AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia raih Anugerah Urusan Perniagaan Keseluruhan Terbaik Asia Pasifik dan Anugerah Ketua Pegawai Kewangan/Perbendaharaan Terbaik Tahunan di anugerah Asia Pacific Aviation 100

SINGAPURA, 6 November 2024 – AirAsia telah memenangi dua anugerah utama di Anugerah Asia Pacific Aviation 100: Anugerah Urusan Perniagaan Keseluruhan Terbaik Asia-Pasifik dan Ketua Pegawai Kewangan/Perbendaharaan Terbaik Asia-Pasifik Tahunan. Pengiktirafan ini membuktikan kekuatan strategi kewangan AirAsia dan mendorong pemulihan berterusan.

Sebahagian daripada inisiatif strategik Capital A, perolehan hasil bon bernilai AS$443 juta pada bulan Ogos 2024 menandakan langkah penting dalam memperkukuh kedudukan kewangan syarikat. Bon ini merangkumi AS$200 juta daripada pelabur kredit swasta terkemuka, ditambah dengan AS$243 juta oleh penyewa pesawat. Dana ini telah digunakan untuk mengaktifkan dan membiayai pesawat untuk membolehkan AirAsia memenuhi keperluan operasi semasa serta memperkukuh pertumbuhan jangka panjang.

Dana ini juga mendorong pertumbuhan operasi AirAsia untuk tahun 2025, membolehkan syarikat penerbangan ini mengaktifkan semula pesanan pesawatnya dengan empat buah prsawat jenis A321neo baharu yang telah diterima pada tahun 2024 dan lima buah lagi yang akan dijadualkan untuk penghantaran menjelang akhir tahun ini.

Selaras dengan pengembangan pesawat, dana tersebut juga diperuntukkan untuk meningkatkan kesalinghubungan di beberapa hab penting, bermula dengan Malaysia. Pada tahun 2025, AirAsia merancang untuk memperkukuh kehadirannya di pasaran sedia ada seperti China dan India, terutamanya melalui sambungan yang diperluas ke lapangan terbang kedua. Perkembangan ini akan menjadi asas untuk pertumbuhan lebih luas pada tahun 2026 dan 2027, di mana syarikat penerbangan ini akan memperluas rangkaiannya di Australia, Jepun, dan Korea Selatan, serta melancarkan laluan baharu merentasi Afrika.

Selain anugerah tersebut, pasukan Kewangan/Perbendaharaan AirAsia juga menerima anugerah bagi peranan penting mereka dalam melaksanakan transaksi dan memacu syarikat dalam tempoh yang mencabar.

Farouk Kamal, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Korporat) AirAsia Aviation Group berkata: “Bon ini bukan sahaja menandakan pemulihan kewangan malah akan menjadi landasan strategik untuk era baharu pertumbuhan AirAsia. Visi kami adalah untuk menghubungkan dunia ke Asean, dan Asean ke dunia, dengan mewujudkan rangkaian laluan terluas di Asia-Pasifik dan rantau lain. Dengan sokongan kewangan yang kukuh ini, strategi inovatif dan komitmen kepada kesalinghubungan global, AirAsia kini sedia untuk terus menerajui pasaran melalui pengembangan yang lebih kukuh dan perkhidmatan berfokuskan para tetamu.

“Menjelang akhir tahun 2025, kami menjangka akan meningkatkan operasi pesawat daripada 200 kepada 221 bagi meningkatkan kekerapan penerbangan dan memperkenalkan destinasi baharu. Pertumbuhan ini, bersama rancangan gabungan Kumpulan Penerbangan yang lebih besar, memperkukuh dedikasi kami untuk memperluas rangkaian dan kehadiran AirAsia.

“Anugerah ini membuktikan kekuatan AirAsia dalam pengurusan kewangan, perancangan strategik, dan urusan perniagaan yang inovatif. Semua ini tidak mungkin dicapai tanpa pasukan kewangan pesawat dan perbendaharaan kami yang efisien kerana kepakaran dan dedikasi mereka adalah kunci dalam mendapatkan bon tersebut. Usaha mereka telah meningkatkan daya tahan kewangan kami dan membuka jalan untuk pengembangan rangkaian dan pertumbuhan operasi, membolehkan kami memenuhi permintaan perjalanan yang semakin meningkat. Pencapaian mereka wajar diiktiraf, meletakkan asas untuk kejayaan yang lebih besar pada tahun 2025 dan pada masa yang akan datang.”

Anugerah Aviation 100 dianjurkan oleh Majalah Airline Economics, mengiktiraf prestasi cemerlang dalam industri penerbangan, pengurusan kewangan dan penyewaan inovatif dan berjaya diuruskan. Anugerah ini dinilai melalui tinjauan industri, proses penilaian yang terperinci dan pertimbangan daripada para pengarang yang mengiktiraf yang terbaik dalam kewangan dan penyewaan penerbangan.