AirAsia antara syarikat penerbangan tambang rendah paling selamat di dunia
SEPANG, 6 Januari 2024 - AirAsia Aviation Group, termasuk syarikat penerbangan jarak sederhana AirAsia X dan Thai AirAsia X sekali lagi diiktiraf sebagai salah satu syarikat penerbangan tambang rendah paling selamat di dunia untuk tahun 2024 oleh pakar penerbangan di AirlineRatings.com.
AirlineRatings.com yang merupakan satu-satunya agensi penarafan produk dan keselamatan syarikat penerbangan di dunia telah mengumumkan 20 syarikat penerbangan tambang rendah paling selamat untuk tahun 2024 berdasarkan 385 syarikat penerbangan yang telah dipantau.
Antara faktor yang menentukan 20 syarikat penerbangan tambang rendah paling selamat termasuk rekod insiden, umur pesawat, hasil audit yang dijalankan oleh badan pentadbir penerbangan iaitu Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), serta senarai larangan EU.
Pada bulan Mei 2023, AirAsia juga telah dinobatkan sebagai syarikat penerbangan tambang rendah teratas di Asia oleh AirlineRatings.com.
Bo Lingam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group berkata: “Keselamatan adalah keutamaan setiap jenama dan reputasi syarikat penerbangan dan kami sangat berbesar hati kerana sekali lagi diiktiraf antara yang syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dalam integriti operasi.
“Kami terus berusaha untuk memastikan sistem pengurusan keselamatan menjadi keutamaan termasuk pensijilan Audit Keselamatan Operasi Antarabangsa (IOSA) oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) di seluruh kumpulan syarikat penerbangan, sebagai penanda aras global untuk mengekalkan piawaian keselamatan tertinggi pada setiap masa.”
Benyamin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X berkata: “AirAsia X telah mendapat akreditasi IOSA sejak tahun 2013 dan kami terus komited untuk menyediakan perjalanan udara yang selamat, mampu milik dan dipercayai untuk penerbangan jarak sederhana di seluruh Asia dan lain-lain. Saya menghargai sokongan seluruh pasukan AAX kerana memberikan yang terbaik dalam Semua aspek operasi termasuk keselamatan. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada AirlineRatings.com atas sokongan berterusan mereka terhadap AirAsia X.”
Thai AirAsia X, syarikat penerbangan jarak sederhana yang telah mendapat akreditasi IOSA sejak tahun 2018 turut mengesahkan komitmennya untuk sentiasa mengutamakan keselamatan dan berbangga untuk mencapai pengiktirafan ini.
Tassapon Bijleveld, Ketua Pegawai Eksekutif Thai AirAsia X berkata: “Keselamatan adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi dan merupakan kriteria utama dalam semua aspek syarikat kami. Kami berbesar hati untuk menerima pengiktirafan ini dalam usaha kami menawarkan nilai dan pilihan terbaik dari Thailand ke destinasi antarabangsa popular seperti Jepun dan Australia.
“Thai AirAsia X berbangga dengan pengiktirafan ini yang menyerlahkan dedikasi dan prestasi operasi Allstars kami. Pengiktirafan ini juga adalah bukti kualiti dan piawaian bertaraf dunia yang akan mendorong kami untuk meningkatkan lagi perkhidmatan, supaya kami boleh terus menawarkan pengalaman perjalanan yang selamat dan mampu milik kepada semua.”
GeoffreyThomas Ketua Pengarang AirlineRatings.com berkata: “AirAsia Aviation Group termasuk AirAsia X dan Thai AirAsia X mempunyai rekod keselamatan yang cemerlang dan terus melepasi semua audit keselamatan utama selama bertahun-tahun. Dedikasi dan tumpuan mereka terhadap aspek keselamatan sememangnya harus dipuji.”