AirAsia Newsroom

View Original

Peralihan peranan berikutan pandemik

Keupayaan mengalihkan perniagaan dalam krisis amat penting, terutamanya apabila pandemik melanda dan membawa cabaran kepada ekonomi global yang menjejaskan pelbagai sektor seperti penerbangan dan pelancongan. Dalam persekitaran perniagaan yang terus berubah pada hari ini berikutan faktor luaran, apa yang membezakan sebuah syarikat daripada pesaingnya adalah kakitangannya, seperti airasia. Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan airasia selalu berkata: “Aset terbesar kami adalah kakitangan kami.” 

Dalam keadaan yang semakin mencabar ini, ramai kakitangan airasia yang dikenali sebagai Allstars, telah beralih kepada peranan baharu dan mempelajari kemahiran baharu untuk menghadapi cabaran semasa. Peralihan kerjaya ini juga dipermudahkan dengan penubuhan Redbeat Academy, yang pada mulanya ditubuhkan untuk meningkatkan dan melatih kakitangannya dalam revolusi digital, tetapi kini turut membantu Allstars memanfaatkan kemahiran baharu mereka dalam sektor yang berbeza. Kakitangan kami adalah keutamaan kami. Kami berusaha untuk membantu mereka menghadapi sebarang cabaran dan mereka pula akan menghulurkan tangan apabila kami memerlukan bantuan.

Kami berbesar hati untuk berkongsi beberapa kisah inspirasi daripada Allstars yang telah bangkit menghadapi cabaran berikutan pandemik ini dan telah meningkatkan kemahiran mereka dan menceburi peranan baharu yang dicipta oleh syarikat untuk memenuhi permintaan dan keperluan semasa.

Daripada Pegawai Ramp kepada Penganalisis Data

Mohamed Hazriq Fitri mengambil peluang untuk mendaftar dalam Redbeat Academy pada tahun 2019 untuk meningkatkan kemahiran baharu bagi menghadapi revolusi digital. Pada mulanya, belajar sambil bekerja merupakan satu cabaran baginya. Namun, Hazriq berpegang pada kata-kata “tuntutlah ilmu sehingga ke liang lahad” dan terus berusaha. Kini, Haziq mengikuti Kursus Analisis Data dan Pembelajaran Mesin di akademi tersebut untuk meningkatkan kemahirannya sebagai penganalisis data.

Mohamed Hazriq Fitri

Cynthia Maretta

Daripada Kru Kabin kepada Ejen Kebahagiaan Pelanggan

Cynthia Maretta mengejar impiannya untuk menjadi kru kabin AirAsia Indonesia pada tahun 2017, lima tahun selepas bertugas sebagai kakitangan perkhidmatan pelanggan di lapangan terbang. Destinasi terakhir yang dikendalikannya adalah Bali, sebelum pandemik Covid-19 melanda dan membataskan penerbangan di rantau ini. Kini, Cynthia adalah salah seorang ejen kebahagiaan pelanggan, untuk membantu pasukan tersebut yang dibanjiri oleh permintaan dan pertanyaan para tetamu. Pengalamannya yang luas dalam memenuhi permintaan para tetamu di dalam penerbangan terbukti amat berharga untuk membantu pasukan perkhidmatan pelanggan dalam situasi mencabar ini.

Tanus Kerdsombut

Daripada Eksekutif Pembangunan Perniagaan kepada Pengurus Kebahagiaan Pelanggan

Ketika pandemik Covid-19 melanda Thailand dan menyekat pergerakan penduduknya, Tanus Kerdsombut sedar bahawa dia harus menyesuaikan diri bekerja dari rumah. Oleh itu, dia mengambil peluang untuk menceburi pasukan kebahagiaan pelanggan yang ditawarkan oleh airasia. Dia memahami betapa pentingnya pasukan kebahagiaan pelanggan dalam krisis ini dan bersedia untuk meringankan beban yang dihadapi oleh syarikat penerbangan selain mencabar diri dengan peranan baharu.

Daripada Kru Kabin kepada Eksekutif Teleport

Jack Khor adalah kru kabin AirAsia Malaysia yang telah berkhidmat selama tiga tahun dan ingin meningkatkan kemahiran dan pengetahuannya dalam bidang lain. Kini, dia adalah seorang eksekutif di Teleport, cabang logistik airasia. Pada mulanya, Jack menghadapi cabaran untuk menyesuaikan diri dengan tugasan baharu yang meliputi perniagaan digital. Namun, pengalaman bekerja secara berpasukan sebagai kru kabin, memberikan keyakinan untuk dia berkomunikasi dengan rakan-rakan sekerja dan para pelanggan, seterusnya membantu peranan baharunya. 

(Tengah) Mark Alvin Lasco

Daripada Kru Kabin kepada Ketua Pempengaruh Luar (External Influencers Lead)

Mark Alvin Lasco adalah Kru Kabin Kanan AirAsia Philippines sebelum menyertai unit Komunikasi dan Hal Ehwal Awam sebagai Ketua Pempengaruh Luar, yang ditugaskan untuk menyelaraskan para tetamu seperti selebriti, vlogger, media, dan pempengaruh yang terbang bersama AirAsia Philippines. Ketika ditanya mengapa dia beralih kepada jawatan ini, Mark berkata bahawa dia telah mempunyai pengalaman pekerjaan yang hampir sama sebelum ini dan berbesar hati untuk membantu syarikat yang sedang mencari kakitangan untuk peranan ini. Seperti kita semua, Mark juga terpaksa menyesuaikan diri berikutan pandemik ini dan telah menubuhkan perniagaan makanan dalam talian secara kecil-kecilan dan menimba pengalaman sebagai pempengaruh media sosial di laman media sosialnya @iamalvinlasco.

(Kanan) Kapten Lim Wei Lung

Daripada Kapten kepada Pengurus Pembangunan Perniagaan Teleport

Semasa permulaan perintah kawalan pergerakan berikutan Covid-19, Kapten Lim Wei Lung menikmati masa terluang bersama keluarganya di rumah. Apabila mendengar bahawa Teleport membuka peluang pekerjaan, dia segera mengambil peluang tersebut untuk membantu syarikat itu. Teleport merupakan perkhidmatan penting kerana ia menghantar kargo dan barang keperluan harian. Di sini, dia memanfaatkan pengalamannya sebagai juruterbang untuk memantau dan menyelesaikan masalah operasi yang dihadapi oleh pasukan di Teleport. Kapten Lim yang meminati kerja berpasukan dan kebolehan untuk membantu kakitangan Teleport (Teleporters) daripada semua lapisan masyarakat berharap untuk terus membantu syarikat tersebut selepas tamat tempoh perintah kawalan pergerakan.

(Tengah) Mohamed Imran bersama-sama Allstars yang diambil bekerja semula di Santan NU Sentral, Kuala Lumpur.

Daripada Penganalisis Kepada Pemilik Francais Santan

Mohamed Imran menyertai airasia pada tahun 2016 sebagai eksekutif kanan perniagaan sampingan airasia dan baru-baru ini telah menyertai Santan, kumpulan restoran makanan segera Asean yang dimiliki oleh airasia sebagai penganalisis strategi dan data. Sebelum ini, dia telah membuka sebuah restoran di Sydney dengan rakan-rakannya dan berdasarkan pengalamannya di dalam industri makanan dan minuman, Imran menyedari potensi Santan dan memutuskan untuk menjadi pemilik francais Santan. Imran telah membuka francais Santan di Nu Sentral, Kuala Lumpur dan mengambil semula bekas kru kabin airasia sebagai kakitangannya.

Sempena ulang tahun ke-19 airasia pada bulan ini, kami juga ingin meraikan Allstars yang telah menjadikan airasia sebuah syarikat terkemuka pada hari ini. Semangat perjuangan yang kami miliki pada tahun 2002 masih membara hingga ke hari ini. Terima kasih kepada semua Allstars kerana terus bersama kami dan bersama-sama menghadapi segala cabaran, kami akan berusaha keras untuk mengambil semula Allstars apabila keadaan kembali pulih.