AirAsia Newsroom

View Original

IKHLAS bekerjasama dengan Saudi Tourism Authority, beri inspirasi kepada pelancong dengan kempen ‘Rethink Summer’

Destinasi pelancongan luar biasa, Arab Saudi menarik pelancong Malaysia untuk menangani musim panas dengan menjelajah ke pelbagai destinasi unik dan menikmati tarikan istimewanya.

Keterangan gambar: Ketua Pegawai Eksekutif IKHLAS, Ikhlas Kamarudin dan Presiden APAC Markets Saudi Tourism Authority (STA), Alhasan Aldabbagh selepas memeterai usahasama bagi menjayakan kempen ‘Rethink Summer’ di Riyadh, Arab Saudi.

RIYADH, 7 Jun 2023 - Ikhlas Com Travel Sdn Bhd (IKHLAS), anak syarikat Capital A Berhad bekerjasama dengan Saudi Tourism Authority (STA) untuk melancarkan ‘Rethink Summer’, kempen bermusim yang bertujuan mempromosikan Arab Saudi kepada pelancong Malaysia sebagai destinasi musim panas yang unik dan beraneka. Terdapat pilihan yang menepati citarasa ramai, dari pergunungan Taif yang indah, pantai Jeddah yang menyeronokkan sehinggalah ke puncak awangan di Aseer. 

Arab Saudi kini merupakan antara destinasi global yang paling berkembang pesat, dengan kapasiti terbukti untuk menerima tetamu dari seluruh dunia, sepanjang tahun. Kempen ‘Rethink Summer’ membawakan aneka tarikan yang menawan antaranya tanah tinggi yang sejuk menghijau sehingga persisiran Laut Merah dan Teluk Arab.

Musim panas ini, terokai destinasi percutian menarik dengan hidangan aktiviti mengujakan seperti menunggang kuda di Al Jazeera Equestrian Center, menaiki bot atau menyelam di Jeddah, menjelajah ke perkampungan Muftaha di Al Souda atau kampung bersejarah Rijal Al Maa di Abha, menikmati panorama pergunungan Al Hada dan berkunjung ke “Bandar Rose” (City of Roses). Tidak ketinggalan pemandangan indah dari aras tinggi dengan menaiki kereta kabel dari Al Hada untuk melihat kawasan pergunungan majestik.

Ketua Pegawai Eksekutif IKHLAS, Ikhlas Kamarudin berkata: “Kami berterima kasih kepada STA atas pelantikan untuk meneraju kempen ‘Rethink Summer’ bagi pasaran Malaysia. Kami yakin bahawa kami boleh memberikan yang terbaik sebagai rakan kongsi yang kuat dan boleh dipercayai dengan sokongan AirAsia X (AAX) dan rakan kongsi hotel Saudi yang diyakini.

“Kami berharap usahasama ini akan berterusan dalam usaha membina Arab Saudi sebagai destinasi pelancongan yang selamat dan utama untuk semua rakyat Malaysia dan ramai lagi dengan menggembleng jaringan AirAsia yang meluas.”

Sejak penerbangan terus AAX dari Kuala Lumpur ke Jeddah kembali beroperasi November lalu, lebih 82,400 rakyat Malaysia telah berlepas ke Arab Saudi sehingga Mei 2023.

Presiden APAC Markets Saudi Tourism Authority, Alhasan Aldabbagh berkata: “Saudi menawarkan destinasi yang tiada tandingan. Budaya asli Arab, warisan yang kaya dan kepelbagaian landskap adalah teras kepada apa yang Saudi tawarkan kepada pelancong Malaysia. Musim panas ini, kami menyediakan acara menarik yang istimewa untuk semua. Peranan kami adalah untuk menyokong rakan kongsi seperti IKHLAS dari Capital A untuk menonjolkan pengalaman baru dan belum diterokai bagi membuka peluang baru yang dibawakan destinasi berkenaan sebagai permulaan ke arah mencapai 100 juta pelancong menjelang 2030.”

Selain menawarkan tarikan, aktiviti dan pengalaman baru disamping mempromosikan Umrah, IKHLAS turut menyasarkan untuk meningkatkan permintaan terhadap pelancongan Saudi dengan memperkenalkan jadual perjalanan buat sendiri (DIY) yang boleh disuaiguna untuk memudahkan pelancong menemui tarikan dan destinasi baru Arab Saudi.

Arab Saudi dijangka mencapai pencapaian signifikan tahun ini dengan pembukaan tiga resort pertama di Laut Merah, pembangunan pelancongan mewah yang hebat dan regeneratif serta Sindalah Island, destinasi pulau NEOM yang tiada tandingan. Diriyah, bandar lumpur berusia 300 tahun dan tempat lahir Saudi juga baru-baru ini meraikan kedatangan sejuta pengunjung sejak mula dibuka pada November lalu.

Untuk maklumat lanjut tentang destinasi, produk dan tawaran eksklusif Saudi, layari Visit Saudi.

Tentang Saudi Tourism Authority

Saudi Tourism Authority (STA), dilancarkan pada Jun 2020, bertanggungjawab memasarkan destinasi pelancongan Saudi di seluruh dunia dan membangunkan tawaran destinasi tersebut menerusi program, pakej dan sokongan perniagaan. Mandatnya termasuk membangunkan aset dan destinasi unik negara tersebut, menganjur dan menyertai acara industri serta mempromosi jenama destinasi Saudi di dalam dan luar negara. STA beroperasi di 16 cawangan di seluruh dunia dan berkhidmat di 38 buah negara.

Tentang IKHLAS

Dilancarkan sewaktu pandemik pada Oktober 2020, IKHLAS merupakan platform kembara dan gaya hidup patuh shariah direka khusus untuk membantu umat Islam melaksanakan tanggungjawab mereka dengan mudah. Selain IKHLAS Umrah dan tawaran pelancongan halal dengan usahasama syarikat penerbangan subsidiari, AirAsia X, IKHLAS turut memudahkan umat Islam melaksanakan ibadah Zakat, Sadaqah, Aqiqah, Fidyah dan Qurban.

Untuk maklumat lanjut tentang IKHLAS Umrah dan produk serta perkhidmatan lain, layari www.ikhlas.com atau muat turun aplikasi mudah alih di Apple App Store dan Google Play Store.