AirAsia lancar kempen 'This Is India', tawar perjalanan antara Singapura dan India dengan lebih berpatutan
SINGAPURA, 2 Februari 2024 - AirAsia hari ini melancarkan kempen 'This Is India' untuk meningkatkan perjalanan antara Singapura dan India melalui perkhidmatan Fly-Thru dengan tambang lebih berpatutan.
Para pelancong dari Singapura kini boleh terbang ke 11 destinasi di India melalui Kuala Lumpur iaitu Chennai, Tiruchirappalli, Kochi, Hyderabad, Bengaluru, Kolkata, New Delhi, Amritsar, Trivandrum (bermula 21 Februari 2024), Jaipur (bermula 21 April 2024) dan Ahmedabad (bermula 1 Mei 2024). Para tetamu juga boleh memanfaatkan perkhidmatan Fly-Thru dari Singapura melalui Bangkok (Don Mueang) ke Bengaluru, Kolkata, Kochi, Jaipur, Chennai, Lucknow, Ahmedabad, Gaya, Guwahati dan Visakhapatnam.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Singapura, Logan Velaitham berkata: "Kami berbesar hati untuk menawarkan perjalanan dengan tambang berpatutan antara Singapura dan India. India merupakan salah satu pasaran terbesar yang menghubungkan para pengembara dari dan ke Singapura. Sejak tujuh tahun lepas, kami telah menerbangkan lebih daripada 180,000 tetamu antara kedua-dua negara ini dan jumlahnya terus meningkat. Sebagai syarikat penerbangan untuk semua, kami sentiasa komited untuk menghubungkan para tetamu dengan tambang berpatutan dan berbesar hati untuk mengumumkan pelancaran kempen 'This Is India' ini.
"Perkhidmatan Fly-Thru kami juga menawarkan perjalanan lancar di mana para tetamu tidak perlu melalui proses imigresen dan pertukaran bagasi untuk ke destinasi akhir mereka. Kami berharap untuk terus menerbangkan lebih ramai pengembara ke 11 destinasi menarik di India dari Singapura dan destinasi-destinasi lain."
Bagi memacu industri pelancongan antara Singapura dan India, AirAsia kini menawarkan tambang promosi istimewa termasuk semua* sehala bermula SGD243, dari Singapura ke India melalui Kuala Lumpur. Para pelancong dari India yang ingin mengunjungi Singapura juga boleh menempah penerbangan dengan tambang bermula INR7,835 termasuk semua sehala. Tambang promosi ini boleh ditempah mulai hari ini hingga 4 Februari 2024 untuk tempoh perjalanan antara 2 Februari dan 30 November 2024.
*Tambang promosi termasuk semua adalah untuk perjalanan sehala sahaja termasuk cukai, surcaj bahan api dan caj lain yang berkenaan. Tertakluk pada terma dan syarat lain.