AirAsia Newsroom

View Original

Mesej daripada AirAsia

Para tetamu yang dihormati,

Pertama sekali, kami amat bersimpati dengan mereka yang terjejas akibat Covid-19. Di saat yang mencabar ketika ini, kami ingin anda ambil maklum bahawa kami sedang berusaha sedaya upaya bagi menjamin keselamatan perjalanan anda dan menawarkan kelonggaran yang maksimum buat para tetamu kami.

Kami mengikuti rapat situasi semasa.

Kesihatan dan kesejahteraan para tetamu dan kakitangan kami sentiasa menjadi keutamaan. Kami terus mengikuti rapat situasi kesihatan awam dan mematuhi sepenuhnya nasihat oleh kerajaan dan pihak berkuasa kesihatan global.

Kami di sini untuk membantu.

Berikutan keadaan yang tidak dijangka, kami mengalami peningkatan pertanyaan yang luar biasa pada masa ini. Kami terus berusaha sepanjang masa untuk menawarkan bantuan kepada mana-mana tetamu yang terjejas akibat gangguan perkhidmatan, dan kami amat menghargai kesabaran anda.

Untuk menguruskan peningkatan pertanyaan dan permintaan dengan lebih baik, kami telah mengerahkan sokongan tambahan untuk pasukan perkhidmatan pelanggan kami, termasuk sukarelawan dari jabatan-jabatan lain untuk membantu di saat yang sukar ini.

Paling penting, kami telah menyediakan panduan komprehensif untuk para tetamu yang mungkin terjejas akibat sekatan perjalanan atau pembatalan penerbangan, kewarganegaraan, sejarah perjalanan, atau larangan kerajaan. Ini bagi memberi mereka gambaran yang lebih jelas mengenai pilihan perjalanan, kelayakan dan lain-lain maklumat. (Lihat pautan: Panduan Permintaan Bayaran Balik Covid-19)

Kami menawarkan fleksibiliti. 

Kami memahami jumlah pertanyaan daripada tetamu kami yang memerlukan tindakan segera terutamanya berkenaan dengan keadaan kesihatan awam pada masa ini adalah tinggi. Kami telah memberi keutamaan kepada perkara ini dan berusaha untuk mengurangkan impak kepada tetamu kami dan juga untuk menangani semua pertanyaan yang diajukan kepada kami.  

Kami juga memahami bahawa rancangan perjalanan atau percutian bukan pilihan utama anda pada masa ini. Justeru, kami menawarkan tetamu yang terjejas dengan pilihan untuk menukar tempahan penerbangan anda kepada Akaun Kredit yang boleh digunakan untuk membuat tempahan baharu dalam tempoh 365 hari. Akaun Kredit ini bukan sahaja lebih mudah untuk ditebus, malah mempunyai jangka masa yang lebih panjang dan boleh digunakan untuk menambah nilai kepada tempahan akan datang. Selain itu, anda juga boleh menukar tempahan penerbangan kepada tarikh baharu dalam tempoh 180 hari, pada masa yang lebih mengizinkan untuk merancang perjalanan anda. Semua perubahan sukarela ini boleh dibuat menerusi Allstar virtual kami, iaitu AVA di airasia.com atau support.airasia.com

Sebarang perubahan kepada jadual penerbangan kami akan diterbitkan di laman web ini (newsroom). Tetapi, anda juga akan dimaklumkan secara terus menerusi SMS, e-mel dan juga saluran media sosial kami jika penerbangan anda terjejas.

Kami mengekalkan standard tertinggi untuk memastikan keselamatan semua.

Akhir sekali, kami ingin memberi jaminan bahawa kami akan mengambil langkah-langkah tambahan untuk menyahjangkit pesawat kami selain langkah-langkah menjaga kesihatan dan keselamatan sedia ada. Mana-mana pesawat yang kembali dari hentian semalaman juga akan melalui proses pembersihan mendalam. Semua pesawat kami juga mempunyai penapis HEPA yang menyediakan penapisan udara berkualiti tinggi.

Ini adalah komitmen kami kepada anda bahawa penerbangan kami akan terus beroperasi ke destinasi-destinasi yang tidak berisiko tinggi, untuk mengurangkan impak kepada tetamu kami.

Seluruh keluarga AirAsia juga ingin merakamkan ucapan terima kasih atas kesabaran anda dan kerana memahami situasi yang mencabar ini. Kami berjanji untuk melakukan yang terbaik dan menjaga semua para tetamu kami.

Terima kasih atas sokongan berterusan anda.

Bo Lingam

Presiden (Penerbangan)

AirAsia