Yayasan Peneraju, airasia academy jalin usahasama bina bakat teknologi dari minoriti berstigma
Kumpulan pertama 200 pelajar melibatkan wanita dari golongan B40, Huffaz, pesalah juvana dan orang kurang upaya (OKU)
Program latihan bersasar dan transisi pekerjaan untuk memastikan 80% penempatan kerja
KUALA LUMPUR, 14 Oktober 2022 - Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) telah menjalin kerjasama dengan platform teknologi pendidikan serantau yang pantas membangun, airasia academy untuk membantu meningkatkan peluang kebolehpasaran bagi golongan minoriti berstigma dengan membina pengetahuan kemahiran yang relevan dengan keperluan ekonomi yang dipacu teknologi.
Sebagai permulaan, 200 peserta terpilih melibatkan komuniti B40, graduan baru dan golongan penganggur yang kehilangan pekerjaan atas pelbagai faktor, akan menyertai program latihan tajaan penuh dan penempatan pekerjaan yang ditaja oleh Yayasan Peneraju dengan kursus pantas atau ‘bootcamp’ kelolaan airasia academy dalam bidang Pemasaran Digital, Kejuruteraan Perisian, Analisis Data dan Infrastruktur Cloud.
Presiden (Usahaniaga) Capital A & Ketua Pegawai Eksekutif airasia academy, Aireen Omar berkata: “Kami menerima sambutan memberangsangkan daripada orang ramai yang berminat untuk menceburi kerjaya dalam teknologi, bagaimanapun untuk program ini kami menumpukan terhadap golongan yang benar-benar memerlukan. Inilah yang kami perjuangkan di airasia academy dan ia mengukuhkan lagi usaha kami agar pendidikan dalam bidang teknologi lebih inklusif, mudah diakses dan relevan dalam memastikan negara bersedia untuk Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).”
Pengarah Strategi dan Perhubungan Yayasan Peneraju, Dr Amina Josetta Kayani berkata: “Kami bergabung dengan airasia academy untuk memastikan peluang saksama untuk golongan berkeperluan khas, termasuk para Huffaz, golongan autistik dan bekas pesalah juvana. Atas sebab itu Yayasan Peneraju bekerjasama dengan airasia academy bukan sahaja untuk memberi latihan malah memantau pencapaian sehingga tahap memadankan mereka dengan pekerjaan bersesuaian untuk membantu mereka mengubah kehidupan ke arah lebih baik.”
Tambah Dr Amina: “Sebaik peserta melengkapkan latihan, mereka akan melalui program peralihan pekerjaan dengan aktiviti simulasi tempat kerja untuk membantu asimilasi mereka ke dalam persekitaran pekerjaan dan mempersiapkan mereka untuk kerjaya baru dalam bidang teknologi.”
Selain pensijilan profesional, peserta program tajaan penuh dan biasiswa Yayasan Peneraju turut menawarkan latihan kemahiran insaniah, bengkel resume, tajaan makanan dan penginapan bagi sepanjang tempoh kursus dan akses percuma kepada platform pembelajaran dalam talian (ODL) airasia academy selama 12 bulan.
Calon yang memenuhi kriteria kelayakan masih boleh menghantar permohonan sehingga 25 Oktober 2022. Program tersebut terbuka kepada Bumiputera, terutama wanita dari kumpulan B40, ibu atau bapa tunggal, pekerja bebas, peniaga kecil, OKU, golongan tanpa pendidikan formal, pelajar lepasan universiti dan tidak bekerja.
Untuk maklumat lanjut mengenai program tajaan Yayasan Peneraju dan airasia academy, layari https://airasiaacademy.com/scholarship. Tertakluk kepada terma dan syarat.