AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia lancar program “APU Off” bagi mengurangkan pelepasan karbon di lapangan terbang

Dari (Kiri ke Kanan): Kesavan Sivanandam, Ketua Pegawai Pengalaman Lapangan Terbang dan Pelanggan AirAsia Aviation Group; Yap Mun Ching, Ketua Pegawai Kelestarian Capital A; YB Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan Malaysia; Dato’ Kapten Fareh Mazputra, Pengarah Urusan AirAsia Malaysia; Mohit Khatri, Ketua Projek Operasi Darat AirAsia dan Fazrul Khan, Pengurus Bertugas, Projek Operasi Darat AirAsia.

SEPANG, 22 OKTOBER 2024 - AirAsia hari ini mengumumkan inisiatif baharu bagi mengurangkan pelepasan karbon di lapangan terbang melalui pengenalan teknologi sokongan darat terkini di hab utamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2.

AirAsia dan Smart Airport Systems (SAS)* telah memperkenalkan penggunaan Unit Kombo iaitu peralatan darat canggih yang menggabungkan dua fungsi utama iaitu Unit Kuasa Darat (GPU) dan Unit Penyaman Udara (ACU) kepada Menteri Pengangkutan, YB Loke Siew Fook. Unit Kombo merupakan pembekal kuasa elektrik dan penyejuk udara kepada pesawat ketika berada di darat sebelum perlepasan dan transit. Tanpa bekalan kuasa darat yang mencukupi dan ACU yang berfungsi dengan baik, pesawat bergantung kepada penggunaan unit kuasa bantuan (APU)** untuk melaksanakan fungsi yang sama, di mana ianya kurang efisien dari segi kos dan pelepasan karbon kerana APU dikuasakan oleh bahan api turbin penerbangan.

Unit Kombo ini merupakan sebahagian daripada rangkaian inovasi peralatan darat berprestasi tinggi SAS yang menawarkan penyelesaian kepada syarikat penerbangan untuk mengurangkan penggunaan bahan api di darat dan pelepasan karbon. Melalui pengurangan penggunaan APU, AirAsia dijangka dapat mengurangkan kos operasi dan pelepasan CO2 sebanyak 90 peratus pada kadar penggunaan optimum, sekali gus mengurangkan pelepasan Skop 1 dalam operasinya. Berdasarkan Laporan Tahunan 2023 Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), pelepasan karbon daripada pesawat menyumbang kepada 53 peratus daripada jumlah pelepasan CO2 di lapangan terbang, dan 23 peratus daripadanya adalah daripada penggunaan APU. Penyumbang utama lain termasuk pelepasan daripada bangunan lapangan terbang dan kenderaan di kawasan lapangan terbang.  

YB Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan, berkata: “Saya berbangga dengan AirAsia kerana menjadi syarikat penerbangan pertama di Malaysia yang menggunakan Unit Kombo. Ini merupakan antara langkah yang boleh diambil oleh syarikat penerbangan bagi mengurangkan pelepasan karbon dan meningkatkan kecekapan operasi di lapangan terbang, seperti yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Penyahkarbonan Penerbangan Malaysia.

“Pelepasan APU menyumbang kepada 12 peratus daripada jumlah pelepasan karbon lapangan terbang yang dilaporkan. Pelancaran ini merupakan langkah penting dalam usaha menangani pelepasan karbon di darat dengan harapan semua syarikat penerbangan dan operator pengendalian darat akan menggunakan teknologi ini sebagai penanda aras baharu untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju sektor penerbangansecara lestari di rantau ini.” 

Kesavan Sivanandam, Ketua Pegawai Pengalaman Lapangan Terbang dan Pelanggan AirAsia Aviation Group berkata: “Penggunaan Unit Kombo yang cekap tenaga ini menawarkan peluang kepada syarikat penerbangan seperti AirAsia untuk menyahkarbon operasi memandangkan kami beroperasi di negara yang mempunyai kelembapan tinggi. Kami tidak dapat beralih kepada GPU konvensional kerana ia tidak mempunyai fungsi penyejukan kabin yang diperlukan untuk keselesaan para tetamu kami.” 

Beliau juga berkata penerapan teknologi Unit Kombo SAS menegaskan komitmen AirAsia terhadap kelestarian dan mewakili langkah yang dikenal pasti dalam Pelan Hala Tuju Penyahkarbonan Penerbangan oleh Kementerian Pengangkutan yang dilancarkan pada bulan lepas. Di bawah garis panduan Lapangan Terbang tersebut, MADB menyeru agar semua syarikat penerbangan yang beroperasi di lapangan terbang Malaysia disediakan dengan kemudahan dan pilihan untuk menggunakan Unit Kuasa Darat (GPU) dan Unit Pra-penyaman Udara semasa transit dan ketika melakukan aktiviti penyelenggaraan pesawat.

Amaury Papillault, Pengarah Serantau SAS berkata: “SAS telah menjadi peneraju dalam melaksanakan inisiatif ‘APU Off’ selama lebih daripada 20 tahun dan kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan AirAsia dalam usaha mengurangkan karbon di darat. Komuniti penerbangan telah lama menyedari peranan penting penutupan APU dalam mengurangkan pelepasan karbon pesawat di lapangan terbang. Melalui inisiatif  penggunaan Unit Kombo ini, pengurangan pelepasan APU menjadi langkah mudah yang boleh diambil oleh semua syarikat penerbangan sebagai sebahagian daripada program penyahkarbon mereka.”  

Papillault turut menyatakan bahawa penggunaan Unit Kombo ini juga dapat membantu dalam meningkatkan suasana kerja bagi juruteknik dan pengendali darat dengan mengurangkan pencemaran udara dan bunyi, terutamanya daripada asap jet yang dihasilkan oleh APU.  

Melalui demonstrasi yang dilakukan bersama Menteri Pengangkutan, SAS membuktikan bahawa Unit Kombo ini boleh disambungkan dan diaktifkan dalam masa kurang daripada dua minit sebaik sahaja pesawat tiba di pintu masuk semasa transit.  

AirAsia akan mula menggunakan empat Unit Kombo daripada SAS mulai bulan ini. Syarikat penerbangan ini berharap untuk menambah lebih banyak unit di KLIA Terminal 2 dan di semua hab domestik utama menjelang akhir tahun 2025. Melalui penggunaan sepenuhnya, Unit Kombo ini dijangka dapat mengurangkan pelepasan karbon AirAsia di darat sebanyak 20,000 tan CO2 setiap tahun.  

*Smart Airport Systems (SAS) adalah sebahagian daripada Alvest Group, peneraju global dalam peralatan sokongan darat penerbangan. Ia merupakan inisiatif yang bertujuan untuk mengurangkan bunyi dan pencemaran di lapangan terbang. 

**Auxiliary Power Unit (APU) ialah enjin turbin kecil yang menggunakan bahan api pesawat untuk menghasilkan kuasa elektrik dan hidrolik serta menyejukkan kabin apabila enjin utama pesawat tidak beroperasi.