AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia umum penyusunan semula selanjutnya sejajar dengan transformasi pesat

  • Penamaan semula kumpulan syarikat penerbangan - AirAsia Aviation Limited (AAAL) kepada AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL) sejajar dengan strategi pertumbuhan baharu

  • Pelantikan Tan Sri Jamaludin Ibrahim sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif

  • Pengumuman lembaga pengarah baharu untuk menyokong tadbir urus korporat yang teguh dan lebih kukuh 

    SEPANG, 11 Februari 2022 - Kumpulan syarikat penerbangan AirAsia Aviation Limited (AAAL) hari ini mengumumkan penyusunan semula strategik dan organisasi penting sejajar dengan transformasi pesat berterusan Capital A.

    Berikutan pertukaran nama kumpulan syarikat AirAsia Group kepada Capital A baru-baru ini, AAAL akan dinamakan semula sebagai AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL). Perubahan nama ini mencerminkan strategi pemulihan dan pertumbuhan kumpulan penerbangan itu dengan menggabungkan semua operasi syarikat penerbangannya di bawah satu entiti untuk memfokuskan pengembangan perniagaan dalam ekosistem yang lebih besar. 

    Kumpulan syarikat penerbangan baharu itu juga mengumumkan penubuhan lembaga pengarah bebas, termasuk pelantikan Tan Sri Jamaludin Ibrahim sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif, yang akan memberikan perspektif baharu dan kepimpinan yang lebih mantap dalam menyokong pertumbuhan strategik perniagaan penerbangan.

    Di bawah struktur baharu itu, AAAGL akan menyelia semua syarikat penerbangan di bawah Capital A, selain menyokong AirAsia Consulting, perkhidmatan korporat bersama AirAsia SEA, rangkaian restoran makanan dan minuman Santan, dan penyedia perkhidmatan darat GTR.

    Pembentukan lembaga pengarah baharu untuk AAAGL, yang terdiri daripada semua pengarah bebas, (kecuali Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan), adalah berasingan daripada lembaga pengarah Capital A.  Ini memberikan tumpuan khusus pada perniagaan penerbangan untuk menyokong pertumbuhan yang mampan termasuk menubuhkan syarikat baharu pada masa hadapan. Keutamaannya adalah untuk mengumpulkan gabungan profesional terkemuka daripada pelbagai industri dan kemahiran berlainan untuk saling melengkapi. Mereka terdiri daripada pemain industri terbaik dalam bidang masing-masing termasuk tokoh terkenal dari negara yang ia beroperasi untuk memastikan kepelbagaian dalam kewarganegaraan, kemahiran dan jantina.

    Bo Lingam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited berkata “Pengumuman ini lebih daripada sekadar pertukaran nama. Ia menandakan permulaan baharu yang kukuh untuk kumpulan syarikat penerbangan kami dan menyokong pengembangan pesat syarikat portfolio Capital A, di samping membantu pertumbuhan kukuh kedua-dua syarikat penerbangan dan bukan penerbangan. 

    “AAAGL kini memegang pelaburan syarikat penerbangan kami dan membuka jalan untuk pembentukan syarikat penerbangan baharu pada masa hadapan. Baru-baru ini, kami telah menubuhkan syarikat perundingan dalaman iaitu AirAsia Consulting untuk menyemak perkongsian syarikat penerbangan baharu, peluang francais dan menyediakan perkhidmatan perundingan bukan sahaja kepada AirAsia malah syarikat penerbangan lain. Santan ialah rangkaian restoran makanan dan minuman kami yang berkembang pesat, yang mempunyai 10 cawangan di seluruh Malaysia. AirAsia SEA ialah perkhidmatan korporat bersama yang menyediakan perkhidmatan korporat untuk menyokong kumpulan kami dan mempunyai rancangan untuk menyokong syarikat penerbangan lain dan perniagaan berkaitan pada masa hadapan. GTR melengkapkan ekosistem kumpulan syarikat penerbangan kami dengan menyediakan perkhidmatan darat bukan sahaja untuk AirAsia, tetapi untuk syarikat penerbangan lain juga.

    “Rasional bagi penstrukturan semula ini adalah untuk menyediakan platform yang berasingan, kukuh dan padu untuk operasi syarikat penerbangan yang menyokong Capital A untuk menjadi lebih daripada sebuah syarikat penerbangan. AAAGL juga akan menjadi salah satu tonggak utama Capital A, di samping perniagaan digital baharu dan syarikat kejuruteraan pesawat, Asia Digital Engineering (ADE) yang bakal mengumumkan lembaga pengarah baharu dalam masa terdekat, sebagai entiti berasingan daripada AAAGL.   

    “Syarikat penerbangan akan sentiasa menjadi tonggak utama perniagaan AirAsia dan kami mempunyai rancangan pertumbuhan yang kukuh untuk masa hadapan dengan pembukaan sempadan dunia dan peralihan kepada fasa endemik.

    “Kami turut menjangka pertumbuhan masa hadapan kumpulan penerbangan kami yang terhasil daripada perniagaan, kerjasama, wilayah geografi dan usaha sama baharu, seterusnya mengembangkan ekosistem kumpulan penerbangan dengan lebih luas. Dalam usaha berterusan kami untuk mencapai kecemerlangan operasi sebagai syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka dunia, kami akan terus menumpukan kepada pengurusan kos dan mewujudkan struktur organisasi secara optimum yang  kritikal kepada strategi kami.  

    “Saya berbesar hati dengan kekuatan lembaga pengarah AAAGL termasuk Pengerusi Tan Sri Jamaludin Ibrahim untuk menyelia rancangan masa hadapan kami. Setiap seorang ahli kami akan membawa pengalaman dan kepelbagaian untuk memastikan tadbir urus korporat yang teguh dan pengawasan strategik yang kukuh.  

    “Selain itu, pengumuman ini menyokong strategi pengumpulan dana kami untuk kumpulan syarikat penerbangan sebagai entiti yang berasingan, memandangkan pelabur tertentu mungkin memilih untuk melabur hanya dalam perniagaan penerbangan.”