AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia raih anugerah di Putra Brand Awards

KUALA LUMPUR, 14 Januari 2023 - AirAsia sekali lagi menjadi pilihan utama dalam kategori Pengangkutan dan Pelancongan dengan meraih anugerah Gangsa di Putra Brand Awards 2022, mengekalkan kedudukannya sebagai jenama pelancongan pilihan rakyat Malaysia selama lebih sedekad.

Ketua Pegawai Penjenamaan Capital A, Rudy Khaw berkata: “Pengiktirafan ini telah menjadi satu inspirasi kepada kami dalam melangkah ke tahun 2023 dengan penuh harapan serta permulaan baharu terutamanya untuk industri pelancongan dan penerbangan yang telah mula beralih ke fasa endemik. Jenama AirAsia telah berevolusi daripada hanya sebuah syarikat penerbangan kepada sebuah ekosistem perjalanan dan digital. Ini adalah usaha berterusan untuk memastikan jenama kami kekal relevan sambil berkembang untuk memenuhi trend terkini dalam permintaan pengguna.

“Misi kami sejak dari awal penubuhan adalah untuk menjadikan penerbangan mudah diakses tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan, dan kami berbangga untuk mengekalkan prestasi ini selama dua dekad dalam pada kami beralih kepada peneraju rangkaian produk dan perkhidmatan pelbagai untuk meningkatkan tawaran pelancongan pada platform kami. 

“Kami ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pelanggan setia kerana kepercayaan serta undian mereka. Kami akan terus komited untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik. Pengiktirafan ini tidak mungkin akan dapat dicapai tanpa sokongan serta dedikasi para Allstars di seluruh rantau ini yang telah menjadikan AirAsia satu jenama yang unggul sehingga hari ini.”

Putra Brand Awards ialah inisiatif Persatuan Ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As) bertujuan untuk mengiktiraf jenama tempatan dan antarabangsa yang telah memberi impak kepada rakyat Malaysia. Ia juga satu-satunya anugerah yang dipilih oleh pengguna tempatan.

Anugerah ini menerima lebih 25,000 maklum balas daripada pengguna di seluruh Malaysia yang mengambil bahagian dalam tinjauan keutamaan pengguna untuk menentukan jenama pilihan mereka merentas 24 kategori produk dan perkhidmatan berbeza.