AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia Group Berhad terima kelulusan Danajamin Nasional Berhad untuk pembiayaan bersindiket sehingga RM500 juta di bawah Skim Jaminan PRIHATIN Danajamin

SEPANG, 5 Oktober 2021 - AirAsia Group Berhad (AAGB) hari ini mengumumkan bahawa ia telah menerima kelulusan oleh Danajamin Nasional Berhad (Danajamin) untuk 80% pinjaman yang dijamin sehingga RM500 juta di bawah Skim Jaminan PRIHATIN Danajamin, yang merupakan sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Malaysia berikutan pandemik Covid-19. 

Pinjaman tersebut telah diluluskan oleh pemberi pinjaman AAGB di bawah kemudahan pembiayaan bersindiket, dengan jaminan oleh Danajamin melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), sebuah entiti milik penuh Kementerian Kewangan Kerajaan Malaysia.

Jaminan dari Kerajaan Malaysia melalui Danajamin/SJPP mencerminkan sokongan yang kukuh terhadap AAGB dalam persediaannya untuk memastikan ia berada dalam kedudukan yang teguh bagi menyediakan perkhidmatan kepada negara dan masyarakat, seterusnya memainkan peranan penting dalam membina semula ekonomi negara untuk kembali pulih daripada pandemik Covid-19.

Pembiayaan bersindiket tersebut diperuntukkan untuk modal kerja, yang akan menampung kos kakitangan dan perbelanjaan operasi utama seperti penyelenggaraan pesawat dalam persediaan AAGB untuk meningkatkan operasinya sempena pembukaan semula sempadan domestik dan antarabangsa dalam waktu terdekat.

Pengerusi Eksekutif AirAsia Datuk Kamarudin Meranun berkata: “AirAsia merupakan penyumbang utama ekonomi Malaysia dengan menyediakan rangkaian penerbangan untuk memudahkan aktiviti pelancongan, perdagangan dan pelaburan. Kami juga memainkan peranan penting dalam menyediakan peluang pekerjaan yang luas dan memperkasakan PKS tempatan, terutamanya melalui usaha digital kami.

“Kelulusan daripada kerajaan Malaysia ini merupakan sokongan yang kuat terhadap kemampuan AirAsia Group untuk pulih dengan lebih cepat dan memacu keseluruhan strategi pengumpulan dana kami dalam persediaan kami untuk kembali beroperasi di semua pasaran utama kami.

“Negara-negara di seluruh dunia, termasuk di rantau ini telah mula membuka semula sempadan antarabangsa berikutan kadar vaksinasi yang tinggi. Kadar vaksinasi dewasa di Malaysia kini hampir 90%, dan sempadan domestik dijangka akan dibuka setelah kita mencapai sasaran itu. Gelembung perjalanan Langkawi merupakan kejayaan besar sejak ia dilancarkan dan kami telah melihat permintaan yang luar biasa menerusi 90 perkhidmatan penerbangan seminggu dari 16 September. Kami juga telah melihat pembukaan secara beransur-ansur di Thailand, Indonesia dan Filipina di mana kami kembali beroperasi. Dalam pada negara-negara di rantau ini meneruskan perbincangan untuk membuka semula sempadan antarabangsa secara beransur-ansur dan melaksanakan gelembung perjalanan, kami yakin bahawa perkhidmatan kami akan pulih dalam waktu terdekat.”