AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia dinobatkan Pasukan Perbendaharaan Syarikat Penerbangan Tahunan di Anugerah Airfinance

NEW YORK, 6 Mei 2019 - AirAsia telah dinobatkan sebagai Pasukan Perbendaharaan Syarikat Penerbangan Tahunan di Anugerah Global Jurnal Airfinance (AFJ) 2018.

Anugerah berprestij itu mengiktiraf pasukan perbendaharaan syarikat penerbangan yang telah mencatatkan prestasi cemerlang dalam strategi pembiayaan pesawat.

Ia telah dianugerahkan kepada pasukan kewangan pesawat AirAsia yang berjaya menyelesaikan dua projek portfolio pesawat utama tahun lalu kepada FLY Leasing Limited dan Castlelake LP melalui kaedah “struktur pembiayaan cekap yang dapat menyelesaikan beberapa cabaran dalam urus niaga pembiayaan pesawat”.

AirAsia juga membawa pulang Anugerah Editor’s Deal Tahunan, yang dipilih oleh Pengarang AFJ Jack Dutton, untuk penjualan operasi pajakan melibatkan 84 buah pesawat bernilai AS$1.18 bilion kepada entiti pelaburan pesawat komersial yang diuruskan oleh BBAM Limited Partnership, FLY Leasing Limited dan Incline B-Aviation Limited Partnership.

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan AirAsia Pattra Boosarawongse dan Ketua Kewangan Penerbangan AirAsia Farhan Zainul menerima anugerah tersebut bagi pihak AirAsia pada majlis gala di Kelab Metropolitan di sini Khamis lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tony Fernandes berkata, “Penjualan operasi pajakan pesawat kami adalah strategi jangka panjang untuk melupuskan aset fizikal bukan teras kami untuk pulangan tunai. Strategi ini membolehkan kami meletakkan nilai yang lebih tinggi pada pesawat kami dan mengelakkan sebarang risiko berbaki dan seterusnya membolehkan kami memberi pulangan tunai kepada pemegang saham kami dan melabur dalam usaha digital, yang akan meningkatkan pertumbuhan AirAsia di masa hadapan.

“Semua ini tidak mungkin boleh dilakukan tanpa pasukan kewangan pesawat kami yang sangat komited, dan tiada siapa yang lebih layak untuk memenangi gelaran Pasukan Perbendaharaan Syarikat Penerbangan Tahunan selain mereka.”

Anugerah AFJ Global adalah anugerah kewangan penerbangan terkemuka dan paling berprestij di dunia, meraikan syarikat penerbangan terbaik, urus niaga pembiayaan pajakan dan tawaran kewangan OEM yang dilaksanakan pada tahun kalendar yang lalu serta mengiktiraf organisasi dan pasukan yang memainkan peranan utama dalam transaksi tersebut.

Sebanyak 320 penyertaan dalam 31 kategori yang meliputi lebih daripada 128 urus niaga unik dipertimbangkan dan diadili oleh panel hakim antarabangsa, termasuk sembilan eksekutif kanan kewangan penerbangan dari sektor penerbangan, kewangan, perundangan dan pembuatan.