AirAsia Newsroom

View Original

Capital A umum pelupusan strategik perniagaan penerbangan kepada AirAsia X

KUALA LUMPUR, 8 Januari 2024 – Capital A Berhad, kumpulan perkhidmatan penerbangan dan perjalanan serta syarikat induk bagi AirAsia, hari ini mengumumkan bahawa ia telah menandatangani surat tawaran tidak terikat bersama AirAsia X Berhad (“AAX”) untuk cadangan melupuskan perniagaan penerbangannya iaitu AirAsia Berhad (AirAsia Malaysia) dan Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited (anak syarikat AirAsia di Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja). Langkah strategik itu bertujuan bagi memperkemas operasi Kumpulan itu serta memudahkan penilaian berteraskan perniagaan bagi entiti berasingan yang berpotensi membuka nilai yang lebih besar kepada para pemegang saham. 

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, “Semua perniagaan di bawah Capital A telah berkembang dengan pesat dan kami kini bersedia untuk ke peringkat yang seterusnya. Kami perlu mengumpulkan dana untuk mengembangkan perniagaan, tetapi mendapatkan akses kepada modal telah menjadi suatu cabaran disebabkan Capital A masih dalam status Notis Amalan 17 ("PN17"). Kami telah berinteraksi dengan pelabur yang telah menyatakan kecenderungan mereka yang kukuh untuk terlibat dalam sebuah perniagaan penerbangan sepenuhnya.

“Bagi mengatasi perkara ini serta memastikan kami mendapat suntikan kewangan yang kukuh, kami akan meneruskan penjualan perniagaan penerbangan kami secara strategik kepada AAX bagi mewujudkan sebuah perniagaan penerbangan yang murni, menggabungkan kedua-dua syarikat penerbangan jarak jauh dan dekat di bawah jenama AirAsia, tertakluk kepada rundingan perjanjian jual beli saham yang muktamad dan penyelesaiannya. Selepas pelupusan tersebut, syarikat penerbangan itu akan bersedia untuk mendapat manfaat daripada pihak pengurusan yang berfokus dengan hala tuju strategik yang lebih jelas yang akan meningkatkan kapasiti perniagaan penerbangan itu dalam meraih peluang pertumbuhan, memperkembang bahagian pasaran, dan akhirnya mencapai keuntungan yang lebih dipertingkatkan.

Kami yakin dengan cara mengasingkan perniagaan penerbangan ini daripada Capital A, ia akan memberi laluan kepada perniagaan bukan penerbangan lain di dalam Kumpulan ini, di mana ia sekarang dianggap di bawah nilai di dalam pasaran, untuk juga diiktiraf bagi nilai serta potensi intrisiknya. Syarikat-syarikat di bawah Capital A termasuk Teleport (logistik), Capital A Aviation Services (MRO dan perkhidmatan dalam penerbangan) dan MOVE Digital, juga akan mula menjana modal, seterusnya memberikan peningkatan kepada para pemegang saham bagi saham Capital A mereka, disokong oleh pegangan saham di dalam kumpulan penerbangan yang diperluaskan di bawah pengedaran saham yang dicadangkan. Berikutan penjualan perniagaan penerbangan, pemegang saham Capital A akan menjadi pemegang saham kepada dua syarikat tersenarai yang kukuh. Kami percaya langkah ini akan membawa lebih kejelasan kepada pelaburan, mewujudkan asas pemegang saham yang lebih fokus, dan akhirnya membuka kunci nilai untuk para pemegang saham kami."

Keputusan untuk mencipta sebuah entiti perniagaan yang murni sejajar dengan keutamaan pasaran, menyediakan pemahaman, penilaian, dan penghargaan yang lebih jelas terhadap kekuatan yang berbeza antara perniagaan penerbangan dan bukan penerbangan.

Pengumuman mengenai perkara ini telah dibuat melalui Bursa Malaysia. Selepas pelupusan penerbangan ini telah selesai, Capital A kekal komited untuk membentangkan pelan penyusunan semula PN17 yang komprehensif selewat-lewatnya pada 30 Jun 2024. Capital A akan sentiasa berkomunikasi secara telus dan akan menyediakan semua pihak berkepentingan maklumat terperinci sepanjang proses ini.

*** TAMAT ***