AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia perluas rangkaian di Vietnam dengan penerbangan pertama dari Kota Kinabalu

BANDAR HO CHI MINH, 3 Disember 2024 – AirAsia memperkembang rangkaiannya di Vietnam dengan pelancaran laluan terus baharu dari Kota Kinabalu ke Bandar Ho Chi Minh hari ini.

Penerbangan pertama berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada jam 11:45 pagi dan telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Son Nhat di Bandar Ho Chi Minh pada jam 12:55 tengah hari, dengan muatan penumpang sebanyak 96 peratus. Pelancaran llauan ini menandakan permulaan penerbangan antarabangsa ke-16 AirAsia yang dikendalikan oleh AirAsia Malaysia (kod penerbangan AK) dari Kota Kinabalu.

Pelancaran laluan baharu ini selaras dengan matlamat sektor pelancongan Malaysia yang lebih luas, termasuk sasaran 27.3 juta ketibaan pelancong antarabangsa pada tahun 2024 dan persiapan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026.

Ia juga selari dengan matlamat pelancongan Vietnam untuk menarik 17 hingga 18 juta pelawat antarabangsa pada tahun ini, terutamanya dalam musim puncak ketibaan pelancong global pada suku keempat tahun ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Christina Liew menyifatkan pengenalan laluan dari Bandar Ho Chi Minh ke Kota Kinabalu sebagai satu pencapaian penting dalam memperkukuh kesalinghubungan udara Sabah di Asia Tenggara.

Beliau berkata sambungan baharu ini merupakan langkah penting dalam usaha memperluaskan rangkaian Sabah di rantau ASEAN. "Saya menyokong komitmen AirAsia dalam meningkatkan kesalinghubungan serantau dan menyokong visi Sabah untuk menjadi destinasi pelancongan utama di Asia Tenggara."

Julinus Jeffery Jimit, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah berkata: “Kami berbesar hati untuk menyambut laluan baharu ini di mana ia menandakan pencapaian penting bagi negeri Sabah sebagai destinasi yang semakin menjadi pilihan di Asia Tenggara. Bandar Ho Chi Minh dikenali di kalangan rakyat Sabah dan laluan baharu ini menawarkan peluang kepada pelancong di Vietnam untuk menerokai keindahan landskap semula jadi, warisan budaya, dan pelancongan perubatan di Sabah. Dengan pengumuman rangkaian baharu ini, Lembaga Pelancongan Sabah akan menggandakan usaha untuk mempromosikan laluan ini untuk menawarkan produk pelancongan terbaik dari Sabah. Kami mengucapkan terima kasih kepada AirAsia atas sokongan mereka dalam memperkukuh kesalinghubungan serantau dan memacu pertumbuhan pelancongan antara Sabah dan Vietnam.”

Paul Carroll, Ketua Pegawai Komersial AirAsia Aviation Group  berkata: “Pelancaran laluan bahariu kami pada hari ini menekankan komitmen kami untuk memperkukuh kesalinghubungan serantau sambil menawarkan perjalanan yang berpatutan dan lancar untuk para tetamu. Vietnam secara konsisten telah menjadi pasaran utama bagi AirAsia, dan perkhidmatan baharu dari Kota Kinabalu ini menambah dimensi baharu kepada rangkaian luas kami. Ia bukan sahaja meningkatkan potensi pelancongan untuk Sabah dan Vietnam, malah menyokong peluang perdagangan dan pertumbuhan ekonomi serantau. Kami teruja untuk terus mengeratkan hubungan antara destinasi-destinasi dinamik ini.

“Laluan baharu ini juga membuktikan kepentingan Vietnam yang semakin meningkat kepada AirAsia sebagai pasaran utama dalam rangkaian kami. Dengan lokasinya yang strategik dan permintaan yang semakin tinggi terhadap perjalanan dengan tambang berpatutan, Vietnam berfungsi sebagai hab penting untuk menghubungkan Asean dan seterusnya, sekali gus memperkukuh komitmen kami terhadap pertumbuhan pelancongan dan ekonomi di rantau ini.”

AirAsia kini mengendalikan 93 penerbangan mingguan ke dan dari Vietnam, menawarkan lebih daripada satu juta tempat duduk sejak 2023, sekali gus memperkukuh kedudukan Vietnam sebagai hab kesalinghubungan utama bagi rantau ini.