ASIA DIGITAL ENGINEERING CATAT REKOD PENCAPAIAN PENYELESAIAN 100 PEMERIKSAAN C PESAWAT DALAM TEMPOH KURANG 2.5 TAHUN

Keterangan Gambar : Kakitangan Asia Digital Engineering (ADE) dengan pesawat C-Check yang ke 100

KUALA LUMPUR, 7 DECEMBER 2023 - Asia Digital Engineering (ADE), anak syarikat milik penuh Capital A Berhad dalam bidang penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat, meraikan pencapaian istimewa sempena sambutan Hari Penerbangan Awam Antarabangsa dengan kejayaannya menyempurnakan pemeriksaan C (C-Check) pesawat ke-100 dalam tempoh 2.5 tahun, suatu rekod sejak penubuhan syarikat itu pada September 2020.

Diiktiraf sebagai pemeriksaan kategori berat yang melibatkan prosedur penyelenggaraan untuk komponen dan sistem pesawat yang kritikal, pemeriksaan C atau ‘C-Check’ merupakan satu pemeriksaan penyelenggaraan komprehensif untuk memastikan sesebuah pesawat  layak serta selamat untuk melakukan penerbangan. Ia merupakan satu prosedur yang  memerlukan perkakasan yang banyak, pelbagai peralatan ujian dan juga tahap kemahiran khas. Pencapaian ini menggariskan komitmen ADE dalam mendukung piawaian keselamatan dan operasi tertinggi dalam industri penyelenggaraan pesawat, seterusnya meletakkan ADE sebagai pemain MRO terkemuka di rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Asia Digital Engineering, Mahesh Kumar berkata, "Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua jurutera, juruteknik dan semua kakitangan ADE di atas kejayaan yang dicapai dalam tempoh yang singkat ini. Tenaga kerja kami telah menunjukkan kemahiran, profesionalisme dan ketabahan yang bertaraf dunia. Saya berbangga dengan komitmen, dedikasi teguh dan semangat usaha tanpa henti yang tidak mengenal erti putus asa demi mencapai kecemerlangan dalam penyelenggaraan pesawat, dan seterusnya mengukuhkan kedudukan ADE sebagai penyedia perkhidmatan MRO terkemuka di Asean, memberikan nilai terbaik pada kos terendah dengan kecekapan tinggi di seluruh rantau Asia Pasifik dan seterusnya."

Dedikasi ADE dalam mengekalkan taraf kualiti dan keselamatan terbaik dalam penyelenggaraan pesawat dapat dinilai dengan pelbagai kelulusan dan pensijilan penting bertaraf dunia yang telah diterimanya. Antara pencapaian terbaru yang diterima oleh ADE termasuk kelulusan bagi Organisasi Penyelenggaraan Bahagian 145 daripada Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA). Kelulusan ini merupakan piawaian tertinggi bagi penyelenggaraan penerbangan, mengekalkan tahap keselamatan dan kualiti tertinggi dalam operasi, seterusnya melengkapkan pelbagai jenis pensijilan dan kebenaran penyelenggaraan ADE yang sedia ada.

ADE telah memperoleh kepercayaan pelanggan melalui perhubungan yang berkekalan, testimoni yang cemerlang dan kolaborasi dengan pelbagai syarikat penerbangan di seluruh rantau ini. Memandang ke hadapan, ADE memberi tumpuan kepada visinya untuk terus memberikan perkhidmatan yang cemerlang, mengembangkan keupayaannya, dan kekal di barisan hadapan industri MRO.

Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A berkata, "Sekalung tahniah saya ucapkan kepada Mahesh dan kakitangan ADE diatas pencapaian yang membanggakan ini. ADE telah berkembang menjadi anak emas Capital A, seperti yang dapat dilihat dalam keputusan suku ketiga baru-baru ini, yang menunjukkan lonjakan keuntungan ketara sebanyak 107% dengan RM165 juta pendapatan. Kami percaya ADE boleh menjadi salah satu penyedia perkhidmatan MRO terbaik dunia berdasarkan pengalaman dan pengetahuan luas yang ditimba dari syarikat AirAsia dan juga pelbagai syarikat penerbangan yang lain di rantau ini. Ia berpotensi untuk berkembang lebih jauh kerana tawaran produk yang menggunakan penyelesaian digital dan sains data yang diterapkan ke dalam MRO, menawarkan penyelenggaraan ramalan serta pengurusan alat ganti.

Sebagai sebahagian daripada strategi pengembangannya, ADE akan memperluaskan jejak operasinya. Hangar baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), yang dijangka mula beroperasi menjelang suku ketiga 2024, akan meningkatkan kapasiti penyelenggaraan pangkalan dengan ketara, menempatkan sehingga 14 buah pesawat berbadan sempit secara serentak. Selain itu, ADE juga merancang untuk memulakan operasi penyelenggaraan di negara Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja pada 2024.

***TAMAT***

Mengenai ADE

Asia Digital Engineering (ADE) ditubuhkan pada tahun 2020 dan merupakan sebuah syarikat milik penuh dan anak syarikat Capital A yang berpangkalan di klia2, Malaysia. ADE ditubuhkan dengan pengalaman terbaik daripada Jabatan Kejuruteraan AirAsia. ADE terbentuk hasil pengalaman sebagai pakar kejuruteraan yang menjadi tulang belakang penerbangan AirAsia selama lebih 20 tahun. ADE menawarkan spektrum luas untuk perkhidmatan pesawat seperti penyelenggaraan talian, penyelenggaraan asas, pembaikan dan baik pulih komponen, pengurusan gudang, perkhidmatan teknikal dan organisasi, serta penyelesaian kejuruteraan yang dipacu oleh industri digital dan perkhidmatan sokongan kejuruteraan. Dengan pengalaman luas dalam bidang kejuruteraan penerbangan menguruskan syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia, ADE mensasarkan untuk memberikan nilai dan pengalaman pelanggan terbaik  dengan menyediakan standard tertinggi dalam perkhidmatan, kebolehpercayaan dan keselamatan. Untuk maklumat lanjut, layari www.ade.aero.


Untuk maklumat lanjut tentang Asia Digital Engineering (ADE), sila hubungi : 

Aziz Laikar 

azizlaikar@airasia.com 

+60123669745