ADE, UPSI jalin kerjasama bagi memacu perkembangan Metaverse, AI, dan Robotik dalam industri penerbangan

TANJUNG MALIM, 24 Julai 2023 – Asia Digital Engineering, cabang kejuruteraan dan baik pulih Capital A, telah menandatangani sebuah Surat Hasrat dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi memulakan kerjasama penyelidikan dalam bidang Metaverse, Kecerdasan Buatan (AI) dan Robotik. Kerjasama strategik ini bakal menghimpunkan kepakaran digital ADE dalam industri penerbagan dan keupayaan UPSI sebagai perintis kemahiran pembelajaran efektif yang bakal membawa lebih banyak kemajuan terhadap industri penerbangan. Bersama-sama ADE adalah syarikat-syarikat seperti Microsoft dan syarikat teknologi terkenal lain yang menjalin kerjasama masing-masing dengan UPSI.

Majlis menandatangani Surat Hasrat itu disaksikan oleh Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, YB Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dimana beliau turut memuji kerjasama itu sebagai satu pencapaian penting bagi landskap akademik dan teknologi negara, selaras dengan penekanan besar kementerian terhadap kualiti akademik dan kecemerlangan, termasuk memupuk pelajar yang dilengkapi dengan kemahiran sumber manusia serta kebijaksanaan dalam mengurus teknologi.

Sebagai cabang kejuruteraan dan penyelenggaraan Capital A, ADE telah berada di barisan hadapan dalam inovasi digital dalam penerbangan, meningkatkan piawaian industri dan memacu pertumbuhan ekonomi. Dengan kelulusan daripada pelbagai negara, ADE telah mengukuhkan kedudukannya sebagai rakan kongsi MRO yang dipercayai di rantau Asean dan seterusnya. Melalui kerjasama dengan UPSI ini, ADE menyasarkan untuk memanfaatkan kecekapan terkenal universiti tersebut dalam pedagogi dan penyelidikan untuk meneroka aplikasi baru Metaverse, AI, dan Robotik dalam bidang penerbangan.

Mengulas mengenai kerjasama itu, Mahesh Kumar, Ketua Pegawai Eksekutif ADE berkata: "Kerjasama ini menandakan satu lagi peristiwa penting dalam usaha ADE untuk menjadi peneraju dalam bidang inovasi digital. Melalui kerjasama ini, kami berpeluang untuk melihat potensi penuh Metaverse, AI, dan Robotik dalam memberikan transformasi kepada industri penerbangan, keselamatan dan kecekapan dalam penyelenggaraan serta kejuruteraan pesawat. Kami amat percaya bahawa kerjasama ini bukan sahaja akan mendorong perkembangan teknologi penerbangan tetapi juga berfungsi sebagai sumber inspirasi untuk para jurutera dan penyelidik generasi akan datang, mendorong revolusi dalam industri ini. Kami bercita-cita untuk mencipta impak yang mendalam terhadap kemajuan negara, meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai perintis dalam bidang pendidikan dan menjadi peneraju digital di rantau ini."

Prof. Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff, Naib Canselor UPSI berkata: "Sebagai sebuah institusi yang telah memainkan peranan penting dalam membentuk banyak pencapaian di Malaysia, termasuk inovasi, UPSI komited untuk memacu inovasi digital untuk kemajuan negara. Melalui kerjasama transformatif bersama ADE ini, kami bersedia untuk menjadikan universiti ini sebagai rujukan untuk memartabatkan pendidikan yang cemerlang selaras dengan dengan visi kami untuk terus memupuk pertumbuhan intelek dalam kalangan pelajar kami dan menyumbang kepada pelbagai bidang ilmu.”

Bidang tumpuan utama kerjasama ini termasuk simulasi latihan yang mendalam menggunakan teknologi Metaverse, sistem penyelenggaraan ramalan dipacu AI untuk mengoptimumkan prestasi pesawat, dan aplikasi robotik untuk menyelaraskan proses penyelenggaraan yang kompleks. Kerjasama antara ADE dan UPSI ini bakal mewujudkan peluang dalam menggabungkan kekuatan institusi masing-masing, seterusnya mempercepatkan pembangunan dan penggunaan teknologi termaju dalam penerbangan.

*** TAMAT ***