi dan aktiviti terkini AirAsia, sila ikuti AirAsia di Twitter (twitter.com/AirAsia) dan Facebook (facebook.com/AirAsia).