AirAsia Newsroom

View Original

‘Derma Dengan Ikhlas’ dan pasaraya ST Rosyam Mart bekerjasama membantu komuniti yang memerlukan

Datuk Kamarudin Meranun, Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia; Datuk Rosyam Nor, Pengarah ST Rosyam Mart Sdn Bhd; Dato' Raymond Ho, Ketua Pengarah Kumpulan ST dan Ikhlas Kamarudin, Ketua IKHLAS bersama penerima barang sumbangan.

Kuala Lumpur, 13 Mei 2020 - Kempen ‘Derma Dengan Ikhlas’ terus menghulurkan bantuan kepada komuniti yang memerlukan dengan kerjasama pasaraya ST Rosyam Mart seperti yang diumumkan hari ini dalam sebuah majlis ringkas.

Sebanyak RM50,000 daripada jumlah dana sumbangan digunakan untuk membeli barangan keperluan asas dari pasaraya ST Rosyam Mart di mana ianya akan diedarkan kepada lebih 1,000 buah keluarga dari pelbagai komuniti termasuk ibu tunggal, pertubuhan bukan kerajaan, masjid dan persatuan kebajikan penduduk. 

Ikhlas Kamarudin, Ketua IKHLAS berkata, “Kami berasa terpanggil untuk meringankan beban komuniti yang memerlukan, terutama pada masa yang mencabar ini. Setakat ini, kami telah mengedarkan bantuan ke lebih 50 buah lokasi dan kami menyedari bahawa ada ramai lagi komuniti yang memerlukan bantuan. Dengan semangat #InThisTogether, kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan pasaraya ST Rosyam Nor untuk terus mengedarkan barangan keperluan asas kepada lebih ramai keluarga dan dalam masa yang sama membantu peniaga tempatan.”

(Dari kiri) Ikhlas Kamarudin, Ketua IKHLAS; Datuk Rosyam Nor, Pengarah ST Rosyam Mart Sdn Bhd; Datuk Kamarudin Meranun, Pengarah Eksekutif Kumpulan AirAsia Dan Dato' Raymond Ho, Ketua Pengarah Kumpulan ST bersama barang sumbangan di majlis ringkas hari ini.

Kolaborasi di antara IKHLAS dan pasaraya ST Rosyam Mart dijalankan kerana Datuk Rosyam Nor dan Dato’ Raymond Ho terlibat secara aktif bersama pertubuhan bukan kerajaan seperti Persatuan Kebajikan Masyarakat Desa Melawati (PERKEMAS), Persatuan Pekerja Filem Malaysia (PROFIMA) dan Pertubuhan Khairat Anak Seni Malaysia (PERKHAS).  

Sehingga kini, kempen ‘Derma Dengan Ikhlas’ telah berjaya mengutip dana sebanyak RM911,000 melalui inisiatif derma digital awam. Sejak hari pertama Ramadan, pasukan IKHLAS telah mengedarkan barangan keperluan asas dan juadah berbuka puasa kepada lebih 5,800 buah keluarga di seluruh negara. 

Kempen ‘Derma Dengan Ikhlas’ adalah sebahagian daripada kempen #InThisTogether oleh Kumpulan AirAsia. Orang awam yang berminat untuk menderma boleh melayari Givewith.Ikhlas.com.

IKHLAS merupakan jenama perniagaan baharu di bawah naungan AirAsia.com yang ditubuhkan khusus untuk komuniti Muslim di seluruh dunia dengan menyediakan akses untuk pelbagai amalan berasaskan keimanan. Ini termasuk kewajipan agama seperti Umrah, Korban dan pilihan gaya hidup berasaskan hukum Syariah. Portal ini akan dilancarkan pada bulan Jun 2020.

Untuk maklumat lanjut mengenai tabung bantuan dan inisiatif akan datang, layari Givewith.ikhlas.com, atau melalui laman sosial di Instagram ikhlasdotcom dan Facebook ikhlasdotcom.