RHB Bekerjasama dengan AirAsia untuk Menawarkan Mata Ganjaran BIG
SEPANG, 19 NOVEMBER 2018 – Kumpulan Perbankan RHB (RHB) dan Kesetiaan AirAsia BIG (BIG Loyalty) hari ini telah memeterai kerjasama strategik untuk memperkenalkan sebuah gagasan tambah nilai menarik yang menawarkan sebuah program kesetiaan yang komprehensif membolehkan para pelanggan RHB mengumpul Mata Ganjaran AirAsia BIG dari produk-produk perbankan terpilih.
Kerjasama di antara RHB dan Kesetiaan AirAsia BIG ini bertujuan untuk memberi ganjaran kepada rakyat Malaysia dengan menjadikan aspirasi gaya hidup dan pelancongan mereka tercapai menerusi program kesetiaan, di mana ia akan membolehkan para pelanggan RHB untuk memanfaatkan ekosistem BIG Loyalty untuk menikmati Mata Ganjaran BIG sebagai matawang untuk kegunaan perjalanan harian dan produk-produk gaya hidup, dari penerbangan, hotel, membeli-belah, menjamu selera, serta beraneka jenis perkhidmatan. Program ini disasarkan untuk pelancaran pada suku pertama tahun 2019.
“Kerjasama ini memperkenalkan sebuah gagasan tambah nilai yang menarik menerusi sebuah program kesetiaan yang komprehensif seterusnya membolehkan para pelanggan RHB mengumpul Mata Ganjaran AirAsia BIG. Ia adalah peluang untuk kami menghadiahkan kepada 4 juta pelanggan di atas sokongan serta kesetiaan yang diberikan kepada Kumpulan Perbankan RHB dengan menyampaikan nilai tertinggi kepada perjalanan mereka sebagai pelanggan RHB menerusi penawaran pelbagai manfaat gaya hidup yang hebat. Pada masa yang sama, untuk setiap Ringgit yang dibelanjakan dan bagi transaksi-transaksi perbankan terpilih, para pelanggan kami boleh memanfaatkan nilai Mata Ganjaran yang akan memberikan mereka laluan kepada beraneka peluang percutian menarik di bawah program Kesetiaan AirAsia BIG,” kata Dato’ Khairussaleh Ramli, Pengarah Urusan Kumpulan, Kumpulan Perbankan RHB.
“Pada masa ini, program ini akan digunapakai ke atas transaksi-transaksi terpilih yang dijalankan di dalam negara tetapi dari semasa ke semasa, kami akan memeperluaskan program ini ke transaksi-transaksi peringkat serantau dan antarabangsa,” beliau menambah.
“Kerjasama bersama RHB ini mengukuhkan rukun gaya hidup dan kewangan kami di samping memperkuatkan ekosistem Mata Ganjaran BIG. Dengan mengubah proses perbankan harian menjadi laluan untuk mendapat Mata Ganjaran BIG, kami akan memberikan lebih nilai kepada Ahli-ahli BIG dengan membantu menjadikan percutian dan gaya hidup impian mereka satu kenyataan, dan kami juga berharap untuk meluaskan lagi keahlian kami di Malaysia menerusi kerjasama strategik ini,” kata Tony Fernandes, Pengarah, BIG Loyalty Sdn. Bhd.
Sempena pemeteraian kerjasama ini, para pelanggan kad kredit dan debit RHB akan diberikan tempoh berkeutamaan selama satu minggu untuk menebus penerbangan dengan penjimatan sehingga 90% menggunakan Mata Ganjaran BIG dari serendah 500, sebelum dibuka kepada umum, dengan menghubungi RHB Phone Banking di talian 03-9206 8118, atau dengan memuat turun borang penebusan di www.rhbgroup.com.
Selain itu, para pelanggan juga boleh log masuk ke https://logon.rhb.com.my untuk menebus Mata Ganjaran BIG. Penebusan berkeutamaan ini akan bermula pada Isnin, 26 November sehingga Ahad, 2 Disember 2018 di airasiabig.com dan aplikasi mudah alih Kesetiaan AirAsia BIG. Para pelanggan RHB boleh menikmati 500 Mata Ganjaran BIG untuk setiap 3,000 Mata Ganjaran yang dikumpul melalui Kad Kredit Mata Ganjaran RHB. Ini adalah tertakluk kepada jenis kad yang dimiliki oleh pelanggan, di mana sesetengahnya mempunyai manfaat penggandaan bagi kategori-kategori terpilih seperti perbelanjaan di luar negara dan insuran. Tambahan pula, para pelanggan dengan Mata Ganjaran RHB boleh menikmati bonus 50 peratus lebih Mata Ganjaran BIG apabila mereka membuat pertukaran sekarang sehingga 31 Disember 2018.