AirAsia Newsroom

View Original

Dana sumbangan ‘Derma Dengan Ikhlas’ dihulurkan kepada komuniti Orang Asli di Pahang

PAHANG, 8 Mei 2020 - Sejumlah 1,700 ahli keluarga Orang Asli dari Jerantut dan Temerloh, Pahang menerima bantuan barangan keperluan asas daripada ‘Derma Dengan Ikhlas’ inisiatif derma digital awam yang dijalankan oleh IKHLAS bagi memupuk semangat menderma pada bulan Ramadan ini.   

Setiap keluarga menerima satu bakul makanan yang mengandungi beras, gula, tepung, minyak masak, mi segera, kopi dan teh, pelbagai biskut dan makanan dalam tin.      

Ikhlas Kamarudin, Ketua IKHLAS berkata, “Kami merafak sembah dan menjunjung kasih ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kerana titah baginda telah memberi kami inspirasi dan dorongan untuk memperluaskan rangkaian program amal bulan Ramadan kami dengan membantu masyarakat Orang Asli.

Kami juga ingin merakam penghargaan kepada semua orang yang telah bergabung tenaga menyediakan barangan keperluan asas kepada keluarga yang kurang bernasib baik, pasukan barisan hadapan dan dalam masa yang sama membantu peniaga tempatan di bulan Ramadan ini, terutamanya kepada kolaboratar utama kami Yayasan Amanah Assofwah Almalikiyyah yang telah memainkan peranan penting terhadap kempen ini. Kami akan meneruskan usaha untuk mengedar lebih banyak barangan keperluan asas di seluruh negara, dan sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan anda semua terhadap inisiatif ini.”    

Projek ini disokong oleh pelbagai badan kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA), Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Majlis Tempatan Daerah dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang untuk menghantar barangan keperluan asas kepada komuniti Orang Asli, dengan ihsan pengangkutan udara oleh Charter Group Aero Sdn Bhd.

Sehingga kini, kempen ‘Derma Dengan Ikhlas’ telah menerima dana sebanyak RM759,000 melalui inisiatif derma digital awam ini. Sejak hari pertama Ramadan, pasukan IKHLAS telah mengedarkan barangan keperluan asas dan juadah berbuka puasa kepada lebih 3,700 buah keluarga dan 19,050 orang individu di pelbagai lokasi termasuk Lembah Klang, Melaka, Kota Kinabalu, Labuan, Jerantut, Temerloh, Kuantan, Kuala Terengganu, Dungun, Kuala Nerus, Marang, Besut, Kubang Pasu, Langkawi, Kuala Kangsar dan lain-lain. Kempen tersebut akan dipanjangkan ke kawasan-kawasan lain seluruh Malaysia di sepanjang bulan Ramadan ini.  

Kempen ‘Derma Dengan Ikhlas’ adalah sebahagian daripada kempen #InThisTogether oleh Kumpulan AirAsia. Orang awam yang berminat untuk menderma boleh melayari Givewith.Ikhlas.com.

IKHLAS merupakan jenama perniagaan baharu di bawah naungan AirAsia.com yang ditubuhkan khusus untuk komuniti Muslim di seluruh dunia dengan menyediakan akses untuk pelbagai amalan berasaskan keimanan. Ini termasuk kewajipan agama seperti Umrah, Korban dan pilihan gaya hidup berasaskan hukum Syariah. Portal ini akan dilancarkan pada bulan Jun 2020.

Untuk maklumat lanjut mengenai tabung bantuan dan inisiatif akan datang, layari Givewith.ikhlas.com, atau melalui laman sosial di Instagram ikhlasdotcom dan Facebook ikhlasdotcom.