AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia X selesaikan lebih 270,000 tempahan yang dibatalkan akibat pandemik melalui baucar perjalanan sah sehingga lima tahun

Majoriti permintaan telah diselesaikan, baki akan diselesaikan secepat mungkin 

SEPANG, 15 Julai 2022 - AirAsia X (AAX), syarikat penerbangan jarak sederhana dan jauh hari ini mengumumkan bahawa ia telah berjaya menyelesaikan lebih 270,000 tempahan yang dibatalkan akibat pandemik sejak dua tahun lalu termasuk semua pemegang Pas Tanpa Had RM499, melalui baucar perjalanan sah sehingga lima tahun dengan nilai penuh tempahan.

Baucar perjalanan ini boleh digunakan untuk menempah mana-mana penerbangan AAX (kod penerbangan D7) serta-merta dan untuk perjalanan pada masa hadapan ke beberapa destinasi antarabangsa yang menarik yang tersedia. Banyak lagi laluan akan ditambah ke rangkaian AAX pada masa hadapan termasuk ke Jepun, Australia, Hawaii, New Zealand, London, Dubai dan Istanbul pada tahun 2022. 

Para tetamu yang masih belum menerima baucar perjalanan tersebut dikehendaki mendaftar sebagai ahli airasia rewards di sini menggunakan e-mel yang sama digunakan untuk membuat tempahan kerana baucar perjalanan akan dipautkan ke akaun tersebut. AAX akan mengutamakan proses penyelesaian baki tertunggak termasuk untuk tempahan yang dibuat oleh ejen pelancongan dalam beberapa minggu akan datang. Semua tetamu akan dihubungi melalui alamat e-mel berdaftar mereka.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AAX Tan Sri Tony Fernandes berkata: “Saya berbesar hati untuk berkongsi bahawa kami telah melaksanakan komitmen kami kepada tetamu AAX, dan memberikan baucar perjalanan bernilai lebih AS$92 juta untuk lebih suku juta tempahan. Ini adalah kira-kira 80% daripada jumlah tempahan, dan kami sedang menyelesaikan kumpulan tetamu terakhir supaya semua orang menerima kelayakan mereka. 

Terima kasih kerana anda setia menyokong kami melalui susah dan senang. Saya juga difahamkan ada yang menyatakan kekecewaan kerana tidak menerima bayaran balik secara tunai untuk penerbangan yang dibatalkan. AAX tidak dapat membayar bayaran balik tunai berikutan proses undang-undang bagi penstrukturan semulanya, tetapi kami telah bekerja keras untuk mengimbangi kelangsungan syarikat dengan menawarkan baucar perjalanan untuk anda terbang ke destinasi menarik sekarang dan pada masa hadapan.

Sekali lagi, terima kasih untuk kesabaran dan kefahaman kepada kami, setelah melalui dua tahun yang paling sukar tanpa keuntungan ketara atau sebarang subsidi oleh kerajaan. Kami kini fokus untuk kembali dengan lebih kuat. Kami tidak sempurna tetapi kami berusaha untuk melakukan semua yang kami mampu untuk para tetamu kami. Kini kami kembali terbang tinggi dan akan memastikan semua orang boleh terbang semula.”

Ketua Pegawai Eksekutif AAX Benyamin Ismail berkata: “Dua tahun yang lalu amat mencabar bagi industri pelancongan di seluruh dunia termasuk kepada AAX berikutan kesan berterusan pandemik dan penutupan sempadan antarabangsa dalam pasaran utama kami. Di sebalik semua cabaran ini, kami ingin memberi jaminan kepada semua tetamu kami bahawa AAX terus komited kepada para tetamu kami yang mempunyai tunggakan tempahan, apabila kami kembali beroperasi.

“Sebelum pandemik melanda, AAX telah menerbangkan lebih 40 juta tetamu dan kami berharap dapat menerbangkan lebih ramai pada masa hadapan. Kami juga telah memanfaatkan tempoh sekatan perjalanan dua tahun lalu untuk menyemak, menetapkan semula dan mengembalikan operasi kami dengan lebih teguh untuk masa depan yang lebih mampan dan berdaya maju. AAX kini mungkin mempunyai asas kos terendah dalam industri ini untuk menjadi lebih kompetitif berbanding sebelum ini dan membolehkan kami menawarkan nilai terbaik sekali lagi kepada para tetamu.

“AAX kini kembali terbang tinggi sejajar dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa. Kami akan terus menawarkan destinasi kegemaran ramai dan percaya berikutan sekatan perjalanan selama lebih dua tahun, terdapat permintaan yang kukuh untuk perjalanan jarak sederhana dan jauh. Sekali lagi, kami mengucapkan terima kasih kepada semua tetamu kami atas kesabaran dan kefahaman mereka. Kami tidak sabar untuk mengalu-alukan anda semua kembali terbang dengan tambang bernilai hebat dan perkhidmatan terkemuka kami.”