AirAsia raikan pemenang pingat Olimpik dan Paralimpik Asean dengan ganjaran penerbangan eksklusif 'Olympics Champion Pass'
Keterangangan Gambar: Momen penuh kebanggaan dan inspirasi apabila AirAsia menghargai pencapaian luar biasa atlet-atlet Olimpik dan Paralimpik ASEAN dalam sambutan Dare to Dream. Yang turut hadir adalah beberapa yang terbaik dari rantau ini, termasuk Veddriq Leonardo (Pemenang Pingat Emas Panjat Tebing Lelaki, Indonesia), Rizky Juniansyah (Pemenang Pingat Emas Angkat Berat Lelaki 73kg, Indonesia) yang diwakili oleh Sri Rizki Ananda dari Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan, serta wira Paralimpik seperti Cheah Liek Hou (Pemenang Pingat Emas Para Badminton Perseorangan Lelaki, Malaysia), Gischa Zayana, Muhammad Bintang Satria Herlangga, Felix Ardi Yudha, Muhamad Afrizal Syafa, dan Karisma Evi Tiarani.
BALI, 19 September 2024 – AirAsia dengan bangganya meraikan pencapaian luar biasa atlet-atlet Asean di Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024 dengan ganjaran penerbangan eksklusif 'Olympics Champion Pass' yang dikuasakan oleh AirAsia MOVE (sebelum ini dikenali sebagai airasia Superapp). Inisiatif ini, yang merupakan sebahagian daripada kempen Dare To Dream oleh AirAsia, memberi penghargaan kepada pemenang pingat emas, perak dan gangsa Olimpik dan Paralimpik atas dedikasi, ketahanan, dan pencapaian luar biasa mereka.
Inisiatif Dare To Dream oleh AirAsia mengiktiraf tekad yang tidak berbelah bahagi, kerja keras, dan ketabahan atlet-atlet Asean yang telah berusaha dan mencapai impian mereka untuk memperoleh kejayaan luar biasa.
Pencapaian bersejarah telah dicapai oleh atlet-atlet Asean di Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024 baru-baru ini. Individu-individu yang berdedikasi ini telah mewakili negara masing-masing dan seluruh rantau Asean, mempamerkan bakat serta ketabahan luar biasa. Usaha bersama mereka telah menghasilkan kutipan pingat yang mengagumkan, termasuk 5 emas, 3 perak, dan 8 gangsa di Sukan Olimpik, serta 11 emas, 22 perak, dan 20 gangsa di Sukan Paralimpik. Prestasi yang luar biasa ini menegaskan kehebatan yang semakin berkembang dalam dunia sukan di rantau ini dan merupakan bukti kerja keras serta dedikasi atlet-atlet tersebut.
Atlet-atlet ini akan menerima insentif penerbangan PERCUMA* daripada AirAsia yang dikuasakan oleh AirAsia MOVE (sebelum ini dikenali sebagai airasia Superapp).
Dengan insentif ini, para atlet berpeluang terbang ke mana-mana daripada 130 destinasi AirAsia yang luas di Asean dan seterusnya. Selaras dengan fokus AirAsia terhadap kemudahan digital, para pemenang pingat boleh menempah sebarang penerbangan AirAsia dengan mudah secara langsung melalui aplikasi AirAsia MOVE (melalui ikon "Asean Pass"), untuk pengalaman perjalanan yang terbaik dan lancar.
Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A berkata, “Atlet-atlet Olimpik dan Paralimpik Asean telah menunjukkan kepada dunia apa yang boleh dicapai melalui impian, keyakinan dan ketabahan. Tidak kira cabaran yang mereka hadapi, mereka terus maju ke hadapan, dan inilah yang menjadikan kejayaan mereka sangat menginspirasi. Perjalanan mereka mencerminkan semangat ASEAN, dan kami sangat berbangga untuk meraikan kejayaan mereka. Inisiatif ini bukan sahaja mengiktiraf pencapaian mereka tetapi juga mengukuhkan komitmen AirAsia untuk menyokong bakat di seluruh rantau ini. Kami akan terus berusaha untuk membantu bakat-bakat serantau merealisasikan potensi penuh mereka dan menghubungkan mereka dengan dunia melalui kisah inspirasi mereka.”
Rudy Khaw, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Brand Co. (Abc.) berkata, “Kami sangat berbangga dan terinspirasi oleh semangat kesukanan, kerja keras, dan dedikasi yang dipamerkan oleh semua atlet Asean di Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024. AirAsia sentiasa menjadi pemacu impian, komited untuk memperkasakan orang ramai mengejar minat mereka, dan melalui inisiatif Dare To Dream, kami berhasrat untuk memupuk dan meraikan bakat luar biasa di rantau ini. Adalah satu keistimewaan untuk meraikan atlet-atlet ini yang bukan sahaja berani bermimpi tetapi juga menginspirasi jutaan orang di seluruh Asean dan dunia untuk mengejar aspirasi mereka.”