AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia meriahkan Lan Berambeh Anak Sarawak 2024

SEPANG, 18 Oktober 2024 – Syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia untuk 15 tahun berturut-turut, AirAsia, bakal menambahkan kemeriahan di acara Lan Berambeh Anak Sarawak yang akan berlangsung pada Sabtu 19 Oktober 2024 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur.

Antaranya, para peserta dan pengunjung Lan Berambeh berpeluang menikmati potongan harga istimewa bagi tiket penerbangan AirAsia, manakala para pelajar pula boleh menyemak kelayakan serta menebus bantuan subsidi FlySiswa semasa pameran berlangsung dari 9 pagi sehingga 5 petang.

Sementara itu, platform pelancongan digital AirAsia MOVE juga menyediakan kemudahan pengangkutan ride-hailing AirAsia RIDE dengan potongan istimewa RM5 untuk perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2, serta Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang ke MITEC dengan memasukkan kos promosi “LBASRIDE” semasa menempah, manakala dengan kod promosi “RIDE2LBAS” pula pengunjung boleh menikmati potongan RM2 untuk perjalanan pergi dan balik ke MITEC dari mana-mana lokasi lain di Lembah Klang.

Bagi para pelajar dan mereka yang berminat dengan pembelajaran atas talian pula, platform pendidikan Outclass akan menyediakan pelbagai maklumat dan rujukan berguna, serta pelbagai aktiviti menarik semasa pameran berlangsung.

Pengarah Urusan AirAsia Malaysia, Dato’ Kapten Fareh Mazputra berkata: “AirAsia berasa amat bertuah dan sukacita kerana menjadi sebahagian daripada acara Lan Berambeh Anak Sarawak pada tahun ini. Program ini sesungguhnya sesuatu yang amat luar biasa bagi memupuk semangat perpaduan dalam kalangan Anak Sarawak terutamanya yang bermastautin dan belajar di Semenanjung, dan AirAsia merasa bangga telah dapat memainkan peranan penting dalam menghubungkan Sarawak dengan seluruh Malaysia bahkan ke serata Asean dan juga Asia sepanjang 22 tahun yang lalu.

“AirAsia sentiasa komited kepada Sarawak yang merupakan antara pasaran terpenting AirAsia, dan Kuching pula merupakan hab ketiga terbesar kami di Malaysia. Ramai Anak Sarawak berkhidmat di AirAsia yang kami panggil sebagai Allstars, termasuk kira-kira 750 Allstars yang berkhidmat di seluruh Sarawak. Kami bertekad akan meneruskan kerjasama dan hubungan erat kami dengan Kerajaan Sarawak serta para pemegang taruh industri pengangkutan dan pelancongan di Sarawak demi untuk menyediakan perkhidmatan yang terbaik untuk semua dan bersama-sama memperkasa ekonomi baru Sarawak.”

Program Lan Berambeh Anak Sarawak edisi ke-15 tahun ini dijangka dihadiri lebih 6,500 anak Sarawak yang belajar, bekerja dan menetap di Semenanjung Malaysia. Program kali ini akan diisi dengan pelbagai aktiviti termasuk Sarawak Agenda Townhall melibatkan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama-sama pelajar universiti dan kolej di institusi pengajian tinggi.

Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi serta kepimpinan utama Kerajaan Sarawak akan bersama anak-anak Sarawak pada sebelah malamnya untuk Majlis Makan Malam Anak Sarawak sebagai acara kemuncak dan penutup program Lan Berambeh Anak Sarawak 2024.