AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia MOVE Memilih Taman Perindustrian Fullsing untuk Mengembangkan Pasaran di China

Hainan, China, 19 November – AirAsia MOVE, platform Pelancongan Dalam Talian (OTA) terkemuka di Asean, telah memeterai Perjanjian Kerangka Kerjasama Pelaburan (ICAF) dengan Taman Perindustrian Fullsing, sebuah zon perindustrian utama di Haikou, Hainan. Majlis menandatangani perjanjian ini berlangsung hari ini di Haikou, Hainan, menandakan langkah penting bagi rancangan AirAsia MOVE untuk memasuki pasaran China.

Perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh Lim Ben-Jie, Ketua Pegawai Sumber Manusia, Usahasama & Ekosistem AirAsia MOVE, dan Change Wu, Pengarah Urusan Taman Perindustrian Internet Haikou Fullsing. Kerjasama strategik ini bertujuan untuk memanfaatkan kekuatan kedua-dua pihak bagi meningkatkan kehadiran operasi AirAsia MOVE di China, bermula dengan Wilayah Hainan.

Di bawah perjanjian ini, AirAsia MOVE dan Taman Perindustrian Fullsing akan bersama-sama meneroka peluang pelaburan, dengan tumpuan pada integrasi teknologi, pemasaran digital, dan penskalaan operasi untuk memperkukuh perkhidmatan OTA AirAsia MOVE. Kerjasama ini juga merangkumi inisiatif perkongsian ilmu untuk membangunkan penyelesaian pelancongan inovatif yang disesuaikan dengan pasaran China, sejajar dengan kedudukan strategik Hainan sebagai Pelabuhan Perdagangan Bebas dan pusat pelancongan utama.

Lim Ben-Jie, Ketua Pegawai Sumber Manusia, Usahasama & Ekosistem AirAsia MOVE berkata, “Kerjasama dengan Taman Perindustrian Fullsing ini merupakan satu pencapaian penting dalam strategi pengembangan AirAsia MOVE. Dengan menyatukan kepakaran OTA bersama infrastruktur kukuh dan lokasi strategik Fullsing, kami berada dalam kedudukan yang baik untuk menyediakan pengalaman pelancongan yang lebih baik kepada pengguna di China. Kami juga berharap dapat meningkatkan daya saing AirAsia MOVE di China, membuka jalan untuk pertumbuhan dan kerjasama masa depan di seluruh rantau melalui kerjasama ini.”

Taman Perindustrian Fullsing, yang terkenal dengan kemudahan canggih dan sokongan untuk perusahaan berasaskan teknologi, melihat kerjasama ini sebagai peluang untuk mempelbagaikan portfolio pelaburannya dalam sektor pelancongan dan perjalanan. Kerjasama ini selaras dengan matlamat Hainan untuk menarik pelaburan asing dan mempromosikan pelancongan sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan ekonomi China yang lebih luas.

Ikuti perkembangan terkini dari AirAsia MOVE dengan mengikuti @airasiamove di Instagram & TikTok. Untuk pengalaman yang lebih lancar dan dipertingkatkan, muat turun aplikasi AirAsia MOVE dari Apple App Store, Google Play Store dan Huawei App Gallery.

*** TAMAT ***