AirAsia pecah rekod jualan harian selepas tempoh hibernasi
Kekal momentum positif memasuki separuh tahun kedua 2020
SEPANG, 24 Jun 2020 - AirAsia memecahkan rekod jualan harian tertingginya semalam, selepas tempoh hibernasi dengan 41,000 tempat duduk dijual dalam tempoh satu hari bagi seluruh kumpulan AirAsia, yang menandakan permintaan tinggi bagi perjalanan udara.
AirAsia menerima peningkatan trafik laman web AirAsia sebanyak 170%. Beberapa laluan paling popular yang ditempah termasuk Kota Kinabalu dan Kuching ke Kuala Lumpur dari Malaysia, Bangkok ke Chiang Mai dan Hat Yai untuk Thailand, Manila ke Puerto Princesa untuk Filipina, Delhi ke Srinagar dan Bengaluru ke Hyderabad untuk India dan Jakarta ke Denpasar dan Medan untuk Indonesia.
Purata muatan penumpang bagi Kumpulan AirAsia sebanyak 50 peratus dengan AirAsia Malaysia mencecah 70 peratus, ia merupakan rekod tertinggi bagi faktor muatan penumpang semalam selepas tempoh hibernasinya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata, “Perkembangan positif ini menjadikan kami lebih bersemangat dan kami jangka permintaan ini akan berterusan. Produk inovasi terbaharu kami di Malaysia, Pas Tanpa Had AirAsia Cuti-Cuti Malaysia yang direka khas untuk mempromosikan usaha Kerajaan Malaysia merangsang dan menggalakkan pelancongan domestik telah habis dijual dengan cepat. Kami juga akan melancarkan produk ini di negara-negara lain tidak lama lagi. Kami akan terus memainkan peranan untuk memacu industri pelancongan domestik dengan kerjasama terus hotel-hotel tempatan untuk menawarkan pakej pelancongan yang mudah dan dijamin dengan nilai terbaik melalui SNAP, platform tempahan kombo penerbangan dan hotel kami. Kami akan meneruskan visi untuk membolehkan semua orang terbang dengan tambang berpatutan, dan kini kami menawarkan promosi diskaun 20% untuk semua tempat duduk dan penerbangan di Malaysia. AirAsia mementingkan nilai, pilihan serta inovasi, dan ini hanyalah permulaan bagi usaha pemulihan syarikat dan kami akan memperkenalkan produk, promosi dan kerjasama baharu pada masa akan datang.
“Kami merancang untuk meningkatkan kekerapan penerbangan sebanyak 50% daripada operasi sebelum COVID dan kami tidak sabar untuk terbang ke semua laluan domestik pada minggu dan bulan akan datang untuk memenuhi peningkatan permintaan. Pada masa ini, kami mengendalikan 152 penerbangan pada setiap hari di seluruh rantau ini. Kami berharap untuk melihat pembukaan semula sempadan antarabangsa kerana jelas bahawa pengangkutan udara adalah penting untuk memulakan dan memulihkan aktiviti-aktiviti ekonomi di peringkat global”, tambah beliau.
Perjalanan udara adalah salah satu kaedah perjalanan yang paling selamat. Menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), risiko jangkitan di dalam pesawat terbukti amat rendah. Ini kerana pesawat dilengkapi dengan ciri-ciri untuk mengurangkan risiko jangkitan yang telah terbukti amat rendah dalam pesawat. Kedudukan penumpang yang menghadap ke hadapan tempat duduk berfungsi sebagai penghadang, sementara udara di dalam kabin ditapis sepenuhnya dan diperbaharui pada setiap 2-3 minit melalui penapis HEPA bergred hospital, untuk memastikan udara sentiasa bersih. Tambahan pula, peningkatan keselamatan-bio yang meliputi seluruh perjalanan penumpang, akan terus mengurangkan risiko jangkitan di dalam pesawat.
AirAsia bekerjasama rapat dengan pengawal selia, kerajaan tempatan, pihak berkuasa penerbangan dan kesihatan, termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan juga Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan mematuhi nasihat pakar mereka untuk memastikan piawai pematuhan dipatuhi untuk setiap penerbangan yang dikendalikan dalam rangkaian kami.