Asia Digital Engineering terima kelulusan Organisasi Penyelenggaraan Bahagian 145 EASA

Menteri Pengangkutan turut ucap tahniah, puji usaha gigih ADE dalam meningkatkan piawaian keselamatan penerbangan dan aeroangkasa Malaysia

SEPANG, 1 November 2023Asia Digital Engineering (ADE), cabang penyelenggaraan, pembaikan, dan penyelenggaraan (MRO) Capital A, hari ini mengumumkan bahawa ia telah memperoleh kelulusan bagi Organisasi Penyelenggaraan Bahagian 145 daripada Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA).

Kelulusan Organisasi Penyelenggaraan Bahagian 145 EASA ini merupakan piawaian tertinggi bagi penyelenggaraan penerbangan, mengekalkan tahap keselamatan dan kualiti tertinggi dalam operasinya.

Sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian ADE dalam industri penerbangan Malaysia, YB Anthony Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan Malaysia, berkata: “Tahniah kepada ADE kerana telah berjaya memperoleh kelulusan Organisasi Penyelenggaraan oleh EASA. Pencapaian ini bukan sahaja menunjukkan komitmen negara kepada pematuhan piawaian global yang tertinggi, malah juga meletakkan Malaysia sebagai hab bagi sektor penerbangan dan aeroangkasa. Dedikasi ADE terhadap mutu perkhidmatan yang tinggi dan keselamatan bakal menjadi inspirasi kepada pemain MRO tempatan yang lain, dan kami mengharapkan impak positif yang akan dihasilkan oleh pencapaian penting ini dalam landskap penerbangan dan aeroangkasa negara.” 

Mahesh Kumar, Ketua Pegawai Eksekutif ADE berkata: “Kami amat berbangga kerana telah mendapat kelulusan Organisasi Penyelenggaraan Bahagian 145 oleh EASA. Ini merupakan pencapaian yang besar dan merupakan hasil daripada usaha keras dan komitmen daripada seluruh warga ADE. Terima kasih di atas kesetiaan dan komitmen mereka, ADE kini mampu menyediakan perkhidmatan sokongan penyelenggaraan pesawat terkemuka di Asia Pasifik. ADE akan terus membawa etika kerja dan piawaian perniagaan tertinggi ke dalam pasaran penerbangan Asia Pasifik dan menjadi satu pemain penting dalam perkhidmatan MRO di rantau ini."

Selain pencapaian penting ini, hangar baharu milik ADE yang kini dalam pembinaan di KLIA Aeropolis dijadualkan siap menjelang separuh pertama tahun 2024. Kemudahan ini akan memperkukuhkan lagi keupayaan ADE dalam menyediakan perkhidmatan MRO terbaik, memantapkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam sektor penyelenggaraan penerbangan di rantau ini. Syarikat ini juga dalam proses untuk menubuhkan bengkel penyelenggaraan komponen pesawat baharu untuk menyokong operasinya yang semakin berkembang.

(Keterangan gambar: Hangar baharu ADE yang bakal dilengkapi dengan 14 baris penyelenggaraan di KLIA Aeropolis dijadualkan siap pembinaannya menjelang separuh pertama tahun 2024)

Dalam usaha untuk menyokong pertumbuhannya, ADE telah menetapkan sasaran pengambilan pekerja bagi tahun 2024, dengan rancangan untuk mengambil seramai 500 hingga 600 kakitangan profesional dalam bidang penerbangan seperti juruteknik pesawat dan jurutera, seterusnya membuka jalan untuk pertumbuhan dan inovasi dalam sektor penerbangan dan aeroangkasa di Malaysia.

ADE berharap untuk terus menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan penerbangan tahap tertinggi kepada syarikat penerbangan, operator, dan pemilik pesawat di seluruh dunia, dan mengalu-alukan peluang untuk memberikan perkhidmatannya kepada lebih banyak pelanggan di peringkat global.

***TAMAT***