AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia rancang untuk menjadi kumpulan syarikat penerbangan dengan rangkaian tambang rendah pertama dunia

Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Pesawat Komersial Airbus Christian Scherer rai hubungan akrab bersama-sama AirAsia semasa lawatannya ke ibu pejabat AirAsia

SEPANG, 22 Februari 2024 - AirAsia hari ini mengumumkan rancangan pelancaran kumpulan syarikat penerbangan dengan rangkaian tambang rendah pertama dunia. Rancangan ini  memanfaatkan strategi pelbagai hab uniknya yang telah dibina selama 22 tahun melalui syarikat penerbangannya di Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja tidak lama lagi

Pengumuman tersebut dibuat semasa majlis lawatan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Pesawat Komersial Airbus, Christian Scherer, ke RedQ, iaitu ibu pejabat korporat AirAsia di Malaysia. Ratusan kakitangan AirAsia, Ketua Pegawai Eksekutif, serta pihak pengurusan AirAsia hadir bagi menyambut pemimpin Airbus itu semasa lawatan pertamanya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif ke ibu pejabatnya yang merupakan pejabat untuk 6,000 Allstars (kakitangan AirAsia).

Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A syarikat induk bagi kumpulan syarikat penerbangan AirAsia, berkata: “Semua pencapaian kami, antaranya menjadi salah satu syarikat penerbangan tambang rendah terbesar dan paling popular di dunia adalah hasil kerjasama erat bersama-sama Airbus. Jenis pesawatnya yang mempunyai antara spesifikasi terbaik sejajar dengan usaha kami untuk terus mengembangkan rangkaian penerbangan. Dengan penambahbaikan berterusan kepada pesawat, kecekapan penggunaan bahan api, peningkatan jumlah muatan dan keupayaan untuk terbang lebih jauh, membolehkan kami menawarkan penjimatan terbaik dan perkhidmatan lebih berkualiti.

"Kami berharap untuk mengembangkan rangkaian pesawat kami dengan memperkenalkan model pesawat Airbus A321LR dan A321XLR yang akan menggantikan pesawat utama iaitu A320 dalam tempoh beberapa tahun akan datang dari hab utama kami termasuk Kuala Lumpur, Bangkok, Jakarta, Manila, dan lain-lain. Pesawat baharu dengan spesifikasi lebih canggih ini akan menawarkan lebih fleksibiliti bagi perkhidmatan laluan jarak sederhana sedia ada dan memperluas rangkaian ke destinasi-destinasi yang masih belum diterokai, termasuk destinasi menarik seperti di Asia Utara, Australia dan Asia Tengah."

"Dengan pesawat Airbus A330 yang melibatkan laluan jarak sederhana hingga jarak jauh termasuk pesawat A330neo, kami bercadang untuk mengembangkan rangkaian ke destinasi di benua Eropah seperti London, Paris, Amsterdam, Bratislava, Barcelona, Copenhagen, Afrika (Kaherah, Nairobi, Cape Town) Pantai Timur Amerika Utara (New York, Miami, Toronto) melalui Eropah dan Pantai Barat Amerika Utara (San Francisco, Los Angeles, Vancouver) melalui Jepun.

Majlis ini menandakan hubungan kukuh antara Airbus dan AirAsia yang lebih dari 20 tahun, sehingga diiktiraf sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia dinobatkan oleh Skytrax selama 14 tahun berturut-turut, dan oleh hampir 800 juta tetamu yang telah terbang sehingga kini.

Beliau menambah: "Kami telah melalui pelbagai waktu susah dan senang bersama-sama Airbus. Sokongan dan komitmen berterusan mereka terhadap AirAsia, terutamanya pada masa sukar seperti pandemik yang merupakan krisis yang paling teruk pernah kami hadapi. Justeru, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Christian dan pasukan Airbus."

"Melalui segala cabaran, kami berjaya bertahan dan kembali lebih baik, lebih kuat daripada sebelumnya. Sehubungan itu, kami telah memperbaharui pesanan penghantaran pesawat untuk masa depan dengan Airbus dan menjadi salah satu pelanggan terbesar mereka, dengan rancangan untuk berkembang lebih pesat dari sebelumnya pada masa akan datang."

Bermula dengan dua pesawat pada tahun 2001, AirAsia telah menukar kumpulan pesawatnya kepada  Airbus sepenuhnya tidak lama selepas itu, berikutan kajian teliti untuk menentukan jenis pesawat terbaik bagi model syarikat penerbangan tambang rendah di rantau ini. Keputusan tersebut terus teguh untuk operasi komersialnya pada hari ini dan telah membolehkan lebih dari dua dekad strategi multi-hab uniknya melalui Kumpulan syarikat penerbangan di Malaysia, Thailand, Indonesia, dan Filipina - dengan syarikat penerbangan terbaru AirAsia Cambodia bersedia untuk terbang dalam beberapa bulan akan datang.

AirAsia akan meneruskan pesanan Airbus A321neo pada tahun ini selaras dengan permintaan yang dijangka meningkat tinggi, bermula dengan penghantaran pertama selepas pandemik yang dijangka akan tiba pada bulan Jun tahun ini. Sebagai salah satu pelanggan terbesar Airbus dan terbesar bagi pesawat A321LXR, AirAsia berbesar hati untuk menjadi salah satu syarikat penerbangan terawal menerima pesawat dengan spesifikasi baharu jarak jauh, dengan kecekapan bahan api dan konfigurasi baharu yang bakal merubah landskap penerbangan pada masa hadapan.