AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia X terajui misi bantuan komuniti bersama Pertubuhan Pertolongan Wanita

Dalam pada AirAsia X (AAX) terbang lebih tinggi sebagai syarikat penerbangan jarak sederhana dan jauh, kami tetap teguh dengan komitment untuk menyantuni komuniti yang kurang bernasib baik.

Sempena Hari Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita, kakitangan AAX yang dikenali sebagai Allstars telah bergabung tenaga dengan hasrat untuk membuat perubahan positif melalui inisiatif bantuan komuniti di salah sebuah pusat perlindungan yang dikendalikan oleh Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) di Lembah Klang.

Lebih daripada 30 Allstars telah mengambil bahagian dalam inisiatif ini yang bermula dengan pengenalan daripada pasukan WAO mengenai peranan penting mereka dalam memerangi keganasan terhadap wanita. Mereka juga menekankan cabaran yang perlu dihadapi termasuk keperluan untuk memindahkan tempat perlindungan bagi memastikan keselamatan mangsa.

Bersatu Membantu Komuniti

Setelah dibahagikan kepada dua kumpulan, para Allstars bekerjasama untuk membersih, menyusun, dan mengemas tempat perlindungan tersebut untuk menghasilkan persekitaran tempat tinggal yang lebih bersih dan selamat untuk golongan tersebut. Allstars juga telah memasang beberapa buah perabot untuk kegunaan harian dan kedua-dua tingkat tempat perlindungan tersebut telah dibersihkan dengan teliti pada waktu tengah hari.

Kepentingan Mempunyai Empati

Program pada hari tersebut diakhiri dengan pembentangan daripada wakil WAO yang menekankan komitmen organisasi mereka untuk mengakhiri keganasan terhadap wanita dan advokasi terhadap kesaksamaan gender di Malaysia. Tempat perlindungan ini amat penting bagi mangsa keganasan domestik yang merangkumi wanita, pelarian dan kanak-kanak.

Bagi para Allstars ianya merupakan satu pengalaman berharga yang mendedahkan mereka kepada latihan khusus yang diperlukan untuk melindungi wanita daripada keganasan, sama ada melalui sumbangan pengetahuan profesional atau menyediakan sokongan melalui talian. Memahami cabaran yang dihadapi oleh golongan ini menekankan peranan penting organisasi tersebut dalam memperkasakan wanita.

Bangga Membantu

Kami menghargai sumbangan Allstars yang meluangkan masa dan menyertai inisiatif penuh makna ini. Kami juga berbangga kerana dapat menyumbang impak positif terhadap komuniti yang memerlukan.

Pengalaman ini memperkukuh komitmen kami untuk memberikan perbezaan dalam kehidupan golongan yang memerlukan, selari dengan misi utama AirAsia, di mana kami fokus kepada kesamarataan gender  untuk memastikan peluang yang saksama untuk semua.

Slogan 'Dare to Dream' kami juga memberi inspirasi kepada kami untuk keluar dari zon selesa, mencabar diri dan menyuarakan pendapat peribadi. Kami mengucapkan terima kasih kepada WAO atas peluang ini dan berharap untuk bekerjasama dengan mereka pada masa hadapan untuk memberikan impak positif kepada semua.

***TAMAT***

MENGENAI PERTUBUHAN PERTOLONGAN WANITA (WAO)

Sejak 1982, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) telah menyediakan tempat perlindungan, akses kepada kaunseling, dan bantuan krisis percuma kepada wanita dan dan kanak-kanak yang mengalami penderaan. Kami membantu membina semula hidup pemandiri/mangsa keganasan rumah tangga, rogol, pemerdagangan manusia, dan pelbagai penganiayaan lain. Melalui pembelajaran daripada pengalaman wanita-wanita, WAO bergiat dalam usaha advokasi untuk menambah baik polisi awam dan mengubah cara masyarakat berfikir. Bersama-sama, kita mengubah kehidupan wanita di negara ini. Untuk sebarang pertanyaan, anda boleh menghubungi kami di info@wao.org.my.

Hubungi WAO melalui talian hotline +603 3000 8858 

Emel: partnership@wao.org.my
Laman Web: https://wao.org.my/