AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia Foundation sokong usaha perusahaan sosial untuk membangunkan komuniti setempat secara mampan

KUALA LUMPUR, 16 Disember 2023 - AirAsia Foundation yang merupakan cabang dermawan Capital A Berhad terus menyokong inisiatif perusahaan sosial tempatan untuk membangunkan komuniti setempat secara mampan menerusi program 'City Catalysts' di Pasar Seni hari ini.

Program ini menyediakan platform kepada perusahaan sosial untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka selain bengkel dan siri bual bicara yang menggalakkan usaha pembangunan mampan dan memperkasakan komuniti setempat. Antara perusahaan sosial yang turut serta adalah Destination GOOD; Eat, Shoots, Roots; Asli & Co Craft; Hara Makers; Kraf Kadamaia; Sluvi; Oililin; Coffee for Good; Jom MakCik; Gerai OA dan Athena Empowers.

Program ini turut menawarkan sesi bual bicara yang membincangkan beberapa aspek pembangunan komuniti setempat seperti pertanian bandar, aksesibiliti perjalanan untuk warga emas dan memperkasakan komuniti terpinggir melalui aktiviti berbasikal. Antara topik yang dibincangkan adalah "Ageless Adventures" oleh Jom MakCik dan "Pedaling Progress" oleh The Basikal, kedua-duanya merupakan penerima Dana Geran Perusahaan Sosial AirAsia Foundation. Selain itu, program ini juga memberikan peluang menarik kepada para peserta untuk mengenali warisan manik Borneo dan tatu tangan tradisional oleh Eleanor Goroh dari Sabah.

Perusahaan sosial dari Sarawak iaitu Sluvi turut serta dalam program ini dengan mengetengahkan misi mereka untuk meningkatkan taraf hidup para petani melalui produk penjagaan kulit. Matlamat jangka panjang mereka adalah untuk membentuk ekosistem pertanian yang lebih baik di kawasan pedalaman di Sarawak dengan meningkatkan pendapatan dan pengetahuan mengenai pertanian mampan kepada para petani untuk menghasilkan bahan-bahan semulajadi yang berkualiti.

Pengarah Eksekutif AirAsia Foundation Yap Mun Ching, berkata: “Di peringkat Asean, kami telah menyumbang kepada 31 perusahaan sosial yang melibatkan 12,001 ahli keluarga dan komuniti di tujuh buah negara. Sumbangan ini menjadikan pelaburan terhadap setiap penerima kira-kira AS$171 seterusnya memberi kesan terus kepada 3,334 individu. Ini adalah bukti komitmen kami untuk melakukan perubahan kehidupan terhadap individu dan komuniti menerusi usaha keusahawanan sosial.

“Dalam pada kami terus menyokong perusahaan sosial tempatan, kami berhasrat dapat mengekalkan kelangsungan dan kemajuan berpanjangan kepada komuniti setempat. 'City Catalysts' adalah sebahagian daripada komitmen ini yang menyediakan platform dinamik kepada mereka dan membuka ruang kepada landskap ekonomi yang lebih mampan dan inklusif. Sokongan terhadap jenama tempatan amat penting, bukan sahaja untuk memelihara warisan dan budaya tradisional malah untuk memupuk daya tahan ekonomi dan pembangunan yang lebih kukuh. Dengan sokongan terhadap perusahaan sosial tempatan, kami berharap dapat mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, pemerkasaan komuniti dan keharmonian masyarakat.”

Orang ramai juga boleh memainkan peranan penting untuk mengekalkan momentum ini. Tingkatkan pengalaman membeli-belah anda dengan pelbagai barangan tempatan menarik di destinationgood.com. Platform dalam talian ini menyediakan produk yang dihasilkan oleh perusahaan yang terlibat dan membolehkan pengguna menyokong mereka selepas program ini.