AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia rai pengecualian visa dari India ke Malaysia dengan tawaran tambang istimewa

Kapsyen Foto: (Dari kiri) Bo Lingam, Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation; Puan Subhashini Narayanan, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia dan Riad Asmat, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia di sidang media sempena meraikan pengecualian visa kepada warganegara India untuk masuk ke Malaysia.

KUALA LUMPUR, 14 Disember 2023 - AirAsia hari ini meraikan pengumuman pengecualian visa dari India ke Malaysia dengan menawarkan tambang promosi istimewa untuk tempoh terhad antara kedua-dua negara.

Pengumuman yang dibuat oleh kerajaan Malaysia baru-baru ini membenarkan warganegara India menikmati pengecualian visa ke Malaysia. Ini merupakan inisiatif yang amat penting dalam usaha meningkatkan permintaan perjalanan ke negara ini.

Inisiatif ini akan memperkukuh lagi hubungan kedua-dua negara dan AirAsia menyambut baik pengumuman ini dengan melancarkan laluan baharu ke Thiruvananthapuram (bermula 21 Februari 2024) dan tambang istimewa antara Malaysia dan India. Selain itu, syarikat penerbangan ini juga meningkatkan kekerapan penerbangan antara Malaysia dan India berjumlah 69 penerbangan mingguan bermula pada suku pertama tahun 2024, sehingga 1.5 juta tempat duduk setahun.

Kini para pengembara boleh menempah penerbangan bermula hari ini hingga 24 Disember 2024 ke tujuh destinasi di Selatan India dalam rangkaian AirAsia dengan tambang promosi istimewa. Terbang ke Chennai, Tiruchirappalli, Kochi, Hyderabad, Bengaluru, Kolkata dan tidak lama lagi ke Thiruvananthapuram bermula daripada RM189* untuk tambang termasuk semua sehala. Pelancong dari India yang ingin mengunjungi Malaysia boleh terbang terus ke dan dari Kuala Lumpur dari mana-mana laluan ini bermula INR4,999* dan meneruskan perjalanan mereka ke destinasi-destinasi menarik lain di Malaysia. Tempoh perjalanan bermula sekarang dan berakhir pada 30 September 2024.

Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Tuan Yang Terutama B. N. Reddy berkata : “Kami berbesar hati kerana warganegara India kini boleh melancong ke Malaysia dengan pengecualian visa. Inisiatif ini akan meningkatkan kesalinghubungan antara dua-dua buah negara. Dalam pada itu, AirAsia memainkan peranan penting dengan mengendalikan perkhidmatan ke beberapa destinasi utama di India yang membolehkan pengunjung dari Malaysia dan India meneroka kedua-dua buah negara dengan mudah.”

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata: “Pengecualian visa selama 30 hari bagi warganegara India ke Malaysia merupakan salah satu inisiatif penting bagi kami di AirAsia pada tahun ini. Kami sentiasa berusaha untuk meningkatkan kesalinghubungan antara India dan Malaysia sejak laluan pertama dilancarkan ke India pada tahun 2008. Justeru kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia atas inisiatif penting ini yang akan meningkatkan industri pelancongan tempatan dan memperkukuh hubungan antara kedua-dua buah negara.

“Mengakhiri tahun 2023 dan sempena menyambut tahun baharu yang menjelang tiba dengan perkembangan positif untuk sektor pelancongan, kami yakin bahawa inisiatif ini akan membolehkan lebih ramai pelancong dari India mengunjungi Malaysia dan destinasi-destinasi lain di rantau ini dengan tambang berpatutan. Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan kerajaan dan pihak yang terlibat untuk terus memajukan industri pelancongan Malaysia.”

AirAsia akan mengendalikan lapan laluan terus dari Malaysia ke bandar-bandar utara dan selatan India seperti Chennai, Tiruchirappalli, Kochi, Hyderabad, Bengaluru dan Kolkata melalui penerbangan jarak dekat, AirAsia Malaysia (kod penerbangan AK), serta ke New Delhi dan Amritsar melalui syarikat penerbangan jarak sederhana, AirAsia X (kod penerbangan D7). Mulai Februari 2024, AirAsia akan memulakan penerbangan ke bandar Thiruvananthapuram di negeri selatan Kerala, menjadikannya laluan terus kedua ke negeri itu selepas Kochi. Di samping itu, AirAsia juga menawarkan pilihan perkhidmatan Fly-Thru di mana para tetamu yang melancong dari India ke Malaysia boleh menjadikan Kuala Lumpur sebagai transit ke lebih 130 destinasi AirAsia di 22 negara.

*Tambang promosi termasuk semua adalah untuk perjalanan sehala sahaja termasuk cukai, fi MAVCOM, surcaj bahan api dan caj lain yang berkenaan. Tertakluk pada terma dan syarat lain.