airasia Super App tawar perkhidmatan penghantaran dengan nilai terbaik di Johor Bahru
JOHOR BAHRU, 17 Januari 2022 - Perniagaan di bawah platform airasia Super App mengesahkan komitmennya untuk menyediakan perkhidmatan penghantaran dengan nilai terbaik kepada semua rakyat Johor, dan menyeru pengusaha makanan dan minuman, pemandu e-panggilan dan rakan penghantar untuk menyertainya dalam menyediakan perkhidmatan terbaik di Johor Bahru dan bandar-bandar lain di seluruh negeri itu.
Pengumuman ini dibuat pada sidang media di sini hari ini, yang dihadiri oleh YAB Dato’ Haji Hasni bin Mohammad, Menteri Besar Johor dan Lim Ben-Jie, Ketua Penghantaran (e-Dagang) airasia Super App.
Perniagaan penghantaran di bawah airasia Super App terdiri daripada perkhidmatan penghantaran makanan airasia food, barangan runcit airasia grocer, e-panggilan airasia ride dan penghantaran barangan ekspres atas permintaan, airasia xpress.
Pengendali makanan dan minuman serta pemilik restoran yang berminat untuk menjadi rakan niaga boleh mengisi borang ini atau mengimbas kod QR yang tersedia. Mereka akan dihubungi oleh pasukan airasia food untuk maklumat lanjut.
Individu yang berminat untuk menyertai pasukan penghantaran airasia boleh mendaftar melalui laman ini.
Dato’ Haji Hasni bin Mohammad, Menteri Besar Johor berkata “Kami ingin mengucapkan tahniah kepada airasia, terutamanya pasukan airasia Super App atas pelancaran perkhidmatan penghantarannya di Johor Bahru. airasia merupakan pemain industri penting yang menyokong aktiviti pelancongan dan ekonomi Johor sejak penubuhannya pada tahun 2002 dan kami memuji usaha baharu mereka untuk terus menyumbang kepada industri perkhidmatan penghantaran and e-panggilan di negeri ini. Perkhidmatan penghantaran airasia Super App bukan sahaja akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Johor, malah akan menyediakan lebih banyak pilihan kepada restoran serta pengusaha makanan dan minuman untuk menghantar produk mereka. Selain itu, airasia Super App juga menawarkan lebih banyak pilihan dengan lebih nilai kepada para pelancong dan rakyat Johor untuk bergerak di sekitar bandar ini.
“Kami berharap rakyat Johor, terutamanya pemilik perniagaan kecil dan restoran tempatan akan mengambil kesempatan daripada tawaran airasia Super App ini untuk mendigitalkan perniagaan dan menembusi pasaran serta meluaskan jangkauan mereka. Kami berharap dapat terus bekerjasama dengan airasia untuk membantu memulihkan ekonomi tempatan melalui tawarannya.”
Lim Ben-Jie, Ketua Penghantaran (e-Dagang) airasia Super App berkata:“Kini, airasia Super App telah menjadi lebih daripada sebuah platform untuk tempahan tiket dan mendaftar masuk dalam penerbangan. Kami telah berjaya mengubah airasia menjadi sebuah syarikat gaya hidup digital, di mana para pelanggan bukan sahaja boleh menempah penerbangan AirAsia, tetapi boleh menempah penerbangan daripada 700 syarikat penerbangan lain ke 6,000 destinasi di seluruh dunia, menempah hotel, perjalanan, makanan, menggunakan perkhidmatan teknologi kewangan kami dan banyak lagi.
“Menyediakan perkhidmatan kepada semua golongan adalah DNA kami. Justeru, kami berusaha untuk memberikan nilai terbaik kepada pemilik restoran, peniaga, rakan penghantar dan pemandu e-panggilan dengan perkhidmatan bernilai terbaik untuk semua. Kami menggalakkan semua orang di Johor untuk mula menggunakan airasia Super App, sama ada anda seorang peniaga, pemilik perniagaan atau pelanggan yang ingin mendapatkan tawaran terbaik kerana kami mempunyai sesuatu untuk semua orang.”
Untuk maklumat dan promosi terkini, ikuti @airasiasuperapp di Instagram dan Facebook.