AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia lancar hab baharu di Lombok

Keterangan Gambar: Gabenor Nusa Tenggara Barat Dr H Zulkifliemansyah SE Msc (sembilan dari kiri), diiringi oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia (Penerbangan) Bo Lingam dan Pengarah Hubungan dan Pembangunan Perniagaan Antarabangsa Angkasa Pura I Sardjono Jhonny Tjitrokusumo (kiri), Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Indonesia Dendy Kurniawan dan Kakitangan Khas kepada Menteri Pelancongan Indonesia Judi Rifajantoro (di sebelah kanan), dan Pengerusi Eksekutif AirAsia Thailand Tassapon Bijleveld (empat dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat (lima dari kiri) di hadapan pesawat AirAsia A320 dengan slogan "I Love Lombok" .

LOMBOK, 2 Mei 2019 - AirAsia hari ini telah secara rasmi melancarkan hab baharu di Pulau Lombok, Daerah Nusa Tenggara Barat Indonesia.

Hab Lombok baharu AirAsia ini adalah sebahagian daripada  sokongan kepada usaha Kerajaan Indonesia dan Kementerian Pelancongan untuk membangunkan Lombok sebagai salah satu daripada ‘10 Bali baharu’.

Sempena majlis perasmian ini, AirAsia juga telah memperkenalkan rekaan luar pesawat khas bagi menyokong promosi pelancongan Lombok yang memaparkan ikon pelancongan ternama tempatan seperti Gunung Rinjani dan keindahan dasar lautan di kepulauan Gili yang terletak di tenggara Lombok.

Pesawat Airbus A320 dengan kod pendaftaran PK-AXU akan memulakan perkhidmatan ke laluan yang telah diumumkan baru-baru ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Zainuddin Abdul Madjid Lombok ke Perth, Australia pada 9 Jun 2019 dan akan menghubungkan destinasi domestik seperti Jakarta, Yogyakarta dan Bali tidak lama lagi.

Menteri Pelancongan Indonesia Arief Yahya berkata, “Terima kasih AirAsia, kerana menjadikan Lombok sebuah hab dan kerana menyokong kempen ‘Wonderful Indonesia’ dengan rekaan pesawat khas ini. Dalam usaha membangunkan sebuah destinasi pelancongan, saya selalu menggunakan formula: Tarikan, Akses dan Kemudahan. Formula ini juga selari dengan usaha AirAsia, terutama sekali Akses.

“AirAsia telah membuat pilihan yang tepat dengan menjadikan Lombok sebagai habnya, kerana Mandalika telah dipilih sebagai salah satu daripada ‘10 Bali baharu.’ Dengan keindahan semula jadi dan kaya dengan warisan budaya, jumlah pelancong antarabangsa ke Lombok kini berkembang dengan lebih pesat, dan kami amat menghargai kerjasama AirAsia dalam membantu kami mengembangkan sektor pelancongan Indonesia.”

Ketua Pengarah Pengangkutan Udara Indonesia Polana B Pramesti berkata, “Pelancaran hab di Lombok oleh AirAsia Indonesia hari ini adalah satu langkah positif, terutamanya dalam meningkatkan kedatangan pelancong antarabangsa. Dalam pada itu, semua syarikat penerbangan haruslah memastikan bawah aspek keselamatan, sekuriti dan perkhidmatan terus mematuhi peraturan industri penerbangan.”

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Indonesia Dendy Kurniawan berkata, “Kami berbesar hati kerana dapat melancarkan hab baharu ini di Lombok,  destinasi yang kaya dengan tarikan pelancong dan satu destinasi yang dekat di hati rakyat. Pengumuman hari ini bukan sahaja mengembangkan jaringan hubungan domestik dan antarabangsa, tetapi juga membuka peluang pekerjaan tempatan, merangsang pertumbuhan sektor pelancongan dan menyumbang kepada kepentingan ekonomi pengunjung untuk Lombok.

AirAsia juga akan melancarkan beberapa inisiatif kelestarian tambahan selain usaha bantuan bencana oleh Yayasan AirAsia, yang turut bekerjasama dengan Yayasan Arkom Indonesia untuk membina tempat perlindungan sementara dan kawasan kediaman di pulau itu susulan siri gempa bumi pada tahun 2018.

Tambah Kurniawan: “Data daripada Kementerian Pelancongan Indonesia menunjukkan bawaha AirAsia kekal sebagai penyumbang terbesar dalam membawa pelancong antarabangsa ke negara ini, kira-kira 3.2 juta kedatangan pelancong asing atau 25 peratus daripada semua pelancong antarabangsa ke Indonesia pada tahun lepas. Dengan adanya dua pesawat yang berpangkalan di Lombok, pengumuman hari ini mengukuhkan lagi komitmen AirAsia dalam menyokong sektor pelancongan Indonesia, dan membantu membangunkan Lombok untuk menjadi salah satu daripada ‘10 Bali baharu’. Kami juga berharap untuk menggalakkan kedatangan lebih ramai pelancong dengan slogan ‘I Love Lombok’ ke hab baharu kami ini.”

Lombok adalah hab kelima AirAsia di Indonesia selepas Jakarta, Surabaya, Medan dan Bali. Sejak memulakan perkhidmatan dari Kuala Lumpur, Malaysia ke Lombok pada tahun 2012, AirAsia telah menerbangkan lebih daripada satu juta pelancong antarabangsa ke pulau tersebut.

Untuk promosi dan aktiviti terkini AirAsia, sila ikuti AirAsia di Twitter (twitter.com/AirAsia), Facebook (facebook.com/AirAsia) dan Instagram (instagram.com/AirAsia).

Jadual Penerbangan Lombok - Perth
Bermula 9 Jun 2019

Jadual Penerbangan Lombok - Kuala Lumpur
Bermula 8 Mei 2019