AirAsia Newsroom

View Original

Capital A minta tempoh lanjutan kemuka pelan penyusunan semula muktamad tangani status PN17

KUALA LUMPUR, 29 November 2022 - Capital A Berhad (dahulunya dikenali sebagai AirAsia Group Berhad) (“Capital A” atau “Kumpulan”) hari ini mengumumkan bahawa ia sedang mendapatkan lanjutan masa daripada Bursa Malaysia Securities Berhad untuk mengemukakan pelan penyusunan menyeluruh bagi menangani status Nota Amalan 17 (“PN17”). Kumpulan itu menjangkakan untuk mengumumkan pelan penyusunan semula yang telah dimuktamadkan kepada pihak Bursa Malaysia Securities pada bulan Januari 2023 dan diikuti dengan penyerahan untuk kelulusan dijangka pada Februari 2023.

Capital A sebelum ini telah mengumumkan pelantikan RHB Investment Bank Bhd, BDO Consulting Sdn Bhd, Deloitte Corporate Advisory Services Sdn Bhd, Ernst & Young PLT, Adnan Sundra & Low, and Providence Strategic Partners sebagai penasihat mengenai pelan pemulihannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, “Kita sedang berada di penghujung pandemik Covid-19, sama seperti kebanyakan syarikat penerbangan lain di seluruh dunia, dan kami ingin kembali bersaing dengan lebih kukuh daripada sebelumnya di mana syarikat penerbangan dan rangkaian kami telah mula kembali ke tahap pra pandemik dan perniagaan digital kami telah menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada apa yang telah dijangkakan. Biarpun status PN17 kami kekal sebagai satu isu perakaunan dan tidak menggambarkan daya maju perniagaan dan prospek Capital A secara tepat, kami tetap bekerja keras untuk merangka pelan bagi menangani status PN17 tersebut sebagai bahagian penting dalam proses pemulihan pasca pandemik kami.”

Beliau menambah, “Kami berterima kasih atas sokongan dan kerjasama yang luar biasa setakat ini daripada pihak penyedia pajakan pesawat, rakan kongsi, pelanggan, kakitangan dan pihak berkepentingan lain, membolehkan kami untuk bertahan sejauh ini dan menjadikan krisis ini sebagai sebuah peluang. Bersama rakan kongsi kami, para penasihat kewangan serta undang-undang, kami sedang memuktamadkan sebuah skim, tertakluk kepada kelulusan kawal selia dan lain-lain yang diperlukan, yang kami jangka bukan sahaja akan mengangkat kami daripada status PN17, tetapi juga akan memberikan nilai yang sangat besar kepada para pemegang saham Capital A, dan akhirnya, membawa kami kepada kedudukan kewangan dan keuntungan yang lebih sihat."

Beliau menjelaskan, “Skim tersebut tidak akan melibatkan pencairan nilai pemegang saham. Pada dasarnya, skim tersebut akan menghasilkan pemisahan yang jelas antara tiga portfolio perniagaan utama Capital A, iaitu kumpulan penerbangan, kumpulan perniagaan digital dan kumpulan logistik dan perkhidmatan kejuruteraan penerbangan.

“Pelan yang telah dirancang itu akan melibatkan pelupusan perniagaan penerbangan Capital A, iaitu AirAsia Berhad dan AirAsia Aviation Group Limited, kepada AirAsia X Berhad (AAX). Pertimbangan saham, yang diterima sebagai pertukaran untuk pelupusan tersebut, kemudiannya akan diagihkan kepada para pemegang saham Capital A, supaya mereka akan mengekalkan kepentingan langsung dalam perniagaan penerbangan melalui AAX, berikutan penstrukturan semula ini. Pada dasarnya, melalui skim ini, nilai pemegang saham Capital A akan terus dilindungi. Capital A akan dijenamakan semula sebagai kumpulan perkhidmatan penerbangan dan perniagaan digital, tertakluk kepada proses pelupusan dan pengagihan kepentingan. Kami merancang untuk penyenaraian yang berasingan untuk perniagaan perkhidmatan penerbangan Capital A pada masa akan datang sebaik sahaja status PN17 diselesaikan.”

Capital A menjangkakan untuk menyelesaikan pelaksanaan pelan penyusunan semula menjelang Julai 2023, tertakluk kepada kelulusan yang diperlukan termasuk daripada lembaga pengarah, pemegang saham dan pemegang terbitan hak, Bursa Malaysia Securities dan pihak berkuasa berkaitan yang lain.

*** TAMAT ***

About Capital A

Capital A (formerly known as AirAsia Group) is an investment holding company with a portfolio of synergistic travel and lifestyle businesses that leverage data and technology, including its Aviation group, aviation services, airasia Super App, fintech BigPay and logistics venture Teleport. Capital A’s vision is to create and deliver products and services that focus on offering the best value at the lowest cost, underpinned by robust data and one of Asia's leading brands that remains committed to serving the underserved.