AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia mencari calon kru kabin dari Pantai Timur

SEPANG, 25 April 2019 – AirAsia akan memulakan pencarian kru kabin  di Terengganu pada bulan hadapan.

Dalam misi untuk menawarkan perkhidmatan yang mengutamakan para tetamu, Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia ini mencari individu yang mempunyai personaliti yang menarik, bersemangat tinggi, dan mempunyai kemahiran untuk bekerja dalam pasukan.

Ketua Kumpulan Kru Kabin Kumpulan AirAsia Suhaila Hassan berkata, “Kami percaya bahawa terdapat ramai bakat-bakat dari Pantai Timur Malaysia yang boleh diketengahkan. Jadi  kami teruja untuk memulakan pencarian individu yang bersemangat untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada para tetamu dan menyertai keluarga kru kabin kami yang kini mencecah seramai 6,300 orang. Selain menjadi duta kepada Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia, calon yang berjaya juga akan berpeluang untuk mengembangkan kerjaya mereka, menjalani latihan bertaraf dunia dan menerima pakej imbuhan yang menarik termasuklah pelbagai faedah perjalanan. Kami berharap dapat bertemu dengan calon-calon yang berbakat apabila kami mengajurkan temu duga di pantai timur pada bulan hadapan.”

Temu duga kru kabin tersebut akan berlangsung pada 4 Mei 2019 di Pusat JobsMalaysia di Kuala Terengganu. Pendaftaran akan bermula pada 9 pagi hingga 11 pagi.

Graduan daripada mana-mana bidang dan kru yang berpengalaman juga digalakkan untuk memohon. Temu duga ini terbuka kepada individu yang berumur 18 tahun dan ke atas. Calon-calon yang berminat haruslah melengkapkan borang di sini dan hadir bersama sijil asal dan salinan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan KREDIT dalam Bahasa Inggeris atau setaraf, sijil asal dan salinan institusi pengajian tinggi atau setaraf, resume terkini, salinan dan kad pengenalan asal, salinan gambar bersaiz pasport dan salinan gambar penuh terkini.

AirAsia juga akan mengadakan temu duga terbuka di ibu pejabat AirAsia, RedQ di Sepang pada 11 Mei 2019 dan calon-calon yang berminat boleh mengisi borang di sini.

Untuk berita terkini AirAsia, aktiviti dan promosi, ikuti AirAsia di Twitter (twitter.com/AirAsia), Facebook (facebook.com/AirAsia) dan laman Instagram rasmi Kru Kabin AirAsia (instagram.com/airasiacabincrew).