AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia X umum pengambilalihan strategik perniagaan syarikat penerbangan Capital A

Surat penerimaan tidak terikat untuk pengambilalihan 100% ekuiti AirAsia Berhad dan AirAsia Aviation Group Limited bakal membuka peluang untuk masa depan lebih cerah dalam industri penerbangan Asean

SEPANG, 8 Januari 2024 - AirAsia X (AAX) hari ini mengumumkan bahawa ia telah menerima surat penerimaan tidak terikat dengan Capital A untuk cadangan pengambilalihan perniagaan penerbangannya iaitu AirAsia Berhad dan AirAsia Aviation Group Limited.

Langkah strategik ini bakal menjadikan AAX sebagai pengendali keseluruhan perkhidmatan penerbangan serantau yang menerajui semua laluan jarak dekat dan sederhana di bawah jenama AirAsia. Pengambilalihan yang bersejarah ini juga dijangka memberikan kelebihan secara menyeluruh termasuk kedudukan pasaran yang lebih kukuh, peningkatan kecekapan operasi dan penjimatan kos serta prestasi kewangan yang lebih baik.

Keputusan untuk menggabungkan perniagaan penerbangan melalui pengambilalihan ini memperkukuhkan pemulihan AAX berikutan pelepasannya dari status Nota Amalan 17 (PN17) pada bulan November 2023.

Pengerusi AirAsia X, Dato’ Fam Lee Ee berkata: "Pengambilalihan strategik ini merupakan aspek penting dalam strategi pemulihan AAX selepas PN17, dalam mengukuhkan kestabilan kewangan dan meningkatkan kedudukan pasaran kami. Pemerkasaan di bawah jenama AirAsia sebagai entiti tunggal yang disenaraikan mencerminkan komitmen kami untuk memanfaatkan kekuatan dan keyakinan pasaran yang ada untuk menawarkan pengalaman perjalanan bersepadu dan tiada tandingan kepada para tetamu serta lebih nilai kepada pemegang saham kami.

"Dengan kekuatan keseluruhan entiti syarikat penerbangan di bawah jenama AirAsia, kami bersedia untuk mencipta entiti tunggal yang akan mendorong kami lebih jauh ke hadapan. Gabungan yang dicipta melalui pengambilalihan strategik ini melambangkan lebih daripada pengukuhan kewangan malah ia membuktikan peranan kami sebagai peneraju dalam membentuk masa depan industri penerbangan. Kami melihat masa depan yang lebih cerah untuk industri penerbangan dan bersemangat untuk memulakan transformasi ini.”

Pengumuman terperinci mengenai pengambilalihan yang dicadangkan, termasuk impak terhadap pelbagai metrik kewangan akan diumumkan pada masa akan datang tertakluk kepada perjanjian jual beli saham dan proses seterusnya.