AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia dinobatkan Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia 2021 dan Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia 2021 di World Travel Awards ke-28

SEPANG, 21 Oktober 2021 - AirAsia telah dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia untuk tahun kelima berturut-turut dan dianugerahkan Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia untuk tahun keenam di World Travel Awards 2021 edisi ke-28.

AirAsia mengungguli kategori utama setelah menerima undian tertinggi daripada pengguna dan pemain industri profesional di rantau ini.

Bo Lingam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation berkata: “Kami berbesar hati menerima anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia dan Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia untuk tahun kelima dan keenam berturut-turut.

“Ini adalah pencapaian yang luar biasa dan kami tujukan anugerah ini kepada Allstars yang bekerja keras walaupun dilanda krisis semasa dan terus mengutamakan para tetamu.

“Kini kami dapat melihat keadaan semakin pulih dan kami tidak sabar untuk kembali terbang tinggi di semua pasaran utama dengan standard keselamatan dan kepatuhan tertinggi sempena pembukaan sekatan perjalanan secara beransur-ansur.

“Covid-19 membolehkan kami meninjau setiap aspek operasi dan kembali lebih kukuh dengan menawarkan pengalaman perjalanan yang dipertingkatkan melalui airasia Super App, aplikasi perjalanan dan gaya hidup sehenti kami.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada World Travel Awards, serta lebih 600 juta tetamu yang telah terbang bersama kami, dan rakan industri atas sokongan dan pengiktirafan mereka.”

Ketua Kru Kabin Kumpulan AirAsia, Suhaila Hassan berkata, anugerah Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia ini sekali lagi memperkukuh komitmen AirAsia untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada para tetamu.

“Kami percaya 18 bulan yang lalu adalah masa yang amat mencabar untuk semua orang dan terutamanya bagi mereka di dalam industri penerbangan dan pelancongan. Kami berbesar hati untuk menerima anugerah ini sekali lagi yang mencerminkan keunggulan dalam perkhidmatan yang mengutamakan para tetamu kami. Kami tidak sabar untuk kembali menyambut para tetamu dengan perkhidmatan terbaik di Asean sempena pembukaan semula sekatan perjalanan.”

Graham E. Cooke, Pengasas World Travel Awards berkata: “Tahniah diucapkan kepada AirAsia kerana telah terpilih sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia 2021 dan Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia 2021. Mereka berusaha untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan dalam kategori tambang rendah dan saya turut berbesar hati kerana usaha mereka diiktiraf oleh pengguna dan pemain industri perjalanan.”

Anugerah ini menyusuli beberapa pengiktirafan yang telah diterima oleh syarikat penerbangan tersebut baru-baru ini termasuk Anugerah Inovasi Perniagaan di Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia 2021 daripada pakar penerbangan di Flightglobal dan anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia oleh Skytrax untuk tahun ke-12 berturut-turut.

Ditubuhkan pada tahun 1993, World Travel Awards salah satu program anugerah paling berprestij di dalam industri pelancongan global yang mengiktiraf dan meraikan kecemerlangan di seluruh sektor utama industri perjalanan, pelancongan dan hospitaliti.

Untuk berita, aktiviti dan promosi terkini AirAsia, ikuti AirAsia di Twitter (twitter.com/airasia), Facebook (facebook.com/airasiasuperapp) dan Instagram (instagram.com/airasiasuperapp).