AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia X umum kerjasama untuk pertingkat hasil bukan penumpang

SEPANG, 14 Februari 2022 - AirAsia X (AAX) hari ini mengumumkan kerjasama terbaharu dengan Teleport dalam usaha untuk memacu penggunaan penuh ruang kargo pesawatnya. Melalui kerjasama ini, Teleport akan menggunakan sepenuhnya ruang kargo dalam salah sebuah pesawat A330-300 milik AAX  untuk tempoh permulaan selama satu tahun. 

Teleport, cabang logistik bagi Capital A (dahulunya dikenali sebagai AirAsia Group), akan menggunakan kapasiti tambahan daripada AAX ini untuk memenuhi keperluan perkhidmatan penghantaran kepada para pelanggannya di seluruh Asia Pasifik.

Ini adalah pengumuman penting yang kedua dalam tempoh hanya beberapa minggu oleh AAX yang baru sahaja menjalani proses penstrukturan semula syarikat untuk meningkatkan usahanya sebagai rakan kongsi jangka panjang yang berdaya maju kepada pengendali-pengendali kargo terbesar dunia. Baru-baru ini, AAX telah mengumumkan kerjasama strategik dengan peneraju logistik global GEODIS, untuk mengendalikan penerbangan kargo mingguan di seluruh Asia Pasifik untuk jangka masa  panjang. 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata: “Kami juga sedang berbincang dengan beberapa buah syarikat global utama lain yang memerlukan perkhidmatan kargo udara, terutamanya di negara yang kami beroperasi dan mempunyai hak penerbangan. Walaupun hanya dua bulan selepas penstrukturan semula, kami dapat melihat pengembangan operasi kargo yang semakin ketara. Ini adalah sejajar dengan strategi perkhidmatan penerbangan gabungan kami. Kami menjangka pada masa hadapan, pendapatan daripada perkhidmatan kargo akan menyokong strategi laluan kami dan buat pertama kalinya, para penumpang akan menjadi pendapatan sampingan.”

“AAX hanya akan terbang ke laluan yang menguntungkan. Dengan asas kos rendah yang disusun semula, AAX boleh terbang ke laluan yang menguntungkan di mana syarikat penerbangan lain mungkin tidak dapat melakukannya dan ini merupakan kelebihan utama kami. Kami berhasrat untuk menambah satu pesawat pada setiap bulan dengan perkhidmatan penuh mulai sekarang dan kami berharap untuk beroperasi dengan rangkaian pesawat sepenuhnya pada penghujung suku ketiga. Apabila lebih banyak pesawat kembali beroperasi, kami dapat memanggil semula juruterbang dan kru kabin yang terkesan akibat pandemik ini untuk kembali bertugas,” kata Ketua Pegawai Operasi AirAsia X, Kapten Suresh Kumar Bangah.

Ketua Pegawai Operasi Teleport, Adrian Loretz menambah: “Kami berbesar hati untuk terus bekerjasama dengan AAX dan memanfaatkan pesawat A330 mereka sebagai salah sebuah pesawat kargo utama. Selain pesawat kargo khas kami iaitu 737-800, pesawat A330 tambahan daripada AAX ini membolehkan kami menyediakan lebih banyak akses kapasiti untuk memenuhi permintaan pelanggan kami di rantau ini dari hab utama kami di Kuala Lumpur dan Bangkok. Pada tahun 2022, kami akan terus berusaha untuk memperkukuh penggunaan pesawat dan menambah lebih banyak destinasi utama ke dalam rangkaian kami dengan liputan meluas di Asia Tenggara dan lain-lain - selain memanfaatkan rangkaian luas dan kekerapan tinggi oleh pesawat penumpang AirAsia sedia ada. Ini amat penting kerana kami memfokuskan sebahagian besar sumber syarikat untuk memainkan peranan utama dalam rantaian bekalan kerana kami menjangkakan segmen ini akan terus berkembang dengan ketara pada masa hadapan.”

“Sebagai penyedia perkhidmatan kargo secara menyeluruh, Teleport berada di landasan yang tepat untuk menyumbang kepada kebolehcapaian logistik dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat di rantau ini. Kami komited untuk menyediakan perkhidmatan penghantaran ke seluruh Asia Tenggara dengan lebih baik berbanding penyedia lain. Kami menawarkan perkhidmatan yang pantas dengan nilai dan liputan terbaik kepada para pelanggan. Kerjasama dengan AAX bukan sahaja mengukuhkan, malah mengesahkan kedudukan kami dalam pasaran,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Teleport, Pete Chareonwongsak.

***

Mengenai Teleport

Teleport ialah usaha logistik Capital A. Ditubuhkan pada 2018, Teleport kini berusaha untuk membolehkan semua orang, daripada peniaga tunggal hingga syarikat terbesar, membuat penghantaran ke seluruh Asia Tenggara dengan lebih baik dalam masa 24 jam. Perkhidmatan Teleport tersedia di Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, India, Singapura dan China. Untuk maklumat lanjut, layari teleport.asia atau Facebook, Twitter, Instagram, LinkedIn dan YouTube. #MadeToDeliver

Mengenai AirAsia X - airasiax.com

AirAsia X (AAX) adalah syarikat penerbangan jarak sederhana dan tambang rendah bersama-sama AirAsia Group yang mengendalikan pesawat badan lebar A330-300. Syarikat penerbangan ini bersama sekutunya Thai AirAsia X (TAAX) telah menerbangkan lebih 19 juta tetamu sejak memulakan perkhidmatan pada 2007. Pada 2021, syarikat penerbangan ini berjaya distruktur semula dan kini melancarkan semula perkhidmatan sebagai syarikat penerbangan gabungan yang fokus kepada perkhidmatan kargo dan penumpang dengan bekerjasama pengendali kargo global. Apabila sempadan antarabangsa dibuka semula, AAX bersedia untuk memulakan operasi dalam pasarannya dengan struktur kos yang mungkin paling rendah berbanding mana-mana syarikat penerbangan sepertinya di seluruh dunia.