AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia X raih sokongan pemiutang hampir sebulat suara untuk penstrukturan semula secara menyeluruh: Penggearan sifar dan pengurangan ketara kos asas

SEPANG, 12 November 2021 - AirAsia X (AAX) mengumumkan bahawa pada Mesyuarat Skim Pengaturan (SOA) yang diadakan hari ini, para pemiutang dalam ketiga-tiga kelas telah mengundi untuk menyokong SOA tersebut dengan majoriti seperti berikut:

Kelas A: 100.0% 
Kelas B:
97.6%
Kelas C: 100.0%

Dalam ketiga-tiga kelas ini, 99.0% daripada semua undian pemiutang memihak kepada skim ini.

Sokongan yang padu dan hampir sebulat suara ini akan dibentangkan untuk persetujuan mahkamah pada minggu akan datang. Sebaik sahaja ia diluluskan, syarikat penerbangan ini akan memulakan proses permodalan semula yang telah diluluskan oleh pemegang sahamnya pada Jun 2021. Penstrukturan semula ini dijangka selesai pada suku pertama 2022 dan syarikat penerbangan ini bersedia untuk kembali bersaing di dalam pasaran di mana ia akan beroperasi.

AAX ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pemiutangnya atas sokongan padu untuk prospek masa depannya terutamanya pada masa yang mencabar ini. Apabila skim tersebut diumumkan pada Oktober 2021, ia telah ditolak secara menyeluruh oleh semua pemiutang utamanya dan tidak menerima sokongan kerana ia disifatkan penuh kekurangan dan tidak munasabah. Walau bagaimanapun, melalui beberapa proses perbincangan secara telus mengenai rancangan perniagaan kami dan demi kepentingan perniagaan bersama, semua pemiutang utama telah bersetuju bahawa kepentingan pelbagai kumpulan pemiutang dapat dipenuhi dengan membenarkan syarikat penerbangan ini meneruskan skim tersebut dan tanpa perubahan besar kepada apa yang dibentangkan. 

Tidak seperti penstrukturan semula syarikat penerbangan lain yang dibuat kebelakangan ini, skim AAX ini adalah menyeluruh, komprehensif, meliputi semua pemiutang dan bukan sahaja kategori pemiutang terpilih. Penstrukturan semula yang meluas dan menyeluruh ini diperlukan untuk menyediakan platform bagi membina semula perniagaan. Dengan penyelesaian skim ini, AAX akan menjadi salah satu daripada hanya beberapa buah syarikat penerbangan di seluruh dunia yang mempunyai penggearan sifar dan pengurangan kos asas lebih rendah daripada para pesaingnya di rantau ini dan akan berada dalam kedudukan yang amat baik untuk memanfaatkan peluang dalam sektor perjalanan dan kargo pasca-Covid.

Sementara para  pemiutang besar dalam kategori sektor penerbangan antarabangsa menyokong penuh penstrukturan semula ini sekalipun dengan kos yang amat tinggi bagi mereka, beberapa pakar penerbangan tempatan pula secara agresif menyokong pembubaran AAX dengan alasan yang tidak berasas bahawa syarikat penerbangan ini hampir ditutup, dalam keadaan tenat dan jalan terbaik ialah dengan membubarkannya.

AAX terbuka untuk mengadakan  dialog dengan pakar-pakar ini dan akan menggunakan peluang ini untuk mengemas kini tentang perkembangan perniagaan penerbangan global yang berubah dengan pantas dan memberikan mereka pemahaman yang lebih baik tentang undang-undang penstrukturan semula di Malaysia supaya mereka lebih memahami bagaimana skim penstrukturan tersebut dirangka seperti sedemikian.

Kami juga ingin memaklumkan kepada mereka yang masih mempersoalkan sumbangan AAX kepada negara bahawa, sejak penubuhan AAX pada 2007 sehingga April 2020, AAX telah membawa sejumlah 43.5 juta tetamu, menyediakan peluang pekerjaan kepada 2,364 rakyat Malaysia sehingga 31 Disember 2019, di mana 76% daripadanya adalah rakyat Malaysia. Pada 2019, AAX membawa masuk 1.91 juta pelancong antarabangsa ke Malaysia seterusnya menyumbang RM78.8 bilion kepada ekonomi Malaysia pada tahun 2019 sahaja berdasarkan faktor pengganda sebanyak 12.5 kali. AAX juga merupakan pengguna perkhidmatan lapangan terbang dan pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan daripada pembekal tempatan dan antara 2015 dan 2020, dan lebih RM5.3 bilion telah dibayar kepada pembekal tempatan.

Melalui proses pembendungan kos yang agresif dan mencari sumber pendapatan alternatif, penggunaan tunai dalam tempoh 10 bulan sehingga Oktober 2021 adalah sejumlah RM34 juta iaitu hanya RM3.4 juta atau AS$800,000 sebulan. AAX kini mengendalikan empat pesawat jenis A330 yang berbadan lebar untuk penerbangan kargo di rantau ini dan dua lagi pesawat akan beroperasi untuk tujuan kargo menjelang akhir tahun ini. Ia juga telah mula mengendalikan penerbangan kargo khusus untuk beberapa buah syarikat pengangkutan global terbesar dengan perbincangan berterusan untuk gabungan perkhidmatan penumpang / kargo apabila sempadan dibuka semula.

Tan Sri Rafidah Aziz, Pengerusi AAX menambah bahawa pengorbanan yang dilakukan oleh kakitangannya adalah komponen terpenting dalam usaha membendung kos syarikat.

“Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua juruterbang, kru kabin dan kakitangan sokongan kami dan memberi jaminan kepada mereka bahawa akan mengambil mereka semula dalam beberapa bulan akan datang apabila sempadan antarabangsa kembali dibuka.”

AAX ingin menegaskan bahawa rakan kongsi perniagaan dan penyokong kami terutamanya para tetamu amat penting dan AAX menghargai hubungan ini.

“Kami ingin memberi jaminan kepada para tetamu yang terjejas oleh penstrukturan semula ini bahawa AAX akan menawarkan keistimewaan perjalanan dalam bentuk kredit, yang boleh digunakan untuk pembelian tiket penerbangan pada masa hadapan sebaik sahaja sempadan antarabangsa dibuka semula,” tambah Tan Sri Tony Fernandes, Pengasas Bersama dan Pengarah AAX.

Untuk skim ini, AAX dinasihatkan oleh Foong and Partners, Mercury Securities, Gopal Sreenevasan, Suhendran Sockanathan dan Simon Hong. Seabury Securities yang berpangkalan di New York dan pejabat Bird and Bird di Singapura pula menyediakan sokongan penstrukturan semula dan sokongan undang-undang.