AirAsia Newsroom

View Original

OURFARM dan IKHLAS bantu 220 keluarga B40 sempena Deepavali

Keterangan Gambar: Wakil-wakil daripada OURFARM, IKHLAS dan sukarelawan daripada beberapa perusahaan berganding bahu untuk Project #Food4B40 Deepavali.

OURFARM, platform e-dagang perniagaan-ke-perniagaan (B2B) berasakan pertanian yang dimiliki oleh airasia Digital dan IKHLAS, cabang perniagaan mesra muslim di bawah naungan airasia.com berganding bahu pada hujung minggu lalu untuk membantu 220 keluarga daripada golongan B40 sempena sambutan Hari Deepavali akan datang.

Bantuan ini disalurkan melalui Project #Food4B40 Deepavali dengan kerjasama muhibah antara OURFARM, IKHLAS dan beberapa buah perusahaan sosial yang lain, diselaraskan oleh Masala Wheels dan disokong oleh Yayasan Hasanah, sebuah yayasan di bawah Khazanah Nasional.

Di bawah projek ini, keluarga daripada komuniti B40 yang telah dikenal pasti menerima lebih daripada 500kg sayur-sayuran segar dan 220 bungkusan makanan untuk membantu meringankan beban mereka sempena sambutan perayaan tersebut.

Pengagihan telah dibuat kepada keluarga yang tinggal di beberapa buah Projek Perumahan Rakyat termasuk PPR Laksamana, PPR Batu Muda, PPR Kepong, PPR Jinjang dan Pangsapuri Melati Bukit Subang di Lembah Klang.

Keterangan Gambar: (Kanan) Lalitha Sivanaser, Ketua Pegawai Eksekutif OURFARM bersama salah sebuah keluarga yang menerima bantuan.

Lalitha Sivanaser, Ketua Pegawai Eksekutif OURFARM berkata: “Kami berbesar hati untuk membantu keluarga-keluarga ini, yang kebanyakannya mungkin tidak dapat menyambut Hari Deepavali pada tahun ini, terutamanya mereka yang terkesan oleh pandemik. Selari dengan objektif penubuhan OURFARM dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan untuk membantu para petani dan pengeluar pertanian meneruskan perniagaan mereka, kami memahami bahawa pandemik ini tidak hanya mempengaruhi ekonomi secara keseluruhan tetapi juga individu dan komuniti setempat. Kami berharap bantuan ini dapat mengukir senyuman di wajah mereka pada musim perayaan ini. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada IKHLAS dan semua perusahaan sosial yang terlibat, terutamanya Masala Wheels dan Drop & Wash kerana memberi peluang kepada kami untuk membekalkan produk segar kepada komuniti ini di saat memerlukan. Usaha ini bukan hanya meringankan beban isi rumah individu, malah turut membantu para petani pada masa yang sama dan kami berharap dapat menyokong lebih banyak inisiatif seperti ini, terutama pada masa-masa yang mencabar ini.”

Keterangan Gambar: Wakil-wakil daripada OURFARM dan IKHLAS mengagihkan bantuan kepada salah sebuah keluarga.

Ikhlas Kamarudin, Ketua IKHLAS berkata: “Salah satu tonggak utama IKHLAS adalah Amal Jariah, di mana amalan melangkaui bantuan kewangan tetapi masa dan usaha. Sebagai aspek penting dalam kehidupan setiap manusia, kami berharap untuk terus membantu mereka yang memerlukan melalui jenama dan platform kami tanpa mengira latar belakang dan kepercayaan agama mereka. Kami merasa rendah hati dengan peluang ini kerana selain dapat menyokong inisiatif tersebut, kami juga dapat meraikan semangat perpaduan kita.”

Inisiatif ini juga sejajar dengan sokongan OURFARM terhadap ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus), di mana mereka telah bekerjasama dengan Masala Wheels sejak dua bulan lepas bagi membekalkan hasil segar kepada perusahaan sosial tersebut yang bertujuan untuk memberi bantuan berupa makanan kepada masyarakat di samping memperkasakan mereka.

IKHLAS pula telah membantu lebih daripada 15,000 keluarga di seluruh negara berikutan pandemik sejak April 2020 melalui inisiatif derma digital awam pertamanya ‘Give With IKHLAS’. Baru-baru ini, IKHLAS juga telah melancarkan ‘IKHLAS Untuk Sabah’ inisiatif derma digital awam terbaru untuk membantu komuniti yang terjejas akibat pandemik ini di Sabah.