AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia raih anugerah Rakan Kerjasama Terbaik bagi Syarikat Penerbangan untuk kali keempat berturut-turut di Anugerah Pelancongan Sabah 2019

KOTA KINABALU, 1 Disember 2019 - AirAsia telah meraih anugerah Rakan Kerjasama Terbaik bagi Syarikat Penerbangan di Anugerah Pelancongan Sabah 2019 untuk kali keempat berturut-turut.

Anugerah tersebut mengiktiraf syarikat penerbangan yang telah menyumbang kepada industri pelancongan Sabah dari segi jaringan hubungan dan jumlah pelancong tertinggi ke Sabah sepanjang dua tahun lepas.

Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar YB Datuk Christina Liew menyampaikan anugerah tersebut kepada Ketua Komersial Malaysia Timur AirAsia Nur Hayati Aziz Rashid di majlis penyampaian anugerah di Magellan Hotel, Sutera Harbour Resort malam tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat berkata: "Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Sabah di atas sokongan yang berterusan dan juga pengiktirafan ini. AirAsia berasa bangga dapat bekerjasama dengan kerajaan negeri Sabah dan Lembaga Pelancongan Sabah untuk terus memacu pertumbuhan industri pelancongan dan meningkatkan lagi ekonomi di Sabah. Anugerah ini adalah untuk semua kakitangan Allstars kami di Sabah."

"Kota Kinabalu adalah hab AirAsia yang terbesar di Malaysia selepas Kuala Lumpur, di mana kini kami mengendalikan lebih 10 buah pesawat dan menyediakan peluang pekerjaan kepada hampir 500 orang rakyat Sabah. Kami juga mempunyai rancangan besar untuk bandar-bandar lain seperti Sandakan dan Tawau. Kedudukan negeri ini yang begitu strategik di hujung Borneo, membuka peluang untuk kami menghubungkan Sabah ke lebih banyak destinasi dalam Asean, Asia Utara dan lain-lain. Kami juga berbangga kerana dapat bekerjasama dengan semua pemain industri dalam pelbagai kempen untuk mempromosikan Sabah," katanya.

Dilancarkan pada tahun 1997, Anugerah Pelancongan Sabah diadakan pada setiap dua tahun untuk mengiktiraf individu dan organisasi yang cemerlang dan menyumbang kepada pembangunan pelancongan dan perhotelan di Sabah. AirAsia telah meraih anugerah Rakan Kerjasama Terbaik bagi Syarikat Penerbangan pada tahun 2011, 2015, dan 2017.

AirAsia juga telah membuka dua laluan eksklusif Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) ke Sabah pada awal tahun ini, iaitu Kota Kinabalu-Sibu dan Kota Kinabalu-Bintulu. Pada tahun ini sehingga Oktober 2019, AirAsia telah membawa lebih daripada 2.5 juta penumpang ke Sabah, peningkatan sebanyak 22.3% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2018 dan 38.4% adalah warganegara asing.

Kini AirAsia menghubungkan Sabah ke 21 buah destinasi melalui Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau dengan sejumlah 511 penerbangan terus pada setiap minggu ke Sabah. Perkhidmatan Fly-Thru AirAsia juga menghubungkan Sabah ke 63 buah bandar di Asia Pasifik melalui persinggahan di Kuala Lumpur.