AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia diiktiraf Malaysia Book of Records untuk teknologi pengecaman wajah pertama

Kenyataan Gambar: (Dua dari kanan) Ketua Pegawai Operasi Malaysia Book of Records Wong Hong Wai menyampaikan sijil pengiktirafan untuk FACES kepada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia (Digital, Transformasi dan Perkhidmatan Korporat) Aireen Omar, dan disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan Malaysia YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di ibu pejabat AirAsia, RedQ, hari ini.

SEPANG, 6 September 2018 - AirAsia menerima pengiktirafan kedua daripada Malaysia Book of Records sebagai Syarikat Penerbangan Pertama yang Memperkenalkan Teknologi Pengecaman Wajah di Malaysia untuk inovasi terkininya, Fast Airport Clearance Experience System (FACES).

Dimiliki dan dikendalikan sepenuhnya oleh AirAsia, FACES adalah sistem pengecaman wajah dengan pintu perlepasan sendiri. Sistem tersebut menggunakan teknologi pengecaman wajah untuk mengenal pasti tetamu yang telah berdaftar di pintu perlepasan sendiri, membolehkan mereka menaiki penerbangan mereka tanpa perlu mengemukakan sebarang dokumen perjalanan. FACES boleh didapati di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru.

Sehingga kini, kira-kira 73,000 orang tetamu telah mendaftar dengan FACES, dan jumlah pendaftaran kian meningkat daripada 8,000 orang tetamu sebulan dari tarikh pelancarannya di bulan Februari hingga Jun dan kini mencecah 12,000 orang tetamu sebulan. AirAsia kini sedang berusaha untuk terus membangun dan menyempurnakan teknologi ini untuk dilaksanakan di semua lapangan terbang di Malaysia.

Rekod tersebut telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi Malaysia Book of Records Wong Hong Wai kepada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia (Digital, Transformasi dan Perkhidmatan Korporats) Aireen Omar, dan disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan Malaysia YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di ibu pejabat AirAsia, RedQ, hari ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia (Digital, Transformasi dan Perkhidmatan Korporat) Aireen Omar berkata, “FACES membolehkan kami memberikan pengalaman lapangan terbang yang lebih baik kepada para tetamu kami dengan mengurangkan jumlah masa yang diperlukan untuk menaiki pesawat. Kami berbangga untuk menjadi syarikat penerbangan pertama di Malaysia dan Asia untuk menawarkan pengalaman perjalanan yang lancar bermula daripada daftar masuk hingga menaiki pesawat dengan teknologi pengecaman wajah terkini. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Malaysia Book of Records kerana mengiktiraf usaha kami dalam memberikan perkhidmatan yang lebih canggih kepada tetamu kami. "

AirAsia merupakan perintis dalam menggunakan teknologi baharu untuk meningkatkan pengalaman perjalanan para tetamunya. Syarikat penerbangan ini merupakan antara yang pertama memperkenalkan tempahan menggunakan SMS pada tahun 2003, diikuti dengan laman web airasia.com dan aplikasi mudah alih, yang memenangi anugerah Laman Web Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Dunia, Aplikasi Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Dunia di Anugerah Pelancongan Dunia 2015.

AirAsia juga adalah perintis dalam menggunakan kiosk layan diri di lapangan terbang yang membenarkan para tetamu mendaftar masuk, mencetak pas masuk dan tag bagasi mereka, serta memperkenalkan tag bagasi di rumah dan fungsi daftar masuk bagasi sendiri untuk kemudahan para tetamunya.

Awal tahun ini, AirAsia telah bekerjasama dengan Palantir, syarikat yang berpangkalan di California untuk melaksanakan projek di platform Palantir dalam pelbagai fungsi perniagaan syarikat penerbangan itu bagi tempoh lima tahun akan datang. Fungsi-fungsi tersebut termasuklah keselesaan pelanggan, jualan dalam penerbangan, perolehan laluan, kewangan, keselamatan, operasi penerbangan, perancangan rangkaian, kargo, pengurusan rantaian bekalan, komersial dan pembangunan pekerja.

AirAsia diiktiraf Malaysia Book of Records buat pertama kali pada tahun 2014 sebagai Syarikat Penerbangan Pertama yang Menawarkan Wi-Fi Dalam Penerbangan di Malaysia dengan perkhidmatan sambungan internet dan hiburan ROKKI.

Untuk promosi dan aktiviti terkini AirAsia, sila ikuti AirAsia di Twitter (twitter.com/AirAsia) dan Facebook (facebook.com/AirAsia).