AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia Digital bekerjasama dengan Google untuk melancarkan Redbeat Academy

Kenyataan Gambar: Yang Berhormat Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Tiga dari kiri) dan Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah binti Tapsir, Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Dua dari kanan) melancarkan RedBeat Academy bersama-samaDatuk Kamarudin Meranun, Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia (Dua dari kiri); Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia (Tiga dari kanan); Aireen Omar, Presiden (AirAsia Digital) Kumpulan AirAsia (kiri) dan Marc Woo, Ketua Google Malaysia (kanan).

KUALA LUMPUR, 1 Oktober 2020 - AirAsia Digital dengan kerjasama Google telah melancarkan Redbeat Academy hari ini selaras dengan pengembangan perniagaan digital Kumpulan AirAsia.

Akademi ini telah dilancarkan oleh Yang Berhormat Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah binti Tapsir, Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi disaksikan oleh Datuk Kamarudin Meranun, Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia; Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia; Aireen Omar, Presiden (AirAsia Digital) Kumpulan AirAsia dan Marc Woo, Ketua Google Malaysia. 

Pada mulanya, akademi ini ditubuhkan untuk kakitangan AirAsia (Allstars) untuk mempelajari kemahiran baharu melalui bengkel teknologi seperti Kecerdasan Buatan, Pembelajaran Mesin, Perisian Kejuruteraan, Keselamatan Siber, Big Data dan Infrastruktur serta lain-lain. Kini Redbeat Academy turut dibuka untuk orang awam.

Langkah ini adalah sebahagian daripada objektif akademi ini dan bertujuan untuk membina masa depan tersedia bagi generasi akan datang dengan menyediakan perkhidmatan sehenti dalam teknologi, kepimpinan dan inovasi bagi memenuhi sumber keperluan ekonomi digital di Malaysia dan rantau Asean.

YB Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, “Saya ingin mengucapkan tahniah kepada AirAsia Digital dan Google atas kerjasama dan pelancaran Redbeat Academy. Konsep akademi ini menandakan tren penting untuk dunia digital hari ini di mana aspek digital telah mengubah cara perniagaan dijalankan, menyusun semula pekerjaan dan menjadikan produk pemasaran beralih daripada cara tradisional kepada digital serta berasaskan tabiat pengguna. Usaha ini sejajar dengan inisiatif-inisiatif utama kerajaan seperti National Technology & Innovation Sandbox (NTIS) bertujuan memacu perjalanan Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi dan berteknologi tinggi di samping meningkatkan impak sosial serta memperkukuhkan struktur ekosistem inovasi sosial. MOSTI berbangga untuk memainkan peranan mendorong inovasi dari peringkat akar umbi bersama pemain industri terkemuka seperti AirAsia, kerana inovasi terbukti merupakan pemacu utama ekonomi dan pasaran di seluruh dunia. Kami juga teruja untuk melihat rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat dan industri mendaftar untuk kursus yang ditawarkan di Redbeat Academy.”

Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia berkata, “AirAsia adalah sebuah syarikat teknologi dan hari ini kami berbesar hati untuk melancarkan akademi teknologi ini dan bangga untuk bekerjasama dan berkongsi sumber dan pengetahuan dengan Google.

“Dengan misi untuk memperkasakan, menghubungkan dan mengembangkan saluran bakat teknologi yang mampan, kami juga berbangga untuk membuka akademi ini kepada semua untuk mendapat peluang pembelajaran daripada mentor yang terdiri daripada pemain industri profesional dan menghasilkan bakat yang boleh menyelesaikan masalah dengan teknologi. Semua orang perlu terus belajar, berkembang dan membiasakan diri dengan landskap teknologi yang sentiasa berubah untuk memastikan bahawa kita akan terus relevan dalam ekonomi digital ini. Saya berharap semua orang akan mengambil kesempatan ini untuk mempelajari set kemahiran baharu dalam bidang teknologi supaya kita bersama-sama dapat berusaha untuk mencapai kejayaan dan membangunkan negara.”

Rochana Golani, Pengarah Google Cloud Learning Services berkata, “Teknologi cloud dapat memacu pertumbuhan dan inovasi yang mampan untuk perniagaan besar dan kecil, dan Redbeat Academy akan membantu mengembangkan kemahiran dan bakat dalam bidang ini di seluruh Malaysia. Sebagai Rakan Latihan Rasmi Google Cloud, kami juga berharap dapat bekerjasama dengan pasukan akademi ini untuk menyediakan kursus dan pembelajaran lanjutan untuk melahirkan para profesional dalam teknologi cloud.” 

Redbeat Academy akan memberi tumpuan dalam lima segmen, iaitu AirAsia Allstars, badan korporat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), agensi kerajaan, universiti dan orang awam dengan sekurang-kurangnya 100,000 bakat yang akan dimanfaatkan pada setiap tahun untuk memberikan penyelesaian dalam tiga bidang utama: Program Pembangunan Kemahiran, Makmal Betabuild - sebuah program yang ditawarkan oleh AirAsia dengan sokongan Google untuk membantu perusahaan menceburi Perniagaan Digital Baharu - serta Kakitangan, Perkhidmatan Kerjaya dan Pengambilan Kakitangan.

Selain itu, Redbeat Academy juga telah mengumumkan kerjasama dengan Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) untuk membangunkan semula bakat dalam projek Kejuruteraan Perisian dan Teknologi Tinggi (seperti blockchain dan data) dan Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Malaya dan Asia School of Business yang bekerjasama dengan MIT Sloan Management, untuk memberikan pengesahan pembelajaran (micro-credential) bagi kursus Redbeat Academy dan memperakuinya sebagai sebahagian daripada Akreditasi Pengalaman Pembelajaran Terdahulu (APEL).

Akademi ini juga meraikan kumpulan graduan pertama yang terdiri daripada 135 AirAsia Allstars, yang telah lulus dalam kursus Digital Fundamentals mereka daripada Program Reskilling & Upskilling yang telah dijalankan secara dalaman dan akan meneruskan karier mereka di dalam bidang teknologi masing-masing.

Untuk maklumat lanjut, layari redbeatacademy.com atau ikuti Redbeat Academy di Facebook dan Redbeat Academy di YouTube.