Rangka Kerja Asas Aset Terkawal Selia (RAB) Mavcom tidak selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama
SEPANG, 7 November 2019 - Rangka Kerja Asas Aset Terkawal Selia (RAB) yang diusulkan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) kelihatan tidak selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 oleh kerajaan yang bertujuan mewujudkan negara yang berpendapatan tinggi dan saksama, kata AirAsia hari ini.
Presiden Kumpulan AirAsia (Penerbangan) Bo Lingam berkata, “Daripada menawarkan lebih banyak peluang kepada rakyat Malaysia dan mengurangkan kos penerbangan, RAB yang dirangka oleh Mavcom malah akan menjauhkan orang ramai untuk terbang dan ini bertentangan dengan apa yang ingin dicapai oleh Kerajaan.”
“Mavcom secara konsisten telah menekankan mengenai Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) yang sama antara KLIA dan klia2, semata-mata kerana kedua-dua terminal dianggap sebagai sebuah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur atau KUL. Satu fakta yang enggan diakui oleh Mavcom dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) adalah perbezaan besar yang amat ketara dalam tahap perkhidmatan dan kemudahan antara kedua-dua terminal tersebut.
“RAB sepatutnya merupakan rangka kerja yang adil jika dilakukan dengan niat dan tujuan yang betul. Tapi malangnya, kita menjangka pengagihan subsidi antara lapangan terbang yang membuat keuntungan dan yang rugi akan terus diamalkan di bawah kertas cadangan RAB ini. MAHB dilaporkan merancang untuk membelanjakan sebanyak RM5.2 bilion dari 2020 ke 2022, dan sebahagian jumlah ini akan dibelanjakan untuk sistem baharu pengendalian bagasi dan aerotren yang baru di KLIA. Kami ingin bertanya adakah adil untuk mengenakan PSC yang sama ke atas para penumpang penerbangan tambang rendah yang tidak menikmati perkhidmatan mahal di KLIA ini tetapi sebaliknya terpaksa berdepan dengan keadaan yang tidak selesa di klia2?
“Selain itu, MAHB juga tidak pernah melibatkan syarikat penerbangan dalam hal pembangunan lapangan terbang termasuk rancangan untuk menyediakan perkhidmatan pemindahan antara KLIA dan klia2. Kita sangat ragu dengan keupayaan mereka dalam memenuhi perbelanjaan modal (capex) mereka dengan cekap dalam masa yang singkat. Pertama, tiada maklumat terperinci untuk mewajarkan bagi setiap perbelanjaan modal ini. Kedua, berdasarkan sejarah perbelanjaan modal MAHB sebelum yang berjumlah RM200 ke RM300 juta setahun, kemampuan mereka untuk melaksanakan pelaburan sebesar ini menimbulkan persoalan.
Sebagai badan kawal selia, adalah tanggungjawab Mavcom untuk mempertahankan dan melindungi hak penumpang awam bagi memastikan mereka menerima perkhidmatan setara dengan caj yang dikenakan kepada mereka. Tetapi menerusi melaksanakan RAB ini, mereka menjadi seakan-akan terpisah dari semangat dan visi negara. Penerbangan tambang rendah menguasai lebih kurang 60% pasaran penerbangan di Malaysia, namun Mavcom masih enggan memperakui permintaan ramai terhadap perjalanan tambang rendah dan tetap mengenakan caj yang tidak adil kepada para penumpang.
Bo juga menekankan bahawa AirAsia berpegang teguh kepada kesamarataan dan kesaksamaan, yang merupakan paksi kepada cara AirAsia menjalankan perniagaannya.
“Sejumlah besar kakitangan kami adalah daripada kumpulan B40, dan mereka mereka diberi peluang untuk mengejar impian masing-masing. Ramai kakitangan kami yang telah berjaya dan menjadikan impian mereka kenyataan seperti Kugan Tangiisuran yang dahulunya seorang penghantar surat dan kini telah menjadi seorang juruterbang.
“Begitu juga dengan para tetamu kami. Tambang rendah yang kami tawarkan telah memberi peluang kepada berjuta-juta orang untuk terbang buat pertama kali. Kini lebih kurang dua pertiga daripada semua rakyat Malaysia menggunakan perkhidmatan penerbangan, termasuklah kira-kira lebih 2 juta orang dari kumpulan B40 yang telah menikmati penerbangan tambahan dengan harga tetap istimewa semasa musim perayaan. Kami terus memperjuangkan bayaran yang adil dan berpatutan, sama ada PSC atau Caj Kawal selia Mavcom, kerana kami percaya bayaran ini tidak perlu serta tidak adil dan telah meningkatkan kos perjalanan, seterusnya menghindari peluang bagi rakyat untuk terbang.
“Jadi, ianya sangat mengecewakan apabila Mavcom tidak berkongsi semangat dalam menyokong Wawasan Kemakmuran Bersama dan kami menyeru untuk mereka bekerjasama dengan rakan kongsi mereka termasuklah syarikat penerbangan seperti AirAsia ke arah Malaysia yang lebih adil untuk semua.”