Selebriti tempatan berasal dari Sabah, Marsha Milan galak bantuan melalui inisiatif derma digital awam ‘IKHLAS untuk Sabah’
Selebriti tempatan Marsha Milan yang berasal dari Tamparuli, Sabah telah bekerjasama dengan IKHLAS, cabang perniagaan mesra muslim di bawah naungan airasia.com untuk memupuk semangat rakyat Sabah yang terjejas oleh pandemik ini.
Baru-baru ini, Marsha telah melancarkan single baharu beliau ‘Insan Tadau’ (Suatu Hari Nanti) pada bulan Oktober 2020 bersama seorang lagi penyanyi dari Sabah, Velvet Aduk. Mesej dalam lagu yang menitip harapan berikutan pandemik ini selaras dengan objektif IKHLAS yang giat membantu komuniti di kampung halamannya. Justeru, Marsha terpanggil untuk bekerjasama menggalakkan lebih ramai orang menderma melalui kempen ‘IKHLAS untuk Sabah’ di ikhlas.com.
Ikuti penyanyi dari Sabah ini yang berkongsi mengenai inisiatif ‘IKHLAS Untuk Sabah’:
1. Boleh kongsikan bagaimana kerjasama antara Marsha dan IKHLAS bermula?
Semasa pembikinan lagu terbaharu Marsha bersama Velvet iaitu ‘Insan Tadau’ (bermaksud suatu hari dalam bahasa Sabah), kami terdengar mengenai inisiatif derma digital ‘IKHLAS untuk Sabah’ yang bakal dilancarkan pada waktu yang sama.
Melihat inisiatif yang dilaksanakan oleh IKHLAS bagi membantu meringankan beban orang Sabah, saya tersentuh hati dan ingin memainkan peranan saya untuk membantu walaupun saya tidak dapat pulang ke Sabah pada masa ini.
Saya berharap usaha ini dapat mendorong lebih ramai orang untuk menderma melalui ikhlas.com agar kita sama-sama dapat membantu seberapa banyak orang yang memerlukan bantuan di Sabah.
2. Apakah mesej lagu baharu Marsha ‘Insan Tadau’ dan bagaimana ia memainkan peranan dalam inisiatif ‘IKHLAS untuk Sabah’?
Lagu ini ditulis dengan mesej untuk menyatakan kerinduan terhadap seseorang. Tidak kira siapa yang kita rindukan termasuk keluarga, orang yang tersayang dan rakan-rakan yang berada di Sabah.
Melalui lagu ini, saya ingin menyampaikan emosi dan rasa dalam situasi pandemik ini, dan paling penting untuk memberi semangat kepada orang Sabah untuk terus kuat pada masa yang sukar ini. Ini sejajar dengan mereka yang tidak dapat pulang ke kampung halaman pada masa ini.
Saya rasa lagu ini sejajar dengan usaha ‘IKHLAS Untuk Sabah’ dan saya berharap lagu ini dapat memberi serba sedikit kekuatan emosi untuk orang Sabah yang merindui kampung halaman. Ini juga selaras dengan inisiatif IKHLAS yang menghulurkan bantuan barangan keperluan asas dan makanan kepada mereka yang memerlukan di Sabah.
3. Apa yang Marsha harapkan dengan menyokong inisiatif ini?
Dari Negeri di bawah Bayu, Sabah yang saya cintai dan tempat lahir saya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua Pertubuhan Bukan Kerajaan terutamanya IKHLAS kerana melancarkan inisiatif ini. Saya berharap kita akan dapat bersama-sama mengumpul dana sebanyak yang boleh bagi mengurangkan beban mereka yang memerlukan bantuan pada masa ini di Sabah.
4. Apakah pesanan Marsha kepada orang ramai?
Saya ingin menasihati orang ramai untuk menjaga diri dan keluarga, patuhi SOP yang telah dikeluarkan oleh kerajaan agar kita dapat sama-sama memerangi pandemik ini.
Saya juga ingin menggalakkan semua rakyat Malaysia untuk menderma di ikhlas.com. Semua sumbangan akan digunakan untuk membeli barangan keperluan harian dan akan diedarkan kepada komuniti-komuniti yang memerlukan di Sabah.
Marilah kita sama-sama menjaga satu sama lain, untuk menderma boleh ke ikhlas.com
5. Di mana kami boleh mendengar lagu baharu Marsha?
Dengarkan lagu baharu saya bersama Velvet Aduk ‘Insan Tadau’ di YouTube (@Velvetaduk) atau anda juga boleh mencari lagu kami di semua platform digital.
**** Tamat temu bual bersama Marsha ***
Ikhlas Kamarudin, Ketua IKHLAS berkata, “Kami berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan selebriti tempatan yang berasal dari Sabah seperti Marsha dan Kumpulan Zero untuk membantu komuniti di Sabah. Kami ingin berkongsi bahawa pengagihan pertama barangan keperluan harian telah dilakukan pada minggu lepas di Pulau Gaya, Papar, Kudat, Tawau dan Sandakan Sabah telah membantu lebih kurang 1,150 keluarga yang kurang bernasib baik. Sejak pelancaran ‘IKHLAS Untuk Sabah’ kami telah berjaya mengutip sebanyak MYR136,974 dan inisiatif derma ini masih berjalan, jadi kami berharap lebih ramai rakyat Malaysia akan bersama-sama menderma di ikhlas.com.”
Selain itu, Kumpulan Zero (Atu, Syarif dan Syaiful), pemenang pertandingan realiti popular untuk pelawak juga bekerjasama dengan IKHLAS untuk mengalakkan rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat untuk membantu rakyat Sabah dengan menderma di ikhlas.com.