AirAsia Newsroom

View Original

'Ibarat sirih pulang ke gagang' Duta ‘Dare to Dream’ AirAsia, Ben Proud, kembali ke Malaysia untuk membimbing generasi muda Asean melalui penganjuran klinik renang

KUALA LUMPUR, 27 September 2024 – Di sebuah rantau yang kaya dengan potensi belum diterokai, AirAsia terus memimpin dalam usaha memperkasakan bintang-bintang baru Asean melalui inisiatif Dare to Dream. Mengetuai kempen ini adalah perenang Olimpik Ben Proud, yang baru-baru ini meraih pingat perak di Sukan Olimpik Paris 2024. Sebagai duta kempen Dream, Proud benar-benar mewakili apa yang boleh dicapai melalui dedikasi, tekad dan usaha gigih, menginspirasi generasi akan datang untuk tidak pernah berputus asa.

Selepas hampir berundur dari arena renang kompetitif selepas Olimpik Tokyo 2021, kebangkitan Proud adalah bukti kukuh tentang ketahanannya. Susulan pencapaian terbarunya, Proud kembali ke Malaysia, tempat segalanya bermula, menandakan kepulangan penuh makna dan pertemuan semula dengan jurulatih lamanya, Francis Kiu, yang pertama kali membimbingnya ke dunia renang kompetitif. Pertemuan semula ini akan berlangsung di akademi renang Coach Kiu, Team Q Swim Academy yang terletak di tengah-tengah Petaling Jaya, di mana edisi kedua klinik renang Ben Proud Talent Pool diadakan.

Pertama kali diperkenalkan pada tahun 2017, klinik renang Ben Proud Talent Pool menawarkan peluang unik kepada atlet muda berusia tujuh hingga 19 tahun untuk belajar daripada seorang pemenang pingat Olimpik. Sebagai sebahagian daripada komitmen AirAsia yang berterusan terhadap pemberdayaan belia melalui inisiatif Dare to Dream, klinik ini bukan sahaja menekankan pengajaran teknik renang tetapi juga nilai-nilai hidup jangka panjang seperti ketabahan, penetapan matlamat, dan ketahanan mental. Klinik ini menjadi momen penuh erti bagi Proud, yang berharap untuk menginspirasi generasi perenang seterusnya dalam persekitaran yang sama di mana perjalanannya sendiri bermula.

Rudy Khaw, CEO AirAsia brand co. (Abc.), berkata: “Kami amat bangga dengan pencapaian Ben di Olimpik baru-baru ini. Saya tidak boleh memikirkan sesiapa yang lebih layak. Kami memulakan perjalanan dengan Ben pada tahun 2017 dengan matlamat untuk layak ke Olimpik Tokyo, dan beliau menunjukkan kekuatan tahun demi tahun melalui rekod yang dipecahkan, kejohanan dunia yang dimenangi, Emas Komanwel, dan banyak lagi. Walaupun terlepas podium dalam Olimpik sebelum ini, Ben terus memecahkan rekod dan tidak pernah menyerah. Benar dengan semangat Dare to Dream, dia terus berusaha tanpa pernah hilang fokus pada matlamatnya. Kami gembira Ben kembali ke Malaysia, tempat di mana kerjaya renangnya bermula. Apabila dia kembali ke 'akar'nya untuk memberi semula kepada generasi seterusnya melalui klinik renang Talent Pool, kami diingatkan sekali lagi bahawa tiada impian yang terlalu besar jika kita bersedia untuk mengejarnya. Kisah Ben membuktikan hal itu, dan kami sangat bangga untuk menjadikannya sebagai duta Dare to Dream kami."

Ben Proud berkata: "Tiga tahun yang lalu, saya berada pada salah satu titik terendah dalam hidup saya, tidak mampu untuk berbicara tentang kegagalan yang saya hadapi. Tetapi dalam saat-saat sukar itu, saya menemui kekuatan untuk terus berjuang, dan sekarang, berdiri di sini dengan pingat Olimpik, saya bersyukur atas setiap suka dan duka yang saya alami sepanjang perjalanan ini. Inisiatif Dare to Dream oleh AirAsia mencerminkan semangat ketahanan ini, dan saya berasa terhormat untuk bekerjasama dengan mereka untuk menunjukkan kepada atlet muda bahawa walaupun dalam masa-masa gelap, sentiasa ada jalan ke hadapan. Seperti mana yang ditunjukkan dalam perjalanan saya, "bekerja keras dalam diam, biarkan kejayaan menjadi sorakan anda." Kembali ke Malaysia dengan AirAsia di sisi saya dan bertemu semula dengan Coach Kiu untuk menginspirasi generasi perenang seterusnya adalah momen yang benar-benar melengkapkan perjalanan hidup saya."

AirAsia tetap komited untuk menyokong dan menaikkan bakat-bakat Asean, memperkasakan mereka untuk mencapai impian mereka dan menghidupkan semangat mereka dalam semua bidang dan usaha.

***TAMAT***