AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia komited perluas rangkaian penerbangan domestik dengan tambahan 2,000 penerbangan mingguan dan 150,000 tempat duduk

  • Meningkatkan bahagian pasaran domestik sehingga 64 peratus dengan tambahan kekerapan penerbangan menjelang akhir tahun

  • Memperkenalkan AirAsia Plus yang menawarkan nilai hebat dan kemudahan untuk para tetamu yang berlepas dari/ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SZB)

SEPANG, 23 September 2024 – AirAsia akan memperluas rangkaian penerbangan domestik di seluruh Malaysia dengan menambah 2,000 penerbangan mingguan dan sejumlah 150,000 tempat duduk ke 40 laluan utama menjelang akhir tahun ini.

Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat sempena akhir tahun, pengembangan ini akan menawarkan lebih banyak pilihan dan fleksibiliti kepada para tetamu tempatan dan serantau untuk menghubungkan mereka ke destinasi menarik di seluruh Malaysia. Inisiatif ini menekankan komitmen AirAsia untuk meningkatkan rangkaian dan memastikan perjalanan lebih mudah untuk diakses serta berpatutan untuk seluruh rakyat Malaysia.

Melalui pengembangan ini, bahagian pasaran AirAsia dijangka akan meningkat kepada 64 peratus, seterusnya memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju dalam sektor penerbangan di Malaysia. Dengan keupayaan dan dedikasi untuk mengekalkan pengalaman perjalanan para tetamu pada tahap tertinggi, syarikat penerbangan ini berhasrat untuk terus menawarkan perkhidmatan terbaik dalam industri penerbangan yang dinamik dan mencabar.

Dato' Kapten Fareh Mazputra, Pengarah Urusan AirAsia Malaysia berkata: "Sebagai syarikat penerbangan untuk semua, kami komited untuk sentiasa bersedia berkhidmat kepada rakyat Malaysia dengan menawarkan nilai hebat, lebih pilihan dan perjalanan mudah. Pengembangan rangkaian penerbangan domestik ini adalah bukti komitken kami dengan sejumlah 1.7 juta tempat duduk tersedia untuk tempahan menjelang bulan Disember 2024. Kami bukan sahaja memenuhi keperluan perjalanan rakyat Malaysia malah menawarkan lebih pilihan kepada pelancong serantau untuk meneroka dan mengunjungi destinasi menarik, warisan budaya, serta merasai sajian terkenal di Malaysia.

"Seperti syarikat penerbangan lain, kami juga sedang menghadapi cabaran seperti kekurangan pesawat dan gangguan rantaian bekalan. Kami bersedia untuk menangani isu-isu ini dengan perancangan yang teliti, kecekapan operasi dan pemulihan perkhidmatan bagi mengurangkan impak kepada para tetamu untuk memastikan mereka tiba ke destinasi dengan selamat.

"Kami berbangga dengan sumbangan berterusan AirAsia kepada sektor penerbangan Malaysia yang memainkan peranan penting dalam menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai salah satu hab mega syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) terkemuka di dunia. Pertumbuhan dan keupayaan bahagian pasaran kami bukan sekadar menambah laluan penerbangan, tetapi memainkan peranan penting dalam menyokong ekonomi negara dan meningkatkan rangkaian penerbangan. Usaha ini tidak dapat dilakukan oleh AirAsia sahaja. Justeru, kami menyeru semua pihak berkepentingan seperti pihak kerajaan, lapangan terbang, organisasi pelancongan dan pemain industri lain untuk bekerjasama secara kolektif dalam menjadikan perjalanan lebih mudah diakses dan berpatutan untuk semua, terutama rakyat Malaysia."

Selari dengan usaha berterusan untuk meningkatkan pengalaman para tetamu, AirAsia turut memperkenalkan AirAsia Plus iaitu pakej yang menawarkan nilai tambah kepada tetamu yang terbang dari dan ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SZB). Pakej AirAsia Plus ini merangkumi bagasi kabin 7kg, bagasi daftar masuk 20kg, pilihan tempat duduk, hidangan dalam penerbangan dan insurans Jaminan Bagasi dan Ketepatan Masa (OTG) yang menawarkan penyelesaian perjalanan yang menyeluruh. Pakej ini akan tersedia untuk tempahan bermula 8 Oktober 2024 bagi tempoh perjalanan mulai 9 Oktober 2024.

"Ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk menawarkan perjalanan lebih nilai kepada para tetamu dengan tambang berpatutan. AirAsia Plus direka dengan mengambil kira permintaan dan keperluan para tetamu untuk memastikan mereka mendapat perkhidmatan terbaik bersama-sama kami. Ia bukan sekadar perkhidmatan tambahan, tetapi tawaran pengalaman perjalanan lebih baik kepada para tetamu," tambah Dato' Kapten Fareh Mazputra.

AirAsia kini menawarkan tambang promosi bermula daripada RM49 termasuk semua* sehala untuk semua penerbangan domestik yang boleh ditempah mulai hari ini hingga 29 September 2024 secara eksklusif melalui aplikasi atau laman web untuk tempoh perjalanan antara 28 Oktober 2024 dan 15 Februari 2025.

**Tambang promosi termasuk semua adalah untuk perjalanan sehala termasuk cukai lapangan terbang, fi MAVCOM, surcaj bahan api dan caj-caj lain yang berkenaan. Tertakluk pada terma dan syarat lain.